Monday, May 30, 2011

Suami punca perceraian....?

Suami didakwa punca utama cerai. Itu antara tajuk yang ada dalam akhbar
kosmo hari ini di ruangan dalam negara, dan ketika membuka radio Ikim pagi ini
ketika memandu ke sekolah untuk mengadakan tuisyen kepada pelajar-pelajar
saya, dua juruhebah radio  yang masih muda belia itu turut memperkatakan hal
tersebut dan membuka talian kepada pendengar untuk memberikan pendapat.
Kalau bukan kerana saya mengejar waktu ke sekolah ingin juga saya menelefon
nombor  tersebut dan memberikan pendapat.

Peningkatan yang bukan sedikit, 21.6% dalam tempoh 3 tahun (2008 - 2011),
mengikut kajian yang dilakukan oleh JAKIM. Kajian itu tentunya dibuat
berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, bagaimana pula dengan kes-kes yang
tidak dilaporkan? Ramai juga sebenarnya wanita yang tidak membawa
kes-kes mereka ke mahkamah atau merujuk kepada Jabatan Agama untuk
tujuan kaunseling atas sebab-sebab tersendiri. Mereka bergelut menyelesaikan
masalah  rumahtangga mereka tanpa bantuan pihak luar, sebahagian dari
mereka sedang berusaha mencari jalan penyelesaian. Sebahagian lagi mungkin
dilanda kemurungan !

Soalnya sekarang, adakah anda bersetuju dengan kenyataan tersebut ? Saya?
Ya, saya bersetuju jikadikatakan suami punca perceraian, tetapi BUKAN 100%!
Perceraian itu terjadi kerana banyak faktor, adalah tidak adil untuk kita
menyalahkan hanya sebelah pihak sahaja, sedangkan perkahwinan itu terbina
dari kesediaan dua individu berbeza untuk tinggal bersama dalam sebuah institusi
yang halal.

Mereka yang belum berkahwin, pasti memandang mahligai perkahwinan itu seperti
sebuah istana kayangan yang dihiasi dengan segala macam keindahan, dipenuhi
wangi-wangian, lagu-lagu menghiburkan, setiap saat hanya berlari-lari di taman,
mencium bunga-bungaan atau mengejar rama-rama berterbangan,bercanda
sambil ketawa riang tanpa sebarang masalah, duduk-duduk di tepi kolam tanpa
memikir seribu satu macam pekara yang melelahkan! Tidak salahpun jika anda
mempunyai persepsi begitu......bukankah perkahwinan itu bisa menenangkan hati,
mendamaikan perasaan dan meredakan tekanan.....? Lalu  selepas berlakunya
ijab dan kabul, selepasnya terbinanya sebuah masjid, selepas yang ditegah itu
menjadi halal untuk dinikmati, mengapa segala-galanya menjadi tawar
dan hambar ? Di mana silapnya ?

Sebenarnya antara alam percintaan dan alam rumahtangga tidak sama. Alam
percintaan adalah alam fantasi yang tidak dibebani dengan soal-soal tanggung
jawab yang menuntut komitmen yang bukan sedikit. Ia sekadar melibatkan
soal hati dan perasaan.Alam rumahtangga pula adalah alam nyata yang tidak
hanya didasari dengan rasa cinta semata-mata tetapi turut perlu diterjemahkan
dalam bentuk tanggungjawab dan amanah. Berumahtangga bermakna sanggup
berkongsi segala-galanya bukan hanya berkongsi hal  yang indah-indah sahaja,
tetapi juga berkongsi segala kelemahan dan kekurangan pasangan masing-
masing. Sebelum berkahwin semua kelemahan boleh disembunyikan disebalik
senyuman atau kata-kata mengasyikkan tapi selepas perkahwinan kita melihat
'dunia sebenar' pasangan kita yang kadang-kadang menuntut kesabaran yang
tinggi untuk bertolak ansur dengan segala ketaksamaan yang ada.

Sudah menjadi adat, alam  rumahtangga tidak lengkap tanpa sedikit perbalahan
atau perselisihan pendapat. Asal saja perbalahan itu tidak membawa kepada
pukul  memukul hingga perlu dirawat kerana kecederaan parah atau tendang
terajang yang menyebabkan mangsanya hilang ingatan ! Sesekali perselisihan
pendapat adalah medan menguji kesabaran dan membuka kepada ruang yang
lebih luas untuk kita mengenali pasangan yang kita kahwini itu.Bagaimanapun,
jika terlalu banyak perbalahan, ia boleh memerangkap anda dan pasangan dalam
kancah masalah yang lebih besar jika penyelesaiannya tidak dicari sedari awal.

Suami ketua keluarga. Ditangannya terletak suatu kuasa yang tidak diberi kepada
kaum hawa. Andai kuasa itu diberi kepada kaum hawa, lebih banyak perceraiaan
yang akan terjadi, mungkin setiap hari kerana wanita lebih bertindak mengikut
emosi ! Ini saya akui kerana saya juga wanita. Wajarlah kuasa itu diberi kepada
kaum lelaki kerana mereka dikurniakan 9 akal dan 1 nafsu berbanding wanita.
Mereka berambut pendek tetapi berakal panjang ! Malangnya ramai lelaki
gagal memanfaatkan kelebihan yang ada pada mereka ke tahap maksimum.
Kenapa?........... kerana mereka kurang ilmu. Ilmu apa?
Ilmu rumahtangga yang berlandaskan AGAMA.

Tahukah anda wanita sifatnya setia dan mudah mengikut kata. Jika mereka
sayang kepada seseorang, mereka sanggup mengorbankan apa saja untuk
membahagiakan insan yang mereka sayang tetapi apabila kasih sayang mereka
disia-siakan, hati wanita yang lembut itu akan bertukar menjadi keras. Jika
suami tidak prihatin dan membiarkan hati isteri mereka tidak dirawat, tidak
mustahil wanita ini akan bertindak  di luar jangkaan ! Dan jika itu terjadi suami
terpaksa membayar 'harga' yang mahal untuk mendapat kembali kesetiaan
dan pengorbanan si isteri.

Sekuat manapun kasih sayang wanita terhadap suaminya tetapi jika suaminya
tidak bertanggungjawab, tidak mahu menunaikan hak-hak anak dan isteri, tidak
memberi didikan agama yang sewajarnya, tidak mahu berbelanja untuk makan
pakai anak isteri, lalai dari tangungjawab terhadap agama, tidak mahu berbincang
/bermesyuarah seperti yang dianjurkan agama, isteri mana yang dapat
memendam rasa dan duka lara begitu lama ? Tanyalah mana-mana wanita yang
telah berkahwin, mereka mahu mahligai itu bercahaya selamanya tapi ribut taufan
selalu datang membawa tiupan angin memadamkan cahaya itu.........dan mereka
tidak mampu menahan cahaya itu dari terpadam jika hanya mereka yang berusaha.

Sebagai wanita yg telah melayari bahtera rumahtangga selama hampir 17 tahun
yang telah menempuh pelbagai cabaran dan rintangan yang mematangkan, saya
sehingga hari ini percaya bahawa penyelesaian kepada semua masalah rumah
tangga ada dalam agama  kita yang suci murni ini. Nabi s.a.w telah menunjukkan
contoh tauladan yang terbaik sebagai suami, ayah dan pemimpin keluarga yang
berwibawa. Suami sebagai ketua yang disegani perlu mempunyai jati diri dan daya
tahan yang tinggi untuk memastikan rumahtangga kukuh selamanya. Belajarlah
menjadi suami yang dikasihi dan dihormati, bukan ditakuti atau digeruni.
Belajarlah menjadi suami yang bertanggungjawab dan menunaikan amanah
bukan menjadi suami yang hanya tahu memerintah !

Wanita pula , sebagai isteri setinggi manapun pendidikan dan pangkat yang anda
miliki, suami wajib ditaati selagi tidak bertentangan dengan akidah dan sunnah.
Belajarlah menerima kekurangan suami dengan hati terbuka dan bantulah mereka
menjadi suami berwibawa. Janganlah meminta sesuatu yg diluar kemampuannya.
Belajar menerima segala pemberian dengan redha. Rumahtangga bahagia mesti
berpaksikan agama, dihiasi akhlak dan keperibadian mulia, saling memberi dan
menerima, sentiasa sedia bekerjasama, sanggup berkongsi segala cerita suka
duka, ingat-mengingat bila terlupa serta bersabar dlm setiap waktu dan ketika.....

Suami Pengasih, Isteri Penyayang
Semailah Kasih, Suburkan Sayang.....


(Carilah pertolongan dengan sabar dan solat......)

Saturday, May 28, 2011

Sebenar-benar Rindu.....

Semalam, sambil menikmati makan malam yang mendamaikan, suami
bercerita kisah ini kepada kami anak beranak;
Di dalam suatu riwayat dikisahkan Nabi s.a.w sedang duduk bersama para
sahabatnya, lalu Nabi s.a.w bertanya ;  "Wahai sahabatku, tahukah kamu Siapa
hamba Allah yang mulia di sisi Allah ?",  lalu ada sahabat menjawab ; "Malaikat Ya
Rasulullah...."  Nabi s.aw menjawab ;" Ya, tentulah malaikat itu mulia , mereka
dekat dgn Allah dan mereka sentiasa  bertasbih dan beribadah kpd Allah, tentulah
mereka mulia, tapi bukan itu yg aku maksudkan "

Para sahabatpun terdiam. Kemudian ada para sahabat menjawab ;" Para Nabi, Ya
Rasulullah ." Nabi s.a.w  menjawab :" Benar,  para nabi itu mulia, mereka utusan
Allah di mukabumi, sudah tentu mereka mulia, tetapi ada lagi yang lainnya ". Para
sahabat kembali  terdiam. Lalu kemudian ada yang menjawab ;" Ya Rasulullah,
apakah kami yang mulia itu Ya Rasulullah ?

Nabi memandang wajah para sahabatnya satu persatu dan tersenyum lalu berkata ;
" Tentulah kamu semua mulia, kamu dekat dgnku,kamu membantu perjuanganku,
 kamu bersamaku tentulah kamu mulia, tapi ada lagi yang lain dari itu." Para
sahabat  terdiam, dan tak  berkata apa2 lagi. Hanya Allah dan Rasul yang lebih
mengetahui.

Nabi s.a.w kemudiannya menundukkan wajah dan tiba2  menangis di hadapan
 para sahabatnya sehingga airmata berlinangan di mata dan janggutnya. Para
sahabatpun tertanya ;" Mengapa kau menangis Ya Rasulullah ?" lalu Nabi s.a.w
 menjawab ; " Wahai sahabatku, tahukah kamu siapa yang mulia itu ? Mereka
adalah manusia yang lahir setelah kewafatanku, mereka begitu mencintai Allah.....
mereka tidak pernah melihat wajahku,  mereka hidup jauh dariku tidak seperti
kalian....... tapi mereka begitu rindu kepadaku......dan bersaksikanlah wahai
sahabatku semuanya......akupun rindu kepada mereka......
mereka itulah ummatku yang hidup selepasku......."

Semua sahabatpun menangis mendengarnya.......


( Inilah rindu yang sebenar-benar rindu...lalu bagaimana kita membalas rindu itu?
  Bagaimanakah perasaan kita apabila mengetahui ada orang yang merindui kita
  ketika ini dan tidakkah kita turut merindui insan yang sedang   rindukan kita ?

Thursday, May 26, 2011

Kalau saya mati dulu ......?

Cite mati lagi? eh, tak,tak....kali ni cite tentang hidup pulak tapi hidup yg ada
 kaitan dengan mati. Dulu-dulu, lebihkurang  enam tujuh tahun lepas saya
ada tanya en. suami saya soalan ni: "Kalau saya mati dulu, awak kawin lain tak ?"
Dia tak terus jawab, tapi lepas tu dia bagi jawapan yang sangat jujur;
"emm....kalau awak mati masa umur saya 40an, mungkinlah saya kawin lagi,
tapi kalau awak mati , saya umur 70 atau 80 tahun, tak tahulah nak cakap....."
Saya takdelah pulak rasa nak marah ke sedih ke lepas dengar jawapan dia
sebab jawapan tu merujuk kepada situasi selepas saya mati. Orang yang dah
mati dah terputus hubungannya dengan segala urusan kat dunia ni kecuali 3
perkara iaitu doa anak yang soleh, sedeqah jariah yang ditinggalkan dan
ilmu yang bermanfaat......


Lepas saya tanya soalan tu, saya tunggu juga dia tanya saya soalan yg sama
kat saya tapi dia senyap saja. Dalam hati saya, kalau dia tanya soalan yg sama
saya nak jawab camni;
"Saya kan, kalau ditakdirkan awak pergi dulu, rasa-rasanya takde sapa
yg nakkan saya lagi. Saya akan tetap setia kat awak, jaga anak-anak awak,
ingat nasihat dan teguran awak, terus buat baik kat keluarga awak, awaklah
suami terbaik dan saya tak fikir untuk hidup bersama orang lain, saya sayang
awak sepenuh hati, saya nak hidup bersama awak sehingga saya mati.....dan
saya nak tunggu awak dalam syurga 500 tahun lebih awal sebelum awak masuk....."

Amacam ? Cantik tak ayat tu ? Oleh kerana dia tak pernah tanya saya soalan
tu, maka saya simpan saja jawapan tu dalam hati sampai hari ni.....

Antara saya dan dia, tak tahu siapa pergi dulu.............hanya Allah yang tahu....
tapi sementara masih hidup ini, saya mahu buat yang terbaik..... untuk dia, untuk
cahaya mata kami, untuk diri saya, kedua ibu bapa dan mertua saya, kaum
keluarga saya, jiran tetangga saya, teman-teman saya dan sesiapa saja yang
mengenali saya.....berbuat baik kerana Allah.........indah bukan?

(Syurga Isteri terletak dibawah telapak kaki suami....andai aku pergi
dahulu, redhailah pemergianku, suamiku...............)

Tuesday, May 24, 2011

Hidup dan Mati (ii)

Entah kenapa, sejak akhir-akhir rasa mahu menulis tentang hidup dan mati.
Berbicara soal mati, boleh membuat kita menginsafi erti sebenar kehidupan
di dunia ini. Sesungguhnya tiada yg kekal di dunia ini. Bunga yg mekar kan
layu, daun yang hijau segar kan gugur, begitu juga roda-roda hidup ini,
berputar dan berputar hingga akhirnya putarannya berhenti di detik yang
tidak kita ketahui. Kata orang, sesiapa yg meninggal sedikit sebanyak ada
membuat sesuatu yang pelik sebelum saat kematiannya atau melakukan sesuatu
yg berbeza dari kebiasaannya, cuma kita yg tidak menyedarinya dan
biasanya kita akan mula ingat apabila dia telahpun tiada.
Mungkin juga ada kebenarannya....

Tiga minggu yang lalu, bekas anak muridku yang berusia awal 20an menemui
ajalnya dijalan raya. Kata ibunya; ...pagi itu sebelum pergi kerja, dia minta
sedikit wang dari ibunya buat belanja kerana gajinya lambat lagi, selepas
diberi, tiba-tiba dia memeluk ibunya erat-erat dan kemas sekali, sesuatu
yang tak pernah dilakukannya sebelum ini kerana biasanya dia turun dari
rumah sekadar  memberitahu mahu ke tempat kerja tapi pagi itu sangat
berbeza sekali,.......dan 45 minit selepas itu ibunya mendapat khabar
yang sangat sedih....anaknya pergi selama-lamanya..... rupa-rupanya
pelukan itu adalah pelukan yang terakhir.......


Begitu juga, kira-kira 10 tahun yang lalu, kenalan suamiku, isterinya dan tiga
anaknya turut terkorban dijalanraya. Beberapa minggu sebelum itu, isterinya
menghadiahkan beberapa helai pakaiannya kepada saudara terdekat termasuk
baju pengantin yang sangat-sangat disayanginya. Bila ditanya mengapa diberi
kepada orang lain, arwah menjawab kerana selepas ini dia tidak lagi
memerlukannya. Tiada siapa terfikir bahawa jawapan tersebut sebenarnya
mengandungi maksud yang sangat mendalam.....hanya selepas berlakunya
kematian, jawapan itu kembali berlegar diingatan.....dan sesuatu yang masih
segar diingatanku, waktu jasadnya dikeluarkan dari  kereta yang remuk itu,
rupa-rupanya siibu sedang menyusukan bayinya yang masih kecil........

Demikianlah, kematian datang dan pergi, silih berganti..... dan kita yang hidup
ini sebenarnya sedang menunggu giliran dipanggil Ilahi. Sesungguhnya
kehidupan di dunia ini seumpama mimpi yang memperdaya, kehidupan sebenar
dan kekal abadi adalah apabila kita dipanggil pulang oleh Pencipta Yang Maha Suci.....


(.....pertanyaan buat diri sendiri, bagaimana persiapan menghadapi mati?)

Sunday, May 22, 2011

Hidup dan Mati.....

Siapa berani menyangkal, kematian tidak datang di usia muda
Siapa pula berani menyoal , kematian yang datang tiba-tiba
atau siapa berani meramal, kematian yang bakal menjelma....

Hidup dan mati.....adalah sahabat sejati
sudah tertulis janji....tidak akan dimungkiri
tidak tercepat dan tidak terlewat walaupun sedetik
bila tiba saatnya , ia datang menghampiri
tiada siapa yang dapat lari.....

Gugurlah airmata
melihat mereka yang pergi
panjatkanlah doa, agar mereka bahagia di sana
suatu saat akan tiba jua
kita pula menyusul mereka.....

Hidup dan Mati
sudah tertulis sejak azali......

(AL Fatihah buat mereka yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh
  di Hulu Langat, Selangor......moga ditempatkan di kalangan mereka
 yang beriman)

Wednesday, May 18, 2011

Diam

              " gaharu, cengal, giam
                tak tahu, tak kenal, diam"

Benarkah diam lebih baik dari berkata-kata?

Nabi s.a.w ada menyatakan bahawa barangsiapa yang banyak cakapnya,
nescaya banyaklah silapnya, barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya
banyaklah dosanya dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka
lebih utama baginya.                                              (Rwt ; Abu Naim)                    

Ada madah berkata:  Banyak diam tak semestinya bodoh dan banyak cakap
                                 tak semestinya cerdik..............

Pilihan di tangan  kita, pilihlah yang mana satu kita suka.

Diam yang indah, dalam diam boleh beribadah
Diam itu nikmat, banyak diam  lebih selamat .
Anda setuju?                                  

Monday, May 16, 2011

Terima kasih semua.....

............Jika hari ini sesiapa saja menjadi dewasa
            sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
            dengan sabarnya mengajar tulis baca..........

Terima kasih semua di atas ingatan yang tak putus-putus terhadap
guru biasa ini....segala mesej yang dihantar, segala hadiah yang
diberi, segala doa yang dikirim, malah segala komen yang anda
tulis di blog cikgu yang tak seberapanya ini sangat-sangat cikgu
hargai dan InsyaAllah kekal terpahat di hati.

Sebenarnya, sebelum cikgu mula menulis blog ini pertengahan febuari
yang lalu, cikgu telahpun membaca blog-blog anda semua dan dari
blog-blog anda itulah banyak sekali perkara yang cikgu dapati dan
pelajari. Dari blog anda itulah cikgu mendapat inspirasi untuk menulis
dan berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan yang cikgu miliki.
Sesungguhnya, anda yang lebih muda dari cikgu ini tidak
kurang hebatnya memiliki ilmu dan pengetahuan yang boleh dikongsi
bersama. Secara jujurnya, blog-blog anda jauh lebih hangat dan memikat
berbanding blog cikgu yang simple ini.  Jadi secara tak langsung, anda
juga telah menjadi guru kepada cikgu !

Ada banyak mesej yang cikgu terima hari ini sebagai tanda ingatan kepada
seorang guru dan di antara mesej-mesej itu, ada satu mesej yang menyentuh
hati dan berbekas sekali. Cikgu kongsikan bersama anda di sini :

           Some one is loving you
           Caring for you
           Watching over you
           Protecting you
           Who ?
           Allah............ who never fails....
           Love you so much.....


           "Happy Teacher's Day"




 Jumpa lagi............

p/s : lepas ni entri kena pendek2 nampaknya.......ringkas, tapi padat dan bermanfaat....





Sunday, May 15, 2011

Hikayat Panglima yang gagah perkasa......

Maka gegak gempitalah seluruh benua takala mendengar berita perihal
seorang panglima yang gagah perkasa mahu menambah seorang lagi
bilangan isterinya setelah mempunyai tiga orang isteri yang sedia ada.
Riuh rendahlah rakyat jelata dari selatan hingga utara bercerita perihal
panglima yang gagah perkasa ini, hingga beritanya diperkata di corong
corong radio dan tv dan disiarkan pula di muka hadapan sebuah akhbar
tempatan.

Berceritalah akan sekalian rakyat jelata perihal panglima yang gagah perkasa,
di kedai-kedai kopi hatta di kaki lima, oleh para lelaki mahupun wanita,
oleh yang muda atau yang hampir senja, apatah lagi oleh si anak dara yang
terpegun lantaran hebatnya empunya diri panglima  hingga mampu memikat
si gadis yang cantik jelita lagi muda belia.

Maka keluarlah berbagai versi dan cerita, baik di alam maya mahupun di
alam nyata, ada yang menyokong, ada yang mengata. Ada yang tersenyum,
ada yang masam mencuka. Dikhabarkan panglima ini kaya orangnya, ada
bisnes maka tak perlulah siisteri keluar bekerja. Ditambah pula dengan segak
dan sedikit kacak maka tak hairanlah ada yang terjebak sementelah pandai
pula membuat lawak.

Terpegunlah para lelaki, mungkin cemburu, mungkin iri hati, mungkin juga
tertanya-tanya di dalam hati, ilmu apa dipakainya hingga si isteri-isteri
tidak bersengketa malahan tersenyum pula bergambar di depan kamera.
Gundah gulanalah pula para perempuan, bimbang si suami memasang
angan-angan atau menghubungi panglima bertanyakan petua-petua yang
bukan-bukan. Bertali aruslah ucapan tahniah, tak kurang juga mengucap
takziah, takut-takut panglima tak mampu memikul amanah.

Maka menurut pandangan hamba, pacal yang hina ini, jika sudah terbukti
panglima berkemampuan, sihat tubuh badan dan tiada pula masalah kesihatan,
maka janganlah kita mempertikai cita-cita dan impiannya untuk memperisteri
si gadis yang cantik rupawan lagi menawan. Pekara yang elok kalau kena
cara dan gaya, tidak bertentangan hukum agama, direstui pula isteri dan
mertua, disokong juga tok kadi, wali  dan pejabat agama, maka siapalah
kita hendak menentang tindakan mereka ?

Cuma hamba mohon bertanya kepada panglima yang gagah perkasa, tidak
inginkah mahu menyertai angkatan perang yang akan berangkat ke setiap
pelusuk benua pada bila-bila masa? Sudi apalah kiranya, panglima tinggalkan
keluarga buat seketika, berjihad di jalan Allah barang sepurnama ?
Akan bertambah-tambahlah kekaguman sekian rakyat jelata terhadap panglima
andai panglima turut serta dalam misi mengembangkan syiar Islam di seluruh
benua.....

Sekianlah dahulu, hamba mohon menutup bicara. Ampun dan maaf atas segala
ketelanjuran bahasa dan kata-kata. Tidak bermaksud menyindir sesiapa, andai
ada yang terasa, anggaplah ini sekadar seloka kerana hamba sekadar bercerita,
sekadar mencuba bakat menjadi penglipur lara.......

Mohon mengundur diri, bertemu lagi dalam hikayat yang lebih mencuit hati.......

Saturday, May 14, 2011

.....dari guru kepada guru....

Jika anda mahu kaya harta
jangan jadi guru
kerana guru itu gajinya kecil sahaja

Jika anda mahu dikenali
jangan jadi guru
kerana guru itu tiada siapa yang peduli

Jika anda mahu privasi
jangan jadi guru
kerana guru itu sentiasa dikelilingi si anak didik

Jika anda mahu duduk diam sahaja
jangan jadi guru
kerana guru itu perlu bergerak sentiasa
keluar masuk kelas
turun naik tangga
guru perlu sentiasa bertenaga

Jika anda tidak suka berbicara
jangan jadi guru
kerana guru itu perlu sentiasa berkata-kata

Tapi.....
jika  anda suka memberi nasihat
suka melihat yang lemah menjadi kuat
yang putus asa kembali bersemangat
yang hilang arah kembali bertemu jalan selamat
anda boleh jadi guru
kerana guru selalu memberi tunjuk ajar
untuk orang yang mahu belajar........
untuk mereka yang sudi mendengar

dan....
kalau anda suka dipanggil cikgu
tidak peduli walau penat dan lelah bersatu
bahagia melihat si jahil menjadi manusia berilmu
dan percaya ada pahala diberi Allah Yang Satu
anda boleh jadi guru
kerana guru itu panggilan keramatnya cuma satu
setiap tahun pasti ada yang ingat utk menyebutnya

Selamat Hari Guru, Cikgu.................


 ilhamrasa ;.............................Cikgu Nur..(.Ktn, Phg)
                                               Mei, 2011                  

Wednesday, May 11, 2011

Klasik vs Moden

                             Klasik :

                            Kalau tuan ke Bangkahulu
                            Carikan saya bunga Seroja
                            Kalau tuan pergi dahulu
                            Nantikan saya di pintu syurga

                           Moden:

                            Kalau tuan pergi ke Hongkong
                            belikan saya sebuah Ipad
                            kalau jiwa rasa terkongkong
                            ambillah wudhuk, tunaikan solat

                           Klasik:

                           Sayang selasih di Bukit Dulang
                           Dipetik sedulang Laut Sebandi
                           Dalamnya kasih Tinggi dijulang
                           Sanggup berjanji sehidup semati

                              Moden;


                          Sayang selasih di Bukit Bendera
                          Direndam dibuang di laut mati
                          Sungguh dalam kasihnya bonda
                          Dalam lagi kasihnya nabi

                         Klasik;

                         Tanam pinang rapat-rapat
                         Biar senang puyuh berlari
                         Kupinang-pinang, pinang tak dapat
                         Ku pujuk-pujuk, ku bawa lari

                          Moden;

                        Parking kereta rapat-rapat
                        Biar susah orang nak curi
                        (ce sambung, ce sambung...)

Sunday, May 8, 2011

Kasihnya Ibu....

Di mana-mana pun di dunia ini, kasih dan pengorbanan ibu tetap sama
tanpa mengira bangsa, agama, taraf hidup dan paras rupa. Mari kita hayati
suatu kisah menyayat hati yang berlaku ketika gempabumi di China pada Mac
tahun 2008. Si ibu ini menjadikan tubuhnya sebagai perisai menahan anaknya
dari ditimpa runtuhan bangunan sekalipun terpaksa mengorbankan nyawanya.
Terima kasih kepada pemilik blog SolihinZubir.com.

Di Malaysiapun, 2 hari lalu, seorang ibu rentung selepas berjaya menyelamatkan
anak-anaknya dari kebakaran yang berlaku di rumah mereka. Ketika semua ibu,
berkorban nyawa  melindungi  anaknya, mengapa  ada ibu sanggup
mencampakkan atau membuang anaknya begitu sahaja tanpa sedikit pun rasa
berdosa ? Kepada semua anak-anak ;

" Syurga Di Bawah telapak kaki Ibu............"

Friday, May 6, 2011

Sakit....

Semalam tak pergi kerja, mc. Bangun pagi entah apa yang mengigit
terasa anak jari kaki  bengkak dan sakit sehingga berjalanpun
terpaksa berjingkit-jingkit. Saat menyarung kaki ke dalam kasut
bertutup warna hitam dan cuba melangkah, hanya Allah yang tahu
sakitnya, berdenyut-denyut. Lemahnya manusia baru satu jari kaki
yang sakit  sudah terasa kesannya, lalu fikiran menerawang ke klinik
berhampiran. Takleh jadi ni....baru melangkah setapak dua sudah
berkerut muka, bagaimana mahu memanjat anak tangga bangunan
4 tingkat itu nanti, lalu telefon di capai dan memberitahu orang-orang
berkenaan bahawa  akan tiba lewat hari ini untuk ke klinik terlebih
dahulu. Tapi klinik  buka pukul 8.30 pagi, pukul 9 baru doktornya
masuk. Ok , takpe, balik rumah buat solat hajat dulu, minta dengan
Allah untuk bagi kesembuhan , Dia yang beri sakit, Dia juga
menyembuhkannya......

Dan bila berjumpa doktor yang dah 20 tahun jadi doktor tu, diberinya
mc satu hari, nanti kalau banyak berjalan lagi bengkak lagi susah......
Fuuh.....ini mc pertama tahun ini, tahun lepas pun mc cuma satu hari,
CRK pun baru satu kali, itupun sebab anak sakit hari tu, hari-hari
yang lain memang rajin betul ke sekolah (perasan !)

Sebenarnya, dah lama tak sakit....kali terakhir sakit ialah pada 2004,
berulangalik ke hospital selama 2 tahun dan akhirnya menjalani pembedahan,
syukurlah semuanya selamat. Hanya apabila kita sakit, baru kita tahu
nikmatnya sihat. Dan bila diuji dengan sakit yang tak terduga, baru kita
faham bagaimana perasaan orang yang sakit sebenarnya. Orang yang sedang
sakit, sangat mudah terganggu emosinya, ketika itulah kata-kata
semangat sangat-sangat diharapkan dari orang yang datang berziarah.
Ok , lupakan kisah lama itu....setiap sakit yang diberi, ada rahsia
tersembunyi.....

Jadi semalam terasa ringan kepala kerana boleh berehat keseorangan
di rumah kesayangan itu. Sebenarnya tak rehat juga, banyak lagi kerja
menanti samada kerja rumah atau kerja-kerja sekolah yang tak habis-habis.
Dan ketika baru mahu melayan perasaan ketika berseorangan, ada sms
masuk dari teman hidup berbunyi: ...on the way balik, dari klinik, mc juga....
Allah....baru teringat pagi tadi dia mengadu, belakang dan lehernya sakit.....
Entah faktor usia, entah faktor kerja , entah-entah faktor lain.....

Haih....sudah tertulis dalam suratan, semalam berpeluang berdua-duaan,
susah nak dapat peluang ni sebenarnya....patutlah ada motivator cakap
kalau nak menyubur cinta yang lama, pergilah bercuti berdua saja,
tinggallah sekejap anak-anak dgn sedara mara.....

Sakit, sakit juga....tapi dalam sakit ada bahagia..........!

Thursday, May 5, 2011

Teruslah berjalan.........

                                        Ada waktunya , dalam hidup ini
                                        kita terjatuh di laluan berliku
                                        atau tergelincir di lorong yang licin....

                                         Andai tergelincir.....
                                         bangunlah semula
                                         teruslah berjalan
                                         sekalipun perlahan
                                         percayalah di hujung sana ada cahaya
                                         ada sinar bahagia.......
                                         bila hujan berhenti
                                         akan muncullah pelangi
                                         kaupun tersenyum
                                         melihat garisnya yang berwarna- warni...........

                                          Sayangku.....
                                          jangan sesekali dalam hidup ini.....
                                          kau berhenti berharap
                                          kerana selagi ada cahaya, selagi itu adanya sinar
                                          hidup bukan untuk mengenang
                                          masa lalu yang suram
                                          tapi untuk merencana
                                          masa hadapan yang masih panjang.......
                                          andai tika ini kau terluka
                                          atau sakit ditikam tajamnya bicara
                                          janganlah meratap hiba
                                          kerana Allah sentiasa ada bersama kita
                                          Dia Mendengar dan Maha Mengetahui
                                          segala duka dan lara di hati.........
                                       

Tuesday, May 3, 2011

Ibu ~ tulusnya kasihmu.....

Ibu....ucapan keramat sejak  dulu. Kasihnya ibu membawa ke syurga,
tanpa ibu siapalah kita ? Tingginya darjat ibu di sisi Allah sehingga kemuliaan
seorang ibu 3 kali lebih tinggi mengatasi kemuliaan seorang ayah. Andai
kedua-duanya memanggil si anak secara serentak, menjadi kewajipan kepada
si anak untuk menjawab panggilan ibu terlebih dahulu.

Betapa tinggi kemuliaan seorang ibu sehingga dengan memandang wajahnya pun
akan mendatangkan pahala.  Rasulullah s.a.w menegaskan kepentingan setiap
anak untuk berbuat baik terhadap ibu bapa sehingga baginda mengatakan
betapa syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu. Rasullullah s.a.w turut
memberi jaminan bahawa apabila kita berbuat baik terhadap ibu bapa, nescaya
anak-anak  kita juga akan berbuat baik terhadap kita apabila tiba masanya.

Sejauh mana sebenarnya kita sebagai anak memahami hati si ibu yang telah
melahirkan kita? Percayalah, seorang anak tidak akan dapat menjiwai hati ibu
dengan sebenar-benarnya sehinggalah si anak itu telah menjadi ibu di kemudian
harinya. Hanya apabila anak-anak gadis telah berkahwin, melahirkan anak dan
bersusah payah membesarkannya, barulah sigadis itu mengerti mengapa ibu
suka berleter, mengapa ibu selalu menegur perbuatannya yang tidak kena di
mata si ibu. Benarkah ibu tidak memahami perasaan si anak yang sedang remaja?
Benarkah ibu melihat setiap perkara dari persepsi berbeza?

Anak-anak muda remaja yang baru mengenal dunia, tidak ada ibu yang mahu
anaknya berada dalam kesusahan, kesedihan mahupun kekeliruan. Tidak ada ibu
juga yang sanggup memejamkan mata membiarkan saja andai dia tahu anaknya
melakukan kesilapan. Kerana itulah ibumu itu akan bising-bising, akan
marah-marah kerana menegur perbuatanmu. Tapi, kerana engkau berdarah
muda, setiap leteran atau teguran itu , bagimu seperti tujahan peluru berpandu
yang  membunuhmu.  Sebenarnya tidak begitu, anak-anakku....!

Tahukah kamu bahawa hanya ibumu itu ( tentunya si ayah juga) satu-satunya
manusia yang mengasihimu tanpa syarat. Dia menerima kelahiranmu dengan rasa
syukur tanpa ada rasa curiga dan benci. Andai hari ini, ada pemuda yang
menawarkan cinta kepada si gadis yang sedang muda remaja, ketahuilah , cinta
itu sebenarnya bersyarat...! Barangkali kerana kecantikanmu maka dia jatuh hati
padamu, barangkali kerana  kelembutanmu, keturunanmu atau apa-apa saja yang
boleh membuatkan dia terpikat  padamu. Andai engkau tidak memiliki semua itu,
percayakah engkau yang sidia itu semudah itu melafazkan cintanya?
Sebenarnya dia mahukan sesuatu darimu....... tapi bagi si ibu, dia tidak
meletakkan sebarang syarat untuk menerima kelahiranmu ke dunia. Dia menerima
pemberian  Allah dengan hati dan tangan terbuka. Di matanya anaknyalah yang
paling comel, sekalipun mungkin kulitnya sedikit gelap atau ada sedikit
kekurangan fizikal pada si anak. Ibumu menerima kelahiranmu tanpa sebarang
syarat.....Dia menyayangimu tanpa mengenakan sebarang bayaran !

Naluri seorang ibu selalunya tepat. Andai dia melihat teman yang ingin kau
jadikan pasangan hidupmu itu tidak sesuai bagimu, berfikirlah terlebih dahulu
sebelum engkau membuat keputusan nekad. Amat menyedihkan untuk seorang
anak yang membelakangi orang tuanya hanya untuk mendapatkan cinta seorang
pemuda yang belum engkau ketahui sejauhmana kesetiaannya. Dengarlah
nasihat ibumu yang tajam matahatinya sekalipun telah lanjut usianya. Mohonlah
pandangannya untuk kau layari bahtera hidupmu kerana ibumu itu tentunya ingin
melihat kau hidup bahagia. Ketahuilah, remuk redam hati si ibu bila dia  melihat
bahtera hidupmu terumbang ambing dipukul gelombang. Sekalipun engkau telah
dewasa,  punya pendidikan tinggi dan berjaya pula dalam kerjaya namun semua
itu tidak akan dapat  membeli kegembiraan hati seorang ibu , andai engkau
mengasarinya....
Jangan biarkan airmata ibumu tumpah kerana kesedihannya melihat keangkuhanmu....!

Ibumu....sekalipun dia telah dimamah usia, langkahnya perlahan kerana
kekurangan tenaga, namun doanya sangat makbul sampai bila-bila, kasihnya
tetap mekar sepanjang masa, Anak-anak gadis sekalian, nanti apabila engkau
telah bertemu  bahagia bersama pasangan hidupmu, ibumu itu janganlah engkau
lupakan !
Sekalipun engkau jauh diperantauan titipkanlah doamu buat si ibu. Percayalah,
dia selalu merinduimu.......
Begitu juga anak-anak lelaki yang sedang atau akan berbahagia dengan si ratu
hati, janganlah sesekali kecantikan isterimu membuat engkau lupa bertanya
khabar si ibu. Sehingga bila-bilapun, hati siibu akan selalu mengingatimu. Jangan
sesekali engkau kasari ibumu hanya untuk mengembirakan hati isterimu, jangan
jadi seperti alqamah yang malang itu.....

Kepada sang ibu.....redhailah anak-anakmu. Maafkan kesalahannya, halalkan
segalanya. Tidak ada yang lebih bahagia dari melihat anak-anak membesar di
depan mata, menjadi insan mulia, teguh berpegang kepada ajaran agama ,
sempurna menutup auratnya,  elok akhlaknya, lembut  tutur bicaranya serta redup
pandangan matanya menatap wajah ibu yang semakin tua. Sesungguhnya doa
ibu tiada hijab di sisiNya......berdoalah untuk mereka....Jangan simpan sedikitpun
rasa marah di dalam hatimu, berdoalah agar anakmu selamat selamanya di dunia
dan di akhirat....


Mak......hari ini aku sudahpun bergelar ibu dan kini aku tahu cabaran mendidik
putera- puteriku. Benarlah katamu dulu, apabila aku telah menjadi ibu, baru aku
tahu mengapa ada ungkapan.....

KASIHNYA IBU......MEMBAWA KE SYURGA..........TAKKAN TERBELI
DENGAN EMAS ATAU PERMATA......TAKKAN TERBAYAR BERAPAPUN
HARGANYA........


"Ya Allah, kasihilah kedua ibu bapaku, sebagaimana mereka telah mengasihiku
ketika kecil"


Ibu.....tulusnya kasihmu, terima kasih ibu..................


[duhai anak, andai kau ada berkecil hati dengan ibumu, lupakanlah, jangan kau 
 simpan di dalam hatimu, ibumu cuma manusia biasa yang tak terlepas dari salah
 dan silapnya. Bila kau bertemu, ciumlah  tangannya, peluklah ibumu yang 
 semakin tua itu dan rasailah kehangatan kasih sayangnya mengalir ke dalam
 dirimu....]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...