Wednesday, February 29, 2012

Salah siapa?

Sudah lebih 5 minit loceng berbunyi menandakan berakhirnya waktu rehat, dan P&P
sudah sepatutnya bermula , tetapi guru perempuan itu masih berdiri di hadapan kelas, menarik
nafas panjang sambil memandang ke arah 29 orang pelajar lelaki di depannya yang masih
tidak mahu duduk diam. 15 tahun ! tapi kelakuan masih seperti pelajar sekolah rendah
umur 12 tahun. Usai salam diberi, beberapa pelajar menurut arahan mengeluarkan buku,
sebahagian lagi bagai berada di dunia sendiri. Baru beberapa minit, memulakan P&P, seorang
pelajar lelaki kelihatan menghampiri kelas dengan langkah perlahan, muka masam mencuka
sambil tangan memegang sebatang penyapu, melangkah masuk tanpa memberi salam.

" Ke mana awak? Lewat 15 minit..."

Diam. Tiada Jawapan. Mata merenung tajam. Batang penyapu masih di tangan.

" Letakkan penyapu, saya mahu awak buka buku....."

Dia bangun dan tanpa rasa bersalah membaling penyapu ke penjuru dinding. Mujur tidak mengenai
sesiapa, hanya dinding yang menjadi mangsa.  Kalau tidak, pasti esoknya tertera berita di muka depan
akhbar arus perdana. Semua terkejut termasuk sang guru tapi dia tidak mahu memanaskan
suasana di kelas yg sudah sedia panas.  Pesan pengetuanya; guru mesti
berjiwa pendidik, jangan berkasar apalagi mengherdik. Sabar! Api tidak boleh disiram dengan
minyak. Pasti marak. Dia cuba menjadi air.

" Kenapa dengan awak ? Baik.....kalau tak mahu belajar duduk diam, jangan ganggu orang lain..."

Entah wajar atau tidak kata-kata itu, tapi sekurang-kurangnya pelajar itu tidak lagi 'mengamuk'.
Dia tidak boleh bazirkan masa. P&P mesti berjalan juga, kerana bagi guru biasa sepertinya, P&P
adalah jiwa raga, 'core business' dan pelajar adalah aset yang perlu dijaga. 29 yang lain perlukan
ilmu, hanya satu yang buat hal, dia tak boleh berlebih-lebihan pada yang seorang sedang 29
yang lain terabai. Tak mengapa, nanti boleh rujuk kaunselor untuk bincang masalah pelajar ini.
P&P berlangsung seperti biasa, tapi pelajar yang mengamuk itu tidak buat apa-apa, tidak
menulis, tidak membaca, dia memandang dengan wajah kosong, seperti jiwanya sedang
bergelodak sarat dengan amarah dan dendam.

40 minit berakhir, tamat P&P. Semua bangun mengucap salam tapi pelajar yang satu itu tidak
membuka mulut, apalagi memohon maaf atas perbuatannya tadi. Takpe, cikgu maafkan kamu !
kata sang guru di dalam hati. Sebaik melangkah keluar, ketua kelas yang berbadan besar dan
berkulit cerah sedikit berteriak; "cikgu, jangan serik masuk kelas kami ye...." guru tersenyum
sambil menjawab; " mana ada serik, seronok apa masuk kelas awak ....".

Pelajar itu, yang mengamuk tadi? Dia memberontak sebenarnya, ibu bapanya bercerai,
masing-masing bawa haluan dengan pasangan baru, tinggallah dia, terkapai-kapai, hilang
kasih sayang, hilang perhatian, dijaga si abang yang masih bujang tapi kasih sayang abang
tetap tidak sama dengan didikan dan sentuhan ibu dan ayah. Dia masih remaja, dia perlukan
perhatian, nasihat dan bimbingan. Dia dahagakan kasih sayang tapi semua itu terlalu mahal
untuk dinikmati, sukar untuk diperolehi. Salah siapakah bila jiwanya 'sakit' lalu kesakitan itu
dirawat dengan  cara melanggar peraturan sekolah, biadap dengan guru dan bergaduh
dengan rakan ? kata seorang pelawak, lu fikirlah sendiri.....................

p/s : entry sempena Pelancaran Program Sekolah Penyayang di sekolah tempat saya mengajar
        esok

Percayakah anda, sebahagian besar pelajar yang mencetuskan masalah di sekolah datang dari 
keluarga yang bermasalah ?

Saturday, February 18, 2012

Doa Pemuda Soleh

Di sebuah gerai menjual roti, seorang pemuda soleh meneliti beberapa bongkah roti yang
berbaris kemas di atas meja.

"Berapa harga roti itu?" Tanyanya sambil menuding ke arah sebongkah roti yang nampak
segar seperti lepas dimasak.

"Tak mahal, 1 dirham saja, " jawab penjaja gerai dengan wajah yang manis.

Pemuda soleh itu menyeluk sakunya untuk mengeluarkan wang. Dahinya tiba-tiba berkerut,
jarinya masih tercari-cari. Ke mana perginya wang aku, desis hati kecilnya.

"Minta maaf, saya sudah kehilangan kesemua wang saya. Baru sebentar tadi, ia masih ada,"
jelas pemuda soleh itu kepada penjaja.

Seorang lelaki yang berdiri berdekatan dengannya dan mengenali peribadi pemuda soleh
itu terus berkata; " Ya Allah, kudungkanlah tangan orang yang mencuri wang pemuda ini. "

Mendengar itu, si pemuda soleh terus menyambung, " Ya Allah, jika wang itu diambil
kerana desakan hidup untuk memenuhi keperluannya, berkatilah ia. Tetapi jika ia diambil
kerana tidak takut kepada dosa, moga-moga inilah dosanya yang terakhir."


 Sungguh bukan mudah untuk berlapang dada atas sesuatu yang terjadi, tapi bila Allah
mengkehendaki ianya terjadi, ia tetap akan terjadi, dan setiap yang terjadi pasti ada hikmah
tersembunyi......



Friday, February 3, 2012

Cinta Rasul: Kisah-kisah tauladan....

Kisah 1

Hazrat Bilal r.a ialah seorang sahabat yang masyur yang sentiasa menjadi juru azan di Masjid
Nabawi. Pada mulanya, beliau seorang hamba kepada seorang kafir dan kemudiannya telah
memeluk islam. Beliau telah di seksa dengan berbagai cara oleh tuannya Umayah bin Khalaf.
Akhirnya beliau bebas selepas dibeli dan dimerdekakan oleh Saidina Abu Bakar r.a.
Semenjak itu, beliau menjadi juru azan di Masjid Nabawi. Selepas kewafatan Nabi s.a.w,
sukar bagi Bilal r.a untuk terus tinggal di Madinah dengan melihat tempat baginda s.a.w yang
telah kosong. Oleh itu beliau telah berniat untuk menghabiskan saki baki hidupnya dengan jihad.
Beliaupun bertolak untuk menyertai jihad dan tidak pulang ke Madinah untuk tempoh yang lama.
Pada suatu hari beliau telah bermimpi bertemu Nabi s.a.w. Baginda telah bersabda, "Bilal !
Apakah yang menyebabkan engkau tidak pernah datang kepadaku?"

Setelah terjaga daripada tidur beliau terus pergi ke Madinah. Hazrat Hasan dan Husin r.a
iaitu cucu Nabi telah memohon agar beliau melaungkan azan. Permintaan itu tidak dapat ditolak.
Beliaupun  mula melaungkan azan seperti di zaman Nabi s.a.w. Sebaik sahaja suara beliau sampai
ke pendengaran penduduk Madinah maka berhamburanlah air mata mereka sehingga mereka
keluar dari rumah-rumah mereka dalam keadaan menangis kerana terkenang saat-saat ketika
baginda Nabi s.a.w masih hidup.

Kisah 2

Seorang wanita telah pergi berjumpa Saidatina Aisyah dan berkata kepadanya, " Bawalah saya
menziarahi makam Rasulullah s.a.w." Saidatina Aisyah pun membuka bilik itu dan wanita itupun
pergi menziarahi makam tersebut sambil menangis. Beliau menangis dan terus menangis sehingga
meninggal dunia.

Kisah 3

Seseorang telah bertanya kepada Hazrat Ali r.a, " Setakat mana kasih sayang tuan terhadap
Rasulullah s.a.w?" Beliau menjawab, " Kami mengasihi Baginda s.a.w lebih daripada harta-harta
kami, anak-anak kami, ibu-ibu kami dan lebih daripada air sejuk ketika tersangat dahaga."

~ dipetik dari kisah para sahabat


Cinta, rindu dan kasih sayang para sahabat terhadap Baginda s.a.w begitu mendalam, moga kita
yang hidup di akhir zaman ini dapat mencontohinya.............
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...