Tuesday, April 26, 2011

Kisah aku dan dia

Dia biasa saja, bukan anak orang kaya, bukan anak siapa-siapa,
anak orang biasa,  rupa pun macam kita juga, sederhana, tak cantik
sampai orang tergila-gila, tak jelek sampai semua orang mengata,
tapi ada satu perkara yang aku suka tentang dia ? Apa dia ?
Nantilah aku cerita..............

Kenapa nak cerita tentang dia ?

ooo...........mungkin ada kisahnya yang kita boleh ambil iktibarnya.

Aku kenal dia masa kami sama-sama belajar di utara. Dia dari Perak,
aku dari negeri Tok Gajah. Dia anak polis, aku anak tukang kebun,
ibunya guru sekolah, ibuku surirumah. Dia dari sekolah bandar, aku
dari sekolah pinggir bandar. Kami kenal waktu sama-sama mendaftar.......

2 tahun di matrikulasi, 4 tahun di universiti, kami jadi kawan baik cuma
takdelah berjanji sehidup semati. Opps....jangan salah sangka, kami
bukan pasangan kekasih !

Dia lasak dan tegas manakala aku sebaliknya. Aku pendiam dia banyak
berbicara. Aku tak pandai buat jenaka,  dia selalu buat aku ketawa.
Kami banyak perbezaannya tapi peliknya antara aku dan dia, macam
ada 'chemistry' sahaja.

Kami memang rapat tapi taklah sampai jadi bahan keji dan umpat. Aku
pernah bertandang ke rumahnya sewaktu cuti, maklumlah rumah aku
jauh tak terperi, jadi sedikit sebanyak aku kenal ibunya, ayahnya, abang
dan adik-adiknya. Rumahku dan rumahnya memang berbeza, dia rumah
batu, rumah ku dikampung rumah kayu. Rumahnya di kawasan perumahan,
rumahku jauh di pedalaman.

Banyak kenangan manis aku bersamanya, kami pergi ke Langkawi waktu
cuti semester, panjat Gunung Jerai sama-sama, makan di Pekan Rabu
kadang-kadang aku bayar kadang-kadang dia belanja, pusing bandar Alor Star
jalan kaki happynya rasa.....maklumlah waktu tu muda belia, tapi peliknya
takde pulak pakwe yang datang hulurkan cinta. Takpelah.....sekurang-kurangnya
kami takde nak couple2, bebas bergerak , tak de orang nak curiga. Yelah,
kamipun bukannya cantik macam artis ternama....tak glamer dan takde nama.

Habis pengajian, ditakdirkan tuhan kami bertemu lagi sewaktu buat kursus
perguruan. Maktab Batu Pahat jadi saksi persahabatan, jadi bukti kesetiaan
seorang kawan. Waktu itu aku sudah berteman sedang dia masih berharap
ada orang hulurkan tangan. Tamat kursus aku pulang ke negeri Tok Gajah
sedang dia dihantar jauh ke Sabah.

Di situlah dugaannya bermula...........

Jauh di tempat orang, jauh dari keluarga, ditakdirkan dia jatuh cinta dengan
jejaka yang pernah belajar di universiti yang sama. Peliknya, dulu waktu kuliah
tak pernah pulak ternampak, sudah berkerja baru terserempak.
Merekapun bertunangan, membuat persiapan untuk hari pernikahan. Entah
di mana silapnya, si jejaka  itu memutuskan pertunangan ketika hari
pernikahan semakin tiba, ketika semua peralatan sudah ditempah, kad sudah
diedar, hantaran  sudah digubah, pakaian pengantin sudah siap dijahit tapi
demikianlah ketentuan  Allah sudah tertulis sekalipun pahit !

Dia menelefonku dan memberitahu; "lupakan saja kad yang telah kukirim padamu"
Sayangnya aku tiada di sisinya ketika itu untuk menenangkannya....airmataku
gugur ketika dia berkata ; "Sudah tertulis untukku dugaan ini, terlalu berat
tapi lebih baik berpisah sebelum bernikah, lebih baik luka sedikit dari luka  yang
lebih parah !"

Oh tuhan.....! Hikmah apakah yang kau sembunyikan disebalik apa yang terjadi?

Kifarah dosa-dosaku barangkali, dia berkata dalam sebak yang cuba ditahan.
Tidak sahabatku, Dia sedang mengujimu kerana Dia sayangkan kamu! Kamu
beruntung ! Diuji untuk dinaikkan darjat ke martabat yang lebih tinggi !
Ya benar sekali ! Selepas peristiwa itu, dia sangat tabah, tidak berdendam
sekalipun keluarga memujuk membawa kes ke mahkamah. Yelah , dahlah putus
tergesa-gesa, takbagitahu pulak sebab musababnya, kot ye tak suka pun takkan
tak boleh jumpa baik-baik dgn keluarga, ni main telefon saja, hei, mana perginya
amalan agama dan adat ketimuran  kita, ingat kawanku itu tak punyai perasaan
atau harga diri. Kurang asam punya lelaki !

Selepas itu, dia menyepikan diri. Aku pun semakin sibuk dengan anak-anak
dan suami. Kami masih berhubungan sesekali dan tidak lama kemudian dia
menghantar foto terkini, sangat manis sempurna menutup aurat, bertudung
labuh dan pakaian mematuhi ciri-ciri muslimat. Oh ! inikah hikmah yang
tersembunyi disebalik uijian yang berat. Sahabatku itu menjadi kuat untuk lebih
dekat dengan Allah Yang Maha Hebat.

Bertahun berlalu, aku terima berita gembira. Dia telah bertemu dengan insan
yang sudi bersamanya membina mahligai bahagia. Lupakan kisah lama, kini dia
bahagia bersama suami tercinta dan 2 anaknya. Dia berkahwin di usia yang
lewat, tak mengapalah, biar lambat asal selamat dari cepat tapi mudharat.

Memang kami sentiasa ada 'chemistry'nya. Selepas melahirkan anak sulungnya,
dia menelefon dan berkata "aku dapat anak lelaki, namanya Imran."
Aku terkasima  "Hei, itu nama anak lelakiku yang sulong ! Kau tiru nama anakku"
Dia menjawab "Mana aku tahu, aku dan suami suka nama itu, tak sangka pula
kau pun sama"

Oh ! Aku di Pahang, dia di Pulau Pinang dan kami tak pernah berbincang tentang
nama yang mungkin diberi kepada anak yang bakal ditimang ! Sungguh
kebetulan, semuanya ilham dariMu Tuhan.......

Demikianlah secebis coretan buat tatapan kalian. Dalam hidup ini antara yang
terindah ialah mendapat sahabat yang sanggup bersama menempuh susah dan
payah, sanggup berkongsi sedih dan resah,  gembira  melihat teman bahagia dan
turut bersedih andai dia ditimpa musibah. Kepada temanku itu, takkan kulupa
budi baikmu, tunjuk ajarmu, cerita kita mari kita simpan bersama, ku berdoa
moga suatu hari kita bertemu dengan IzinNya dan alangkah indahnya andai
kita bertemu ketika kita bermujahadah di atas jalanNya............


Sesungguhnya di dalam setiap ujian yang diberikan, ada hikmah yang Allah sembunyikan

13 comments:

fuad ansari said...

Masing2 dengan ujian masing2...

Ujian mengajar kita menjadi insan yang lebih matang dalam membuat keputusan..

Kadang2 bila dengar ujian yang menimpa orang lain, betapa terasa kecilnya ujian yang diberikan kepada diri sendiri jika mahu dibandingkan dengan ujian yang diberikan kepada orang lain..

Afida Anuar said...

Kak Norsha...terharu pulak baca kisah ni. macam ada cebis kisah saya pun iyer jugak. he he..

insyaAllah.. Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik tuk kita. Setiap apa yang berlaku, pasti...pasti ada hikmahnya..

hidayu samsudin said...

salam akak...

terkesan dgn cerita ni...
allah bg ujian kat kita sbab allah syg ita kan...
allah nak tinggikan darjat kita
kan...sebab allah tahu dimana kemampuan kita kan kak..

SANGKA BAIK DENGAN ALLAH....

~PENCHENTA~ said...

MasyaAllah. Seronoknya baca cerita macam ni kak. :)) Nak lagi. Nak lagi. :)

Ya Allah. Indahnya peraturanMu.

Wafi said...

hebat Allah! segala diatur penuh hikmah...

Norsha said...

Fuad,
bila lulus ujian maka meningkatlah darjat kita, dan perlu diingat bahawa ujian itu berkadar terus dengan tahap keimanan seseorang, semakin kuat imannya, semakin tinggi tahap ujiannya


Afida,
eh tak sangka pulak ada persamaan dgn kisah fida ...btw , setiap ujian ada hikmahnya....bersangkabaiklah

Norsha said...

Salam hidayu,
Allah menurut sangkaan hamba-hambaNya
tanpa ujian tiadalah rencah kehidupan


Penchenta,
nanti kita cerita lagi ye...


Wafi,
kita merancang, Allah menentukan...

Menusuk Hati said...

putus tunang..hm..cek pun pernah mengalaminya..pahit untuk dikenang

Norsha said...

menusuk hati,
MasyaAllah....tapi sekarang dh bahagia kan?

Unknown said...

Ujian tanda Allah syg pd kita,jadi asbab pengampun dosa kita...

Salam ziarah,menarik artikel yang puan tulis,saya menjemput puan untuk memberi komentar,cadangan untuk penambahbaikan atau pandangan terhadap artikel terbaru saya.Semoga jasa puan dibalas oleh Allah SWT.Mana tahu kemungkinan kita berbeza pandangan,jesturu itu,di harapkan dapat berkongsi bersama.

Norsha said...

A/P Sekeluarga,
InsyaAllah, nanti kami sekeluarga berkunjung ke blog saudara :)

Farhan Zulhusmi said...

Allah ada yang terbaik untuk kita...ujianya adalah satu titik tolak untuk kita ke arah yg lebih baek..
tapi...kadang2 kenapa kita slalu melupakanya...emm..

Norsha said...

Farhan,
ye, benar sekali , kita selalu terlupa dan hanya ingat padaNya ketika berdukacita....kena belajar jgn jadi pelupa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...