Wednesday, March 30, 2011

....dari hati seorang guru.........

(Entri ini sepatutnya ditulis sehari selepas keputusan SPM diumumkan
tetapi ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu....khas untuk anak-anak
muridku, bekas pelajar-pelajarku juga kepada remaja-remaja diluar
sana yang sedang melalui saat-saat terindah dalam hidup mereka.....)

Anak-anak muridku yang masih muda remaja,
Salam sayang kepada anda semua. Entri ini cikgu tulis khusus buat kalian,
sebagai pesanan juga satu luahan perasaan dari insan yang pernah hadir
seketika dalam hidup kalian. Pada hari kalian hadir untuk menuai hasil
usahamu selama 5 tahun di sini, kita tak sempat utk duduk berbual lantaran
kesibukan cikgu dan keterujaanmu bersama-sama teman-teman.

Oh, dah remaja rupanya kalian. Sewaktu mula-mula kita bertemu 5 tahun yang
lalu, kamu masih kanak-kanak comel yang masih mentah dan menurut perintah.
Lihatlah pantasnya masa berlalu, hari ini kamu telahpun membesar sebagai
remaja yang dalam perjalanan menuju ke alam dewasa. Bagaimana rasanya
melalui detik-detik remajamu yang selalunya dianggap fasa terindah dalam
hidup seorang manusia? Moga-moga dalam usia yang muda ini kamu akan
selalu dilindungi oleh Allah yang maha pengasih, diperteguhkan iman untuk
menempuh segala ujian, cabaran dan godaan yang mendatangimu tanpa
amaran......


Anak-anak muridku yang pernah kuberikan nasihat,
Masih ingatkah kalian tentang nasihat yang cikgu berikan tentang solat?
Masihkah tersemat dalam ingatanmu tentang jaminan Allah terhadap orang
yang menjaga solat diawal waktu dengan sempurna? Atau kamu sudah lupa
lantaran tipudaya dunia yang begitu mempesona? Ingatlah, walau di mana
dan bagaimana.....kamu tidak boleh sesekali meninggalkan solat.....kerana
solat itulah yang pertama sekali akan diperhitung di akhirat ....kamu masih
muda , tenagamu masih kuat, jiwamu penuh bersemangat, inilah waktunya
kamu mencari cinta Ilahi yang penuh berkat......Boleh saja kamu bergembira
dengan dunia remajamu tapi bila tiba waktu Dia memanggilmu untuk bersolat,
datanglah kepadaNya.....

Anak-anak muridku yang pernah kucurah ilmu,
Bertahun-tahun kamu menempuh alam persekolahan, mengutip pengalaman,
membina impian masa hadapan, tahukah kamu apakah ilmu yang bermanfaat?
Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang apabila kamu pelajari, ia membawa
kamu lebih dekat kepada Pencipta alam ini. Jadilah apa saja dalam kehidupanmu,
asal saja kamu tidak lupa pada yang Maha Pencipta.Asal saja kamu tidak lupa
tanggungjawabmu terhadap agama. Ambillah sedikit waktumu untuk duduk
melihat kebesaran Allah, sesekali dalam tutur bicaramu yang lancar itu,
berbicaralah tentang kebesaran Allah kerana apabila kamu selalu bercakap
tentang kebesaran Allah kamu akan dapat merasakan betapa kerdilnya kita........

Anak-anak muridku yang pernah kutanyakan tentang cita-cita,
Masih ingatkah kalian tentang bicara kita tentang hidup dan cita-cita? Apabila ku
tanyakan apakah cita-citamu, kamu yang masih muda  itu menjawab tanpa
ragu-ragu. Kamu ingin menjadi orang berjaya, kamu mahu menjadi orang yang
kaya, kamu mahu segala-galanya......tiada salahnya, berusahalah, berusahalah
tanpa mengenal penat dan lelah, tanpa melanggar hukum agama, tanpa
menganiaya teman-teman seusia, dan setelah kau berusaha, berdoalah
kepadaNya kerana hanya Dia yang bisa memberikan apa yang kau pinta.
Andai apa yang kau impikan itu tidak kesampaian, jangan berputus asa
kerana pastinya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk mu......tapi tahukah
kamu siapa orang yang berjaya, siapa orang yang kaya?
Orang yang berjaya adalah orang yang dapat taat perintah Allah dan dapat
pula mengikut sunnah yang  ditunjukkan oleh Rasullah s.a.w manakala orang
yang kaya adalah orang yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan
tidak pula merasa tamak dengan nikmatnya dunia.......

Anak-anak muridku yang sedang mencari cinta,
Masih ingatkah kalian tentang pesananku berkaitan cinta? Ingatlah.....Cinta itu
cukup indah lagi mengasyikkan, namun ia boleh membunuhmu dengan cara
yang paling halus....berhati-hatilah . Cinta itu juga mahal dan tidak boleh dijual.
Cinta itu fitrah insani, bukan untuk dipersenda atau dieksploitasi. Bukan juga
untuk kau jadikan tukaran duniawi. Ingatlah pesanku, jangan terlalu mudah untuk
jatuh cinta, kelak jiwamu parah merana. Usah terlalu mudah percaya kepada janji,
kelak hatimu mudah sekali untuk dilukai, bila kau temui insan yang kau sayangi,
mohonlah petunjuk dari Ilahi........

Anak-anak muridku yang tersayang,
Dari kejauhan ini, cikgu doakan kamu bahagia dengan hidupmu, moga kamu
selalu diberi petunjuk untuk memilih yang terbaik antara yang baik, jika suatu
waktu kamu tersasar, carilah jalan keluar, pohonlah keampunan dari Allah yang
Maha Besar, Yang Maha Pengasih dan juga Maha Mendengar.....

(semoga alam remajamu menjadi detik terindah dalam hidupmu....
 menjadi kebanggaan ayah dan ibu lantaran lantaran teguhnya kamu
 menjaga susila dan tingkahlaku dalam dunia yang semakin hilang sifat malu)



Salam Sayang dari Cikgu

Monday, March 28, 2011

BLACKOUT

Terjaga di kedinginan pagi
segalanya gelap, kelam dan sunyi
Eh! Apa yang terjadi?
Teraba-raba mencari lilin di dalam laci
Mujur juga kecanggihan teknologi
Membolehkan sedikit cahaya didapati
Dari telefon bimbit dibeli suami
Kebetulan pula suamiku tiada kerana berpergian 3 hari
Anak lelakiku sedikit bersunggut kepada diri
Tetapi puteriku ketawa melihat bebayang sendiri
Oh! Alangkah berbezanya sang putera dan si puteri
Maaflah Umi tak sempat nak goreng mi bagai dijanji
tapi jangan risau insyaAllah ada rezeki
dapatlah anakku 'candle light breakfast' hari ini
aku berkata di dalam hati
ujian ini kecil sahaja tak perlulah nak susah hati
Anak-anakku yang dikasihi
kegelapan ini sementara saja
tapi kegelapan di alam kubur bagaimana nanti?
tahukah anda apakah hikmah yang tersembunyi
di sebalik 'blackout' yang terjadi pagi-pagi ini?
(60 saat utk meneka, kalau betul doalah apa anda inginkan hari ini....)

Friday, March 25, 2011

Nak Jadi Bidadari?

Suatu Petang, anak perempuanku yang berumur 10 tahun bertanya kepadaku
tentang bidadari.

"Bidadari tu apa, umi? Manusia ke?"

Oleh kerana aku tempat rujukan anak-anakku, maka aku cuba menjawab sebaik
mungkin berdasarkan pengetahuan yang aku ada.

"Oo...bidadari tu penghuni syurga. Caantiiiik sangat, lebih cantik dari mana-mana
wanita tercantik kat dunia ni...wajahnya bercahaya, kulitnya putih bersih, matanya
bersinar, baunya harum... kalau seorang saja dari mereka datang ke dunia ini,
keharumannya akan memenuhi antara langit dan bumi..."

"Wah...mesti semua orang terpegun melihatnya..!" Anakku menunjukkan
keterujuaannya.

"Sebenarnya tak ada siapapun pernah tengok bidadari tu, sebab bidadari
tu duduknya di syurga. Bidadari tu dicipta oleh Allah untuk orang lelaki
yang soleh kat dunia ni."

"Oo...kalau macam tu, abah nanti dapat bidadarilah kat syurga? Eh...Umi
tak jeles ke." Anakku bertanya lagi.

"Emm...Taklah.....sebab nanti kat syurga tu umi akan jadi ratu kepada segala
 bidadari tu"

"Eh!.....macam tu ke?" Anakku kehairanan. Budak lagi, mana nak faham.

Ahaa...kalau kanak-kanak yang berumur 10 tahun sudah menunjukkan
keterujuaannya apabila mendengar tentang bidadari, apatah kita yang sudah
dewasa ini.Betul tak?

Oo...aku tidak berbohong kepada anakku tentang bidadari itu. Dalam satu
hadis yang pernah kubaca, ada menyatakan mafhumnya bahawa tutup kepala
salah seorang bidadari syurga itu lebih baik dari dunia dan seisinya. Bidadari
juga dikhabarkan mempunyai sifat yang sangat pemalu sehingga mereka
tidak pernah melirikkan pandangan kepada mana-mana lelaki kecuali kepada
suami mereka sahaja.

Emm....itu bidadari di syurga, di dunia ni ada tak bidadari?

Ada. Siapa ? Kitalah. Begini, kitapun boleh jadi bidadari kepada suami kita
di dunia ni. Macam mana? Kita taat padanya, kita gembirakan hatinya, kita
layan dia dengan layanan yang terbaik, kita tenangkan hatinya di kala dia resah
gelisah, kita bantu ringankan bebannya ketika dia kusut dengan masalah dan
yang terpenting kita bantu dia untuk mengukuhkan imannya serta agamanya.
Janji Allah, seorang isteri yang solehah kepada seorang suami akan kekal
menjadi ratunya di syurga di samping bidadari. Apa lagi? Taknak ke kita cuba
rebut peluang ni?

Ada juga tawaran yang Allah bagi kepada kaum Adam di dunia ni.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda, Allah s.w.t berfirman:
"Aku siapkan bagi hambaKu yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh
mata, tidak pernah di dengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh
fikiran."                                                     [Hadis riwayat Bukhari & Muslim]

Wahai kaum adam di luar sana, baik yang masih muda teruna mahupun yang
sudah berumahtangga, tidakkah anda teringin merebut ganjaran ini yang telah
dijanjikan oleh Allah? Andai anda perbaiki diri anda menjadi lelaki soleh,
akan  lahir pula ramai wanita solehah  kerana suami yang soleh biasanya
berupaya membentuk wanita yang biasa-biasa kepada wanita yang solehah
selepas perkahwinan mereka.

Meminjam kata-kata seorang blogger muda yang sedang femes, seorang lelaki
yang hebat tidak dinilai dengan siapa wanita yang dikahwininya tetapi dinilai
kehebatannya  dari bagaimana wanita itu selepas dikahwininya. Yer dok?



Ya Allah, bantu aku menjadi bidadari terbaik di hati suamiku.........

Tuesday, March 22, 2011

Thank you for listening......

Seorang teman baikku, datang ke sisiku dan mula meluahkan rasa.
Biasanya aku akan tinggalkan seketika kerja-kerjaku ketika itu
dan mula mendengar luahannya. Kira-kira 20 minit kemudian, sebelum
dia bangun dan berlalu, dia berbisik perlahan "thank you for listening....."

Pernahkah dalam hidup korang, ada ketikanya korang rasa sangat down,
tertekan, fikiran buntu dan ketika itu korang rasa seperti i need somebody
beside me to share my sadness? Tentu pernah bukan. Apa korang buat
bila korang dalam keadaan seperti itu? Cari kawan yang boleh tolong
dengar masalah kita ?

Sebagai  manusia biasa, ada ketikanya kita melalui saat-saat sukar dalam
kehidupan kita. Di saat-saat seperti itu alangkah bagusnya bila ada teman
yang dapat mententeramkan perasaan kita. Teman yang buat seketika
dapat meminjamkan telinganya utk mendengar segala keresahan dan
kedukaan  yang bersarang di jiwa. Dan tentunya beruntung sekali bila orang
yang mendengar itu dapat pula memberi kata-kata semangat untuk kita kembali
ceria.

Sebenarnya, sebagai seorang muslim, kita telah ditunjukkan cara agar ketika
jiwa berasa sempit, hati merasa sakit dan perasaan terhimpit, mengadulah
terlebih dahulu kepada Yang Maha Adil. Dialah Allah tempat kita meminta,
mengadu segala suka dan duka, memohon segala hajat dan keinginan membara.
Dia yang memberikan kita ujian, Dia jugalah yang akan menunjukkan kita jalan.
Dan kita sebagai tanda kehambaan, haruslah menadah tangan memohon
pertolongan kerana Allah sangat suka mendengar rintihan dari lubuk hati
hambaNya yang beriman.

Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.....

"Berdoalah kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonanmu"
                                                                           (Surah Al Mu'min:ayat 60)

Sahabatku sekalian,
Kita manusia biasa, tentunya dalam hidup kita, kita tetap perlukan teman
pengubat jiwa, penghibur di kala duka. Apabila ada temanmu datang meluah
segala gelodak di jiwa, tiada salahnya kita duduk mendengar untuk seketika.
Barangkali itu dapat meredakan ketegangannya, melapangkan segala kesempitan
perasaannya....

Selalunya bila ada temanku datang meluah perasaan, aku cuba sedaya upaya
untuk mendengarnya kerana bagiku dia telah memberikan aku kepercayaan
dan apalagi yang berharga dalam sebuah persahabatan selain dari
kejujuran dan kepercayaan?

Akupernah dihubungi oleh seorang teman lama yg sangat tertekan dengan
hidupnya yang penuh ujian.....beberapa lama bergayut di talian, akhirnya
sebelum menutup bicara dia berkata dengan nada perlahan,
 "....sorry for disturbing you, i really need somebody to share
   my feelings....thank you for listening....."



..............if you are willing to tell, I am willing to hear......................

Saturday, March 19, 2011

Bicara Orang Putus Cinta....

Suatu hari, seorang remaja mengadu perihal kesedihan hatinya kepada gurunya....

"Saya sangat sedih sekarang, cikgu. Jiwa saya kosong...."

"Mengapa? Apa yang berlaku padamu?"

"Saya baru putus cinta....kekasih saya telah pergi meninggalkan saya.."

"Jadi , apa yang disedihkan? Bukankah itu berita gembira?"

"Berita gembira? Saya sangat sayangkan dia...dah 3 tahun kami berkawan,
sejak  sekolah  menengah  lagi..."

"Berkawan saja tidak membawa apa-apa makna. Dia sayangkan kamu, sebab itu, dia tinggalkan kamu.."

" Maksud cikgu?"

"Dia tidak mahu kamu terus terbang dengan angan-angan kosongmu?"

"Angan-angan kosong? Maksudnya?"

"Apa yang kamu harapkan dari percintaan itu?"

"Sudah tentu saya harap saya boleh berkahwin dengannya suatu hari nanti..."

"Kamu pasti kamu boleh berkahwin dengannya?"

"Tidak pasti, tapi bukankah percintaan itu sepatutnya berakhir dengan perkahwinan?"

"Sepatutnya...tetapi ia tidak selalunya terjadi kerana jodoh itu bukan pilihan kita, ia ketentuan Allah.."

"Arrg...saya tak faham...saya jatuh cinta padanya ketika dia sedang mencari
seseorang untuk menjadi sumber inspirasinya...saya menjadi kekasih yang
menjadi motivasi untuknya berubah dari budak lelaki yang nakal kepada pelajar
lelaki yang lebih baik"

"Adakah dia berubah selepas mengenalimu?"

"Ya, dia berubah menjadi baik...saya gembira....saya memberinya nasihat supaya
dia rajin belajar,tinggalkan segala perlakuan buruknya tapi sekarang bila dia
berjaya,  dia lupakan saya...."

"Mengapa dia pergi tinggalkan kamu?"

"Dia sudah bosan dengan saya....katanya, saya mengongkongnya....dia mahu bebas..."

"Oh....sebenarnya, dia telah membuka jalan yang betul untukmu...."

"Maksud cikgu?"

"Dia tidak sesuai untuk mu. Kamu terlalu baik untuknya, kamu menerimanya ketika
 orang lain benci pada kenakalannya...kamu sabar membimbingnya.....mungkin
 benar dia berubah menjadi baik tapi  itu untuk sementara waktu kerana dia
berubah bukan kerana kesedarannya, dia berubah kerana kamu. Perubahan itu
 tidak datang dari hatinya yang ikhlas....."

"Tapi saya sayang padanya...."

"Kalau betul kamu sayang, biarkan dia pergi. Jangan tangisi pemergiannya.
Biar dia pergi mencari haluannya sendiri, kalau dia betul-betul ingin berubah,
dia akan menemui jalanNya...."

" Silapnya saya jatuh cinta padanya "

"Semua manusia melakukan kesilapan. Mungkin ini juga pelajaran berguna untuk
kamu. Kamu akan jadi lebih kuat selepas ini. Jangan jadikan kekecewaan ini
untuk kamu terus kalah. Buktikan padanya bahawa hidup kamu  lebih baik
selepas ditinggalkan dan pemergiannya tidak mematahkan semangatmu.
Tumpukanlah kepada pelajaran dahulu"

"Bagaimana saya mahu lupakan dia cikgu?"

"Sibukkan dirimu. Sibukkan dirimu dengan solat, membaca alquran,
 mengulangkaji pelajaran,  bersama-sama teman-teman , jangan bersendirian,
 nanti kamu akan mendengar bisikan syaitan"

"Sungguh saya rindu padanya..."

"Letakkan rindumu di tempat yang betul..."

"Saya menangis setiap kali teringat padanya...."

"Untuk sementara waktu ini, menangislah sepuas-puasnya kerana itu fitrah
semulajadi manusia,  tapi jangan biarkan tangisan itu menguasaimu hingga
 kamu lupa tanggungjawab dan amanah yang perlu kamu laksanakan
ketika ini"

"Terlalu payah rasanya...."

"Boleh, berdoalah kepada Allah agar kamu boleh lupakan dia, cuba amalkan
baca  surah Taha ayat 115.....Insyaallah"

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Perbualan di atas terlalu skema....ia telah diubahsuai dari perbualan sebenar
yang berlaku antara seorang guru perempuan dan remaja perempuan .

Perasaan ingin mencintai dan dikasihi adalah fitrah semulajadi yang diberikan
Allah kepada setiap insani. Cinta itu suci dan tidak sepatutnya dicemari.
Ia perlu dijaga, dipelihara dan diberikan hanya kepada yang berhak saja.....
Sebelum kau berikan cintamu kepada manusia, cintailah dulu Penciptamu,
kelak kan kau temui kebahagiaan yang tak terucap oleh perkataan, tak
terbeli oleh kekayaan....

Meskipun rapuh dalam langkah ,kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa...  hanyalah  padaMu .............

Friday, March 18, 2011

Siapa Kita ?

Siapa kata kita kuat?
sedang ketika bencana datang menggugat
kita tak bisapun melawan dengan kudrat
hanya mampu melihat
segalanya musnah dalam sesaat

Siapa kata kita gagah?
sedang ketika bumi melampiaskan sedikit amarah
kita hanya mampu berserah
tak bisa menahan segala  yang telah rebah
masihkah kita sombong dan bermegah-megah?

Siapa kita sebenarnya?
kita takpunya apapun di dunia ini
masihkah kita ingin mengaku berkuasa
sedang tanpa izinNya kita tak akan bisa
bersuara......... hatta..........
mengelipkan kelopak mata
masih degilkah kita untuk mengaku
bahawa Allah itu wujud dan Maha Perkasa
Pentadbir dan Penguasa segala jagat raya...............


Ya Allah, pelihara kami dari segala bala bencana ini...

Wednesday, March 16, 2011

Fikir wanita

Kata seorang pembayan(penceramah):

" ....kalau wanita tiada fikir atas agama, mereka akan fikir atas dunia,
  bila mereka fikir tentang dunia saja, lelaki akan terima padahnya
  tapi bila mereka ada fikir tentang agama, lelakipun akan dapat
  manfaatnya. Sebab itu, sangat penting untuk wanita ada fikir atas
  agama....."

Betul kah? Mari kita baca cerita sebenar yang diceritakan sendiri kepada
penulis oleh seorang insan bernama wanita........


Wanita ini, ibu kepada 3 anak yang masih kecil memberitahu penulis:

"Dulu suami saya rugged dan agak rock. Hidup kami sebelum ni tak macam ni,
suami saya walaupun solat tapi tak penuh, main ikut suka, rasa nak solat, solat,
 kalau tak sempat, tak buat...maklumlah sibuk dgn urusan bisnes selain sibuk juga
dengan aktiviti sampingan seperti konvoi motosikal besar, ahli kelab  bla....bla......
Masjid surau pun tak pernah pergi kecuali hari jumaat. Lama kelamaan sebagai
 isteri rasa susah hati sebab suami tak kenal dengan orang masjid, buatnya mati
 awal sapa pulak nak uruskan jenazah kami, jadi saya start beli buku agama yang
 ringan-ringan, beli tape ceramah agama pasang dalam kereta dan tak lupa doa
untuk suami agar Allah bukakan pintu hatinya untuk terima hidayah di samping
pujuk dia supaya dekat-dekatkan diri dengan masjid. Suatu hari, ketika
 suami sedang makan di sebuah warung (berseorangan ketika itu), 
sekumpulan jemaah datang makan dan duduk disebelah mejanya.
Tiba-tiba suami tergerak hati untuk bertanya dari mana mereka datang dan
apa mereka buat, jemaah pun jawab dan ajak suami datang kat masjid di sebelah
petang. Memeranjatkan kerana suami yang sebelum ini liat nak ke masjid,
tiba-tiba rasa senang nak ke masjid lepas asar dan terus ikut jemaah buat  gaz.
Terpinga-pinga kerana itu pertama kali ikut  jemaah jumpa orang. Balik ke rumah
suami bagitahu keterujaannya dapat pengalaman  baru...sesuatu yang tak
pernah dibuatnya sebelum ini walaupun dalam hidupnya biasa jumpa ramai orang
kerana urusan bisnes tapi  kali ini memang lain dari yang lain. Esoknya si suami
rela hati tanpa dipaksa isteri untuk duduk dalam program jemaah tersebut......."

Barangkali kerana fikir isterinya yang 'sedikit' itu dan keikhlasan doanya telah
menyebabkan Allah memberi hidayah kepada si suami yang sebelum ini ambil
mudah tentang agama. Semenjak peristiwa itu si suami sentiasa membahagikan
masa antara rumahtangga, perniagaan dan usaha agama tanpa ragu-ragu .....
dan  ketika artikel ini ditulis si isteri memberitahu suaminya sedang mengumpul
wang untuk  ke England selama 4 bulan...nak ikut jemaah buat usaha agama
di sana ......moga usaha beliau dipermudahkan Allah.


Kesimpulannya, mana-mana lelaki yang kadang-kadang diperingatkan isteri
tentang tanggungjawab kepada agama janganlah rasa ego taknak terima nasihat
isteri kerana isteri yang solehah bukan saja  inginkan suaminya menjadi lelaki
hebat di sisinya tetapi hebat juga di sisi Allah .....



Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan...........

Tuesday, March 15, 2011

3 hari 2 malam

3 hari 2 malam
tetamuku datang bertandang
bukan untuk sembang-sembang
tapi untuk belajar dan berbincang
tentang iman yakin yang semakin hilang

3 hari 2 malam
tetamu ku datang bertamu
meski sebelumnya kami tidak pernah ketemu
tapi masih bisa mencipta mesra dan rindu
kerana kami bertemu untuk berkongsi ilmu

3 hari 2 malam
membaca hadis dan al quran
bermuzakarah dan mendengar bayan
bersoal jawab merungkai persoalan
mencari kekuatan membina keyakinan
untuk mendepani hidup yang penuh cabaran
agar dalam sibuknya urusan seharian
masih bisa mencari keredhaan tuhan
mengamalkan sunnah yang ada kejayaan
buat bekalan dihari kemudian


3 hari 2 malam
tetamuku pulang menjelang petang
bersama silaturrahim yang bakal dikenang
akupun kembali membuka
laman sesawang..........




norsha ....................11.00 malam (14/3/2011)

Friday, March 11, 2011

Maka bermulalah cuti sekolah

Selamat Bercuti untuk Semua-semua yang berkaitan
Ada pantun untuk anda semua


            Minta roti diberi roti
            Dalam roti ada inti
            Minta cuti diberi cuti
            Dalam cuti kerja menanti


Selamat Bercuti...................Ada program masturat menanti, jemput datang siapa yang sudi.....




Program masturat mula sabtu (ptg) hingga isnin....

Thursday, March 10, 2011

Rezeki....

Hari ini kena bawa 3 orang anak murid pergi Kuiz Pelaburan PNB di SMKBR.
Pagi-pagi sampai sekolah, anak-anak muridku yang baik dan menurut perintah itu
sudah menunggu di kantin.

"Okay, kita pegi library dulu, buat persediaan apa yang patut" arahku pada mereka.

Oleh kerana Kuiz mula pukul 10.00 sempatlah kalau nak bertolak pukul 9.00 pagi.
Di kuantan ni takdelah jem sangat. Jadi, dalam jarak 20km antara sekolahku dan
SMKBR masih boleh sampai dalam 20 atau 25 minit.  Kuiz tu baru peringkat awal,
semua sekolah di Kuantan ambil bahagian, secara bertulis saja selama 1 jam.

Lepas habis kuiz, lebihkurang pukul 11.00 pagi ada jamuan makan di kantin.
Semua peserta dan guru pengiring boleh jamu selera. Wau! bestnya.....alhamdulillah
dapat makan free....oh, nasi minyak lagi. Apalagi, kami pun makan dengan
berseleranya., sambil-sambil tu tengok kat keliling kantin.

Mulakan dengan Bismillah, akhiri dengan Alhamdulillah.

Wah, bagus betul kantin ni! Siap tulis peringatan ( besar pulak tu) supaya tak lupa doa makan.

Lepas makan, aku teringat pada anakku yang ada di rumah (tak pergi sekolah ari ni sebab
demam, sikit saja tapi dah doktor bagi mc....) . Kalau beli sebungkus, bagus juga ,
boleh bagi kat anak,  kataku dalam hati.

So, akupun pergi bagitahu kat budak kantin tu nak bungkus satu nasi minyak.
Diapun bungkus, bila aku nak keluarkan duit untuk bayar, dia kata ;

"Takpe, takpe cikgu.....tak payar bayarlah"

"Ehh...apa pulak tak payah bayar....saya nak beli ni, bukan nak free..."

"Betul....tak payah bayar, ni satu lagi saya bagi kat cikgu..."

Ya Allah, dahlah tak payah bayar, bagi free lagi satu! Subhanaallah.....

Eh, apasal diorang ni baik sangat hah? Takpelah, dah dia nak bagi ambikjelah....
So, betullah rezeki tu di tangan Allah, kadang-kadang dalam hidup ni kita akan
dapat rezeki yang tidak diduga.....

Untuk pakcik kantin  dan pekerjanya yang baik hati tu, aku doakan mereka murah
 rezeki dan terus dapat kontrak lagi untuk tahun depan.

On the way  balik ke sekolah, aku singgah Seven-E dan belanja anak muridku snek
yang sedap dan digemari ramai.

" Wau!....cikgu belanjalah .....terima kasih cikgu................"

Aku senyum dan jawab "Alah, sikit je tu.............."

Kalau orang tak berkira dengan kita, apa salahnya kitapun tak berkira dengan orang lain....



Ya Allah, jauhilah kami dari sifat kikir dan kedekut......................

Wednesday, March 9, 2011

Hujan....

Akhirnya, setelah berminggu-minggu digigit panas yang menyengat, hujanpun
turun membasahi bumi Kuantan ini.....lebat sekali.....................

Oh.....Panas rahmat........ hujan pun rahmat..................

                                          "Allahumma Syaiyiban Nafi'a"

                      [Ya Allah, Ya tuhan kami, Jadikan hujan ini bermanfaat bagi kami]



Ada hadis nabi yang mengatakan , dua doa yang tidak ditolak ialah ketika azan dan ketika hujan turun........




Ya Allah, berikan kebaikkan untuk seluruh umat ini.................

Selamat Hari Wanita

Ketika sedang sibuk dengan tugas-tugas rutin di sekolah, aku terima sms dari  teman hidupku berbunyi :

                                              "Selamat Hari Wanita"

Oh, baru aku tahu rupanya hari ini (Selasa, 8 Mac 2011) rupanya Hari Wanita Antarabangsa, err....Selamat Hari Wanita kepada semua wanita-wanita di alam maya, di luar sana, di Malaysia dan di seluruh dunia. Marilah kita menjadi wanita solehah lagi mukminah. Kepada anda ingin kusampaikan coretan ini:

                     Jadilah dikau wahai wanita mithali
                     contoh teladan diakhir zaman ini
                     meski bukan mudah untuk kita mendepani
                     cabaran dan ujian yg datang silih berganti
                     namun dengan rahmat dan kasih sayang Ilahi
                     marilah kita cuba menjadi
                     permaisuri dan penyejuk hati suami
                     sumber inspirasi anak-anak yang dikasihi
                     dihormati kawan, dikagumi lawan
                     disegani bukan ditakuti,
                     disayangi bukan dibenci,
                     tidak dipuja tidak juga dicela
                     tidak memandang dan tidak dipandang.....



     "SELAMAT HARI WANITA SEMUA - TERUSLAH BERBAKTI TANPA HENTI"



"Di dunia ini mengandungi kenikmatan, dan sebaik-baik kenikmatan itu adalah wanita yang solehah."
                      (Hadis riwayat Imam Muslim, Nasa'i dan Ibnu Majah)



Marilah kita berusaha menjadi seperti Saidatina Khadijah yang kuat, tabah dan pemurah.......

Sunday, March 6, 2011

Makmurnya Hidup Rakyat Malaysia

 Hujung minggu yang lalu, aku dan keluargaku menghabiskan waktu petang kami shopping di pasaraya besar atau kata lainnya Giant. Sebenarnya aku bukan rajin sangat nak pergi melawat kat pasaraya  tu di saat semua  kakitangan kerajaan (mungkin juga swasta) baru dapat gaji. Al maklumlah kalau baru dapat gaji, rakyat Malaysia memang murah hati nak bagi semula duit tu  kat tauke-tauke kedai dan pasaraya-pasaraya yang berlambak ada kat negara ni. Kalau bukan kerana anakku nak cari barang-barang untuk pergi perkhemahan minggu depan, dah tentu masa ni aku tengah lepak atas buaian kayu kat depan rumah kami sambil menikmati keindahan panorama waktu petang yang terbentang luas di hadapan.......

Memang bukan waktu yang menyeronokkan shopping di kala ramai orang bersesak-sesak dalam bangunan satu tingkat ni. Banyak masa tepaksa dihabiskan  mencari tempat strategik untuk parking kereta. Berpusing dua tiga kali baru dapat parking, itupun terpaksa sabar menunggu pemilik kereta lain angkat masuk barang-barang mereka terlebih dahulu ke dalam bonet. Oh, banyak sungguh mereka beli sampai penuh troli tu. Rakyat Malaysia memang bertuah, banyak duit dan tak kedekut untuk berbelanja....

Lepas parking kereta elok-elok, kami pun masuk pasaraya dengan gembiranya .Nasib baik ada sorang kawan tolong ingatkan supaya jangan lupa baca doa masuk pasar. Akupun tanya suami cammana doa masuk pasar tu. Oh, dia tahu rupanya ! La, kenapalah dia tak bagitahu aku, ni asyik ajar aku doa masuk dapur je...
Ooo....baru aku ingat, aku jarang pergi pasar sebenarnya. Bab-bab beli barang dapur ni selalunya aku serah kat dia. Sebab apa? Sebab aku taknak sakit kepala. Hari-hari aku bangun awal pagi, siapkan sarapan , sebelum pukul 7 pagi dah kena tekan minyak kereta, sampai sekolah.... turun naik tangga, keluar masuk kelas, kalau takde mesyuarat bolehlah balik kul 2.45 tapi selalunya pukul 3 baru dapat balik, 3.30 sampai rumah, rehat sekejap, solat asar, lepas asar masuk dapur balik masak apa yang patut, 5.30 pulak jemput anak dari kelas KAFA, 6. 30 ptg suami sampai rumah, kena layan juga kot-kot nak minum air ke , apa ke, laa.....dah nak magrib. So, bila aku nak pergi beli barang?. Oleh kerana Allah hadiahkan aku seorang suami yang bertanggungjawab, jadi selalunya dia minta aku listkan barang-barang yang perlu dan dia akan cuba cari lepas balik kerja (kan senang, aku takpayah fikir kicap jenama apa, beras cap apa, minyak masak keluaran syarikat mana). Yang penting, bila sampai waktu aku nak masak, semua barang tu ada dan dia boleh makan dengan senang hati. Bayangkanlah kalau  aku dapat suami yang ego dan tak mahu  langsung tolong ringankan kerja isteri....apa jadi? Oh....Rasulullah s.a.w pun rajin tolong isterinya buat kerja-kerja rumah....

Err....sesiapa yang baca jangan salah anggap ye, aku tidak bersungut dengan kerja-kerja rutin yang aku buat tu (Just cerita). Malahan aku rasa bangga dapat melaksanakan tugas-tugas tersebut, 4 dalam 1, sebagai isteri, ibu, guru, hamba Allah  dan sekarang aku dapat pula hobi baru.....ha...ha...ha....writing and blogging

Ok, balik kepada cerita tadi. Kamipun cari barang-barang yang perlu di tengah-tengah kesibukan orang ramai yang berbagai ragam, berbagai rupa dan pelbagai gaya. Masa nak bayar kat kaunter...punyalah panjang barisan. Troli masing-masing penuh atau hampir penuh dengan muatan. Waktu nak bayar, semua senang hati keluarkan duit atau kad kredit dari dompet. Lagi sekali membuktikan rakyat Malaysia memang tak kisah berbelanja untuk kesejateraan keluarga mereka....bestkan hidup kat Malaysia ni, takde nak risau ada orang letak bom ke atau letupkan diri  macam di Iraq atau Pakistan tu.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, kami lalu kat satu lagi pasaraya. Dari luar aku nampak senario yang sama. Banyak kereta parking kat tempat letak kereta, orang ramai keluar masuk bawa barang-barang yang dibeli, bukan sikit-sikit tapi berplastik-plastik. Apa maknanya? Kat mana-mana pun di bumi Malaysia ni, senarionya sama je, rakyatnya boleh berbelanja dengan senang hati, tak ada siapa yang larang, kalau tak cukup duit, banyak bank offer untuk bagi pinjaman peribadi, senang sangat, hari ni apply, minggu depan terus dapat.....

Hampir-hampir nak sampai kat kawasan perumahan akupun ada satu lagi pasaraya. Sama juga keadaannya. Aman damai orang ramai keluar masuk pasaraya, bawa anak isteri, nampak bahagia sekali. Naik pelik juga, ramai betul penduduk kat bandar Kuantan ni. Pasaraya penuh, Shopping mall sesak, kedai makan apatah lagi. Kat mana-mana kedai makan, pasti ramai pelanggan. Kalau tak percaya, pergilah jalan-jalan tengok keadaan kedai-kedai makan yang ada kat mana-mana, makin malam makin ramai orang yang datang, tak tahu nak balik rumah ke diorang  ni? Tapi, cuba tengok masjid dan surau-surau kita.............

Ni satu lagi pengalaman aku tentang makan. Hujung tahun lepas, adikku yang duduk KL datang bercuti ke Kuantan. Dia teringin nak pusing-pusing bandar Kuantan lepas tu makan-makan kat mana-mana tempat makan terkenal kat sini. Nak ikram tetamu, aku sekeluarga bawa mereka jalan-jalan kat Teluk Cempedak, ramai juga  manusia kat situ, adatlah tempat pelancongankan. Kemudian kami pergi ke Tanjung Lumpur, mencari tempat sesuai untuk mengisi perut. Oleh kerana kami jarang makan di luar, terpaksalah tanya adik bongsuku tempat yang sedap dan hargapun okay plus tahap kebersihan yang tidak meragukan. Lagi bagus kalau tukang masaknya semua tutup aurat, baca doa masuk dapur, doa masak, doa potong daging dan macam-macam doa lagilah  Diapun tunjukkan satu kedai ......

Kamipun cari kedai tersebut, lagi 500 meter nak sampai....ingatkan ada eksiden ke apa ke sebab kereta tak boleh nak bergerak, slow sangat tapi rupa-rupanya ramai  orang nak cari parking kat kedai tu. Lepas bersusahpayah cari parking, dapatlah masuk kedai 2 tingkat tu. Masuk saje, masyaallah............tingkat bawah penuh. Kami naik tingkat 2, pun sama, terpaksa tunggu orang lain bangun sebelum kami dapat duduk bersila kat situ (tingkat atas takde meja, konsep terbuka, bagus juga...). Masa budak pelayan tu ambil order, sempat pulak suamiku tanya, "hari-hari macam ni ke dik, penuh orang?" Budak tu jawab, "Haah...kalau hujung bulan time gaji lagi ramai". Subhanallah......kalau time tengah bulan macam nipun ramai orang, hujung bulan tak dapat nak dibayangkan..............Lagi sekali rakyat Malaysia takkan mati sebab kebuluran, mereka mati sebab banyak makan......

Cuba kita tanya orang-orang Indon yang ada kat Malaysia, kenapa mereka datang sini? Dulu aku pernah tanya seorang penoreh getah yang ambil upah menoreh di kebun ibuku, sebab apa dia sanggup tinggalkan isteri dan 4 anaknya kat Indon tu datang sini cari kerja. Dahlah tu sanggup pula duduk dalam kebun getah berkawan dengan nyamuk, agas dan macam-macam serangga lagilah. Dia jawab,
 " sini senang cari duit kak,sana susah, sana kalau minta kerja, mesti kasi ongkosnya dulu...." (anda kena baca dalam loghat Indon, baru ada feel ).  Kawan-kawan, bersyukurlah jadi rakyat Malaysia. Lagi kena syukur kita lahir dalam Islam. Dan banyak-banyak syukur sebab Allah bagi kita kefahaman untuk tingkatkan Iman dan Amal....

Akhirnya, ada satu lagi cerita..............Suatu malam yang hening, sedang aku dan keluargaku menikmati hidangan makan malam yang enak (Alhamdulillah...), anakku yang darjah lima bertanya, "Umi....esok umi masak apa untuk sarapan?". Ya Allah....rasa nak tersedak aku dengar pertanyaan tu. "Angah...kita tak habis lagi makan malam, Angah dah tanya esok nak makan apa , yang tengah makan nipun tak sempat lagi nak hadam dalam perut..." Bayangkanlah, Rasullullah dan para sahabat, kadang-kadang 3 haripun belum tentu jumpa makanan, tapi kita hari ini?

Aku tutup coretan ini dengan satu peringatan dari Allah, khas untuk aku dan anak-anakku yang tak pernah merasai erti kelaparan yang dilalui oleh rakyat di negara lain (cth: Afrika, Palestine). Kadang-kadang aku tanya diriku sendiri, salah akukah sebab selalu masak untuk diorang? Cuba aku mogok sekali-sekala, apa jadi agaknya ye......

Firman Allah:
"Makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya,
Allah tidak menyukai orang yang  berlebih-lebihan."    
                                                            [surah al- A'raf, ayat 31]



Wahai anakku, apabila penuh perutmu, tidurlah fikiranmu,hilanglah kebijaksanaanmu....(nasihat Lokman kpd anaknya)

Friday, March 4, 2011

Jangan Pandang Atas

Pagi ni, entah macam mana aku dapat masuk parking kereta berbumbung di kawasan yg agak ekslusif kat tempat kerja aku ni. Rezeki betul! Takdelah nanti kereta ni sepanjang hari berpanas sementara nak tunggu waktu habis kerja. Selalunya aku susah nak dapat parking berbumbung sebab dah diisi lebih awal oleh insan-insan yang suka datang awal ke sekolah. Oleh kerana rumahku agak jauh dari sekolah (lebih kurang 20km) dan aku kena hantar dulu anak-anak ke sekolah, jadi kebiasaannya aku akan sampai 5  atau 10 minit sebelum loceng berbunyi, dan pada waktu tu kebiasaannya tempat letak kereta berbumbung dahpun penuh hatta di tempat teduh seperti bawah pokok pun dah banyak kereta landing sementara tunggu tuannya jalankan tugas. So, nak tak nak kenalah aku parking kat mana-mana kawasan terbuka yang ada kat dataran perhimpunan tu. Kena pulak kalau waktu panas menyengat, terpaksalah kereta tu dijemur bawah terik mentari.
Turun dari kereta buatan Jepun tu baru aku perasan parking sebelah kanan aku diisi oleh kereta jenama BMW, sebelah kiri Toyota Camry, sebelah lagi Toyota Wish, lagi sebelah Honda Stream. Wah...rupa-rupanya aku berjiran parking dengan orang-orang kaya ( zaman sekarang taraf hidup dinilai dari jenis kereta yang digunakan). Oh! kereta aku saja yang kelihatannya sederhana, terasa kerdillah pulak....
Baru saja nak melangkah ke depan, aku ternampak pakcik tukang kebun datang dengan motosikalnya yang agak berusia. Tak lama kemudian, ada pulak kakak tukang sapu datang jalan kaki dengan senyum lebar nak mulakan tugas mencari rezeki yang halal. Baru aku tersedar...............aku rasa miskin bila parking bersebelahan orang-orang kaya dan berduit tapi sebenarnya ada orang lain yang cuma ada motosikal atau basikal atau jalan kaki saja tapi mereka bahagia sangat dengan hidup mereka.

Oh....memang manusia selalu lupa, lupa bersyukur pada nikmat yang telah Allah kurnia dan suka pula membanding-bandingkannya dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Ya Allah, ampunilah aku.....
Lalu aku teringat pada satu kata-kata: Pandanglah orang yang lebih rendah daripadamu, jangan pandang orang yang lebih tinggi daripadamu supaya kamu bersyukur (maaf, aku tak ingat samada ia sabdaan atau sekadar kata-kata hikmah)

Pulang dari sekolah petang tu, sambil memandu pulang, aku bermuhasabah.................kata nabi, apabila seseorang daripada kita memiliki empat perkara ini nescaya bahagialah hidup mereka:

i) isteri yang solehah/suami yang soleh
   Aku?
   Alhamdullillah......suamiku walaupun bukan ustad dan bukan pula lepasan pengajian agama tapi sangat faham akan tuntutan menyebarkan dakwah dan bermujahadah di jalan Allah. Bertambah-tambah untungnya aku sebab aku tak perlu ingatkan dia untuk solat di masjid kerana dia tahu kewajipannya untuk berada di saf pertama dalam solat berjemaah di masjid ataupun surau. Akupun tumpang gembira kerana dapat juga pahala tambahan walaupun aku solat di rumah saja.

ii) Rumah yang selesa
    Rumahku?
    Oh, walaupun rumahku bukan rumah banglo tapi cukup selesa untuk aku dan keluargaku yang seramai 5 orang tu. 4 bilik tidur, 3 bilik air, ada ruang tamu, ada ruang keluarga, ada ruang menonton, ada juga dapur kering, dapur basah. Apalagi yang kurang? Kalau ada tetamu yang datang, mereka boleh saja tidur di rumahku tanpa sebarang masalah

iii) Kenderaan yang memudahkan pergerakan
    Kereta aku?
    Ha...ha....ha, walaupun kereta aku bukan kereta mewah macam orang lain tapi kereta ni banyak jasanya kepada keluargaku. Nak balik kampung, nak ke bandar, nak beli barang dapur kat Giant, nak hantar anak sekolah dan yang penting aku boleh pergi kerja dengan senang hati. Kawan-kawanpun boleh tumpang kalau ada apa-apa hal. Kadang-kadang suami guna untuk ambil atau hantar jemaah ke mana-mana destinasi. Oh, aku ada satu lagi kereta kecil yang ada sentimental value ......kereta pertama yang aku dan suamiku beli waktu kami baru-baru kawin. Kumpul duit sikit-sikit, lama-lama dapatlah buat bayar deposit.....

iv) Jiran yang baik
     Jiran aku?
     Alhamdulillah, jiran-jiran aku semuanya baik-baik, walaupun jarang dapat sembang ramai-ramai waktu petang sebab hampir semuanya bekerja tapi bila kami jumpa sekali sekala memang mesra. Aku tinggal di kawasan perumahan yang penduduknya 100% orang Melayu Islam. Ada sekolah menengah depan rumahku, ada taman permainan, masjidpun dekat, kalau setakat nak jalan kaki tu, takdelah penat sangat. Hari jumaat aku biasa tengok budak-budak jalan kaki ke masjid. Anak aku saja yang manja-manja nak naik kereta. Kalau bulan puasa, lagi ramai orang jalan kaki pergi terawih. Wah, meriah sungguh......

So, apa lagi yang Allah tak bagi kat aku? Banyaknya nikmat tapi itupun aku buat-buat tak ingat.....Ya Allah, ampunilah aku. Sebenarnya memang banyak nikmat yang Allah beri pada kita samada kita sedar atau tidak.
Allah minta sikit saja pengorbanan kita untuk agamanya dan itupun kita tak mampu nak buat. Teringat kata-kata seorang penceramah terkenal , kita mengaku sebagai hamba Allah, tapi sebenarnya sebagai hambapun kita gagal jalankan tugas.....sedar tak? Aku ingatkan diriku yang alpa ini, lepas ni jangan banding-banding lagi dengan orang lain, bersyukurlah dengan apa yang aku ada......


Barangsiapa bersyukur, nescaya ditambahi nikmatnya oleh Allah.....

Tuesday, March 1, 2011

Ya Allah....

Ya Allah, Ya Tuhanku
Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui
Engkau Maha Pemberi
Berilah aku ketabahan
mengharungi hidup yang singkat ini
Berilah aku kekuatan
Manjalankan segala tugas yang diamanahkan
Bantulah aku........
Menjaga, mengasuh, mendidik putera puteriku
Menemani, mengasihi, melayani  pasangan hidupku
Rahmatilah kami.....
Dengan kasih sayangMu
Ya Allah Yang Maha Pengasih.............



Sesungguhnya, bahagia itu letaknya dijiwa.....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...