Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah

Nampak macam mudah
dengar macam indah
tapi sebenarnya bila kita cuba nak hidupkan sunnah
bila kita berazam untuk berhijrah
untuk buang semua sifat mazmumah
gantikan dengan sifat-sifat mahmudah
ia sangat-sangat mujahadah
penuh dugaan dan susah payah
tapi kita tak boleh menyerah
tak boleh mengalah
kena cuba dan cuba lagi....istiqomah
InsyaAllah........ suatu saat Allah beri nusrah

Kepada anda semua............

Ya Allah, bantu kami......
 beri kami taufik dan hidayah
 beri kami jiwa yang sabar, hati yang tabah
 hanya padaMu kami meminta
 hanya padaMu kami berserah.......

 Selamat Tahun Baru Hijrah 1433

Wednesday, November 23, 2011

Resmi burung

Dalam banyak-banyak irama alam , antara yang saya suka dengar adalah bunyi kicauan
burung. Kalau ada burung terbang di angkasa, berkawan-kawan, terbang bebas tanpa
batasan, MasyaAllah, sangat mengujakan, semua itu bukti kehebatan dan kebesaran Allah.
Ok, mari kita contohi resmi burung, yang selalu keluar dari sarang dengan perut kosong
tetapi kembali semula dengan perut penuh berisi. Resmi burung turut menjadi perhatian
Rasulullah s.a.w seperti sabda baginda;
                  "Berangkat pada waktu pagi dalam keadaan perut kosong dan pulang
                   sebelah petang dengan perut yang penuh (kenyang)."
                                                                          (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

Imam Ahmad bin Hambal pernah ditanya seseorang, "apa pendapat tuan mengenai orang
yang hanya duduk di rumah atau di masjid dan dia berkata, saya tidak akan mengerjakan
sesuatu sehingga rezeki datang dengan sendiri."
Imam Ahmad menjawab, " Orang itu sangat bodoh dan tidak faham mengenai agama. "

Benar, rezeki di tangan Allah bukan di tangan manusia tapi mencari rezeki yang halal itu wajib
bagi setiap umat islam.......


Monday, November 21, 2011

Bersedekahlah sebelum terlambat.....

Daripada Abu Hurairah r.a katanya , Rasulullah s.a. w bersabda;

" Setiap anggota tubuh manusia mempunyai kesempatan untuk bersedekah setiap hari,
   iaitu mendamaikan dua orang yang berbalah adalah sedekah. Menolong orang naik
   kenderaan atau menolong orang mengangkat barang ke atas kenderaan ,itupun sedekah.
   Ucapan atau tutur kata yang baik juga sedekah. Setiap langkah  menuju solat, sedekah.
   Dan menyingkirkan sesuatu yang berbahaya di jalan awam, adalah sedekah. "
   [ Sahih Muslim]


   Sedekah tidak terbatas kepada harta benda sahaja.....memberi bantuan walaupun kecil,
   hatta sekadar sekuntum senyuman juga sedekah. Demikian indahnya islam, peluang terbuka
   setiap hari untuk bersedekah, siapa kata kena tunggu jadi kaya baru boleh bersedekah,
   sesungguhnya dengan bersedekahlah rezeki akan bertambah.......

   p/s : Selamat bercuti untuk yang bercuti, tapi saya tidak boleh bercuti sepenuhnya sehingga
          semua anak murid saya selesai menduduki kertas peperiksaan Akaun pada 5 dis 2011.
          Saya masih ke sekolah   untuk menyiapkan tugasan, dan mengadakan kelas bimbingan
          percuma untuk mereka yang memerlukan pada saat-saat akhir menjelang peperiksaan.
          Moga-moga Allah menerima itu sebagai sedekah.....

Wednesday, November 16, 2011

Cinta di hati, bukan di mata.....

Dulu-dulu, waktu muda remaja
masih mentah , umurpun belasan tahun
fikiran cetek, pandanganpun masih sempit
saya ada kenal satu pakchik
saya lihat dia sayang betul pada isterinya
sampailah satu masa, isterinya jatuh sakit
dia jaga isterinya cukup baik
makan pakainya, kencing beraknya
semua diurus olehnya
dia tidak mengeluh , tidak bercerita yang buruk-buruk
(dia berbakti pada isterinya dengan setia dari mula isterinya sakit
hingga isterinya dipanggil Ilahi...)
sedang dimata saya ketika itu,
isterinya itu tiada yang istimewa
tidak cantik, biasa-biasa saja
tidak kaya, sederhana cuma
tapi saya kagum ; suaminya cukup setia
saat senang dan susah bersama
suatu hari, saya beranikan diri bertanya;
mengapa dia begitu sayang, begitu setia, begitu baik.....
begitu itu dan begitu ini .....pada isterinya.......?
diapun jawab;
"........nanti, bila kamu kawin, kamu akan tahu jawapannya......"


Kemudian, sampai masanya.....
sayapun berumahtangga, lalu saya teringat pesanannya

hari ini, sesudah berbelas tahun  saya berkeluarga
akhirnya saya faham maksud pak chik itu
dan saya temui jawapan kepada persoalan yang pernah saya tanyakan dulu
ini jawapannya;

..........Cinta dihati, bukan dimata.......

( dimata orang lain, pasangan kita mungkin tiada yang istimewa, kerana  manusia selalu   memandang
   kecantikan luaran dan kekayaan harta  sebagai pengikat kasih sayang..... realitinya, tidak semua 
   kekayaan materialistik dan kecantikan fizikal dapat menyatukan  hati, sebaliknya ia disatukan oleh 
   keikhlasan dan kerelaan untuk memberi dan menerima,  saya belajar sesuatu darinya iaitu biar bagaimana
   sekalipun pandangan orang luar terhadap  pasangan hidup kita,  biarlah, asalkan dihati kita, dia  sempurna
   dan istimewa kerana kita  yang akan hidup bersamanya......yang penting nilai agama yang ada padanya.....)


p/s : n3 sempena ulangtahun perkahwinan yang baru berlalu.....

Sunday, November 13, 2011

Selamatkan Malaysia .....(?)

Hari ini, di daerah tempat tinggal saya ini ada  pihak mengadakan perhimpunan  sebagai
bantahan terhadap kilang penuh kontroversi yang hampir siap dan akan beroperasi pada
bila-bila masa. Khabarnya risalah diedar dari rumah ke rumah. Saya tidak melihat pun risalah
itu, rasanya tidak diedarkan di kawasan perumahan tempat tinggal saya, dan dalam Buletin
Utama malam tadi, beberapa pihak lain membuat laporan polis sebagai respon terhadap
perhimpunan tersebut yang dipercayai bertujuan meracuni pemikiran rakyat.
Perhimpunan akan diadakan di kawasan rekreasi yang agak terkenal di sini iaitu di Taman Gelora
Erm... Sudah lama saya dan keluarga tidak ke sana.

Sekalipun rumah saya dan Taman Gelora itu jaraknya cuma 15 kilometer, saya tidak berminat
pun untuk menyertai perhimpunan tersebut. Ada banyak komitmen lain yang perlu saya bereskan
pada hari minggu ini seperti bersama keluarga (yg tentunya lebih penting dari perhimpunan lain....),
membuat operasi rumah yang tertangguh lantaran kesibukan tugas2 seharian selain kerja-kerja
sekolah saya pun masih banyak yang belum dibereskan. Dan paling penting, setiap hari minggu
di Kuantan ini, ada program agama untuk wanita , program tertutup , cuma 2 jam, bermula jam
10 pagi hingga 12 tengahari, pengisiannya tentang peranan dan tanggungjawab wanita terhadap
keluarga dan ummah. Tiada risalah, tiada promosi, tapi program  tersebut telah lama diadakan
sebagai wadah menimba ilmu fadhail amal. Saya lebih berminat ke program tersebut......selalunya
bila saya pulang dari program yang singkat itu, semangat saya untuk beramal akan sedikit
meningkat. Maklumlah akhir zaman ini, iman selalu turun naik, jadi kena cari pembakar semangat
untuk dapatkan kekuatan.

Sebenarnya, bila saya tahu ada perhimpunan tersebut, ada satu rasa sedih menyelinap di hati.
Mengapa? Yelah, kita berhimpun untuk menyelamatkan Malaysia dari bahaya radiasi tapi
berapa ramai dari kita berusaha menyelamatkan akidah anak-anak muda yang semakin goyah.
Kita bimbang dengan pencemaran udara dan bermacam lagi pencemaran alam sekitar tapi
entah berapa kerat sangat yang sensitif  dengan pencemaran akhlak dan sosial yang semakin
berleluasa  di kalangan remaja ? Tengok saja semasa   Himpunan Sejuta Ummat yang pernah
diadakan tidak lama dahulu. Berapa ramai yang hadir ? Sekalipun percuma, jumlah yang hadir
cuma 5000, ia jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan bilangan penonton yang hadir untuk
menonton perlawanan bola sepak sekalipun terpaksa membeli tiket yang boleh tahan juga harganya.
Tapi tak mengapalah, hidup adalah pilihan, kita berhak memilih apa yang kita suka. Jangan paksa
orang buat apa yang mereka tak suka.

Sebelum terlupa, Taman Gelora iaitu tempat perhimpunan itu diadakan adalah salah satu pantai
menarik untuk berjogging di waktu pagi. Keindahan pantainya membuatkan ia agak terkenal
sebagai tempat rekreasi, aktiviti kelab atau persatuan, mahupun aktiviti perkhemahan.
Malangnya di sebelah malam ia dijadikan pot oleh anak2 muda yang berdarah panas untuk
memadu kasih sekalipun mereka belum sah sebagai suami isteri. Sedihnya, kebanyakan pasangan
tersebut berbangsa Melayu dan beragama Islam. Antara pencemaran alam sekitar dan pencemaran
akhlak, mana lebih bahaya ?

Jangan cakap saya tidak sayangkan Malaysia kerana tidak menyertai perhimpunan tersebut.
Saya sayangkan negara saya tapi saya percaya kekuatan dan kemajuan sesebuah  negara
sangat bergantung kepada kekuatan jiwa para belianya. Belia yang kuat mesti ada jati diri
yang kukuh untuk menangkis semua cabaran dan ujian yang semakin hebat. Bagaimana mereka
mahu menjadi belia yang kuat kalau  jiwa mereka kosong dari pegangan agama......? Selamatkah
negara jika akhlak para belianya lintang pukang dan akidahnya goyang ?

Maaf, ini cuma pendapat peribadi saya.....Selamatkan Malaysia, Selamatkan anak muda kita....
bagaimana caranya?.....kembali kepada agama........

Wednesday, November 9, 2011

Korban

~  Korbankan harta.................. jangan  terkorban kerana harta
~  Korbankan masa.................. jangan terkorban dilalai masa
~  Korbankan tenaga.............. . jangan terkorban tanpa tenaga
~  Korbankan perasaan ........... jangan terkorban dibuai perasaan
~  Korbankan cinta ........... ...... jangan terkorban diperdaya cinta
~  Korbankan segala-gala......... jangan terkorban kerana mengejar segala-gala


Cuba fikirkan....... selama kita hidup ini, benarkah kita telah melakukan pengorbanan
yang benar-benar boleh dianggap pengorbanan...........? Benarkah kita berkorban untuk
orang lain atau orang lain yang sebenarnya berkorban untuk kita ? Apa sebenarnya pergorbanan
menurut pengertian anda....?

             

Thursday, November 3, 2011

Keajaiban di Mekah; Allah menurut sangkaan hambaNya....

Sedar tak sedar dah tiba musim haji, yang terpilih ke sana tentu tak sabar nak tunggu saat
wukuf di Arafah. Menghitung hari barangkali.  Yang dah pernah pergi pasti teringat kenangan
manis di sana, mesti berazam nak pergi lagi kan?. Tak pernah dengar orang yang dah pergi
rasa serik nak datang semula. Bila tengok orang pergi haji, saya akan selalu teringat kenangan
di sana sewaktu saya dan suami dipilih Allah menjadi tetamuNya tahun 2005. Dah lama rupanya.
Jam besar yang dibina oleh anak Malaysia itu pun belum ada lagi masa tu.

Walaupun dah lama tapi semua kenangan manis disana  kekal terpahat sampai bila-bila.
Bila dah jejak kaki ke Tanah Haram, barulah faham mengapa orang2 yg dah pergi selalu pesan,
pergilah semasa muda, tenaga masih kuat, senang nak bergerak ke mana-mana, rupa-rupanya
bila kita buat kerja haji, kena guna banyak tenaga fizikal. Bermula dari hari berangkat ke Jeddah
hingga ke Mekah, perjalanannya meguji erti sabar dan redha. Dan sepanjang disana, ke mana-mana
jalan kaki,berbeza sungguh masa kat Malaysia, sikit2 naik kereta, pergi kedai dekat rumah pun nak
naik kereta, manja betul !  Tapi masa di Mekah pakat jalan kaki saja, kecuali ke tempat yang jauh
seperti melawat ladang kurma, kilang kelambu kaabah , muzium, Jabal Rahmah, dan banyak
lagilah tempat lain. Syukur Alhamdulillah, Allah sampaikan hajat kami  untuk jadi tetamuNya pada
ketika masih sihat bertenaga, perasan muda masa tu.....


40 hari di sana terasa sekejap sangat. Setiap masa penuh dengan aktiviti ibadah, tiap-tiap pagi
sebelum subuh dah jalan kaki dari hotel tempat kami menginap ke Masjidil Haram, (800 meter
jaraknya), ramai-ramai jalan kaki , meriahnya....,  nikmat yang tak terucap dapat ke masjid
setiap pagi dalam cuaca sejuk di bumi yang diberkati. Tak rasa penatpun. Bahagianya, hanya
Allah yg tahu. Ketika pertama kali masuk dalam Masjidil Haram dan nampak Kaabah, rasa
syahdu sangat, betul-betul rasa kerdil, rasa diri takde apa-apa, betul2 rasa macam hamba,
airmata mengalir tiba-tiba,  dengan kasih sayang Allah, Dia pilih untuk jadi tetamuNya walau diri
penuh dosa, dan bila tengok lautan manusia yang membanjiri dan memenuhi setiap inci ruang di
masjid tu, SubhanaAllah...........tak terucap dengan kata-kata.......

Mekah juga bumi kasih sayang . Masa di sanalah dapat tengok suami isteri lepas solat jalan
berpimpin tangan, walaupun dah berusia. Perkara biasa keluar dari masjid  on the way balik
ke hotel, singgah beli ais krim dan makan sama-sama. Romantiknya..........!

Mekah memang bumi yang baroqah, bumi di mana doa sangat mudah dimakbulkan walau
hanya sebaris kata. Ada satu kali, lepas isyak masa dalam masjid saya bisik kat kawan
sebelah, roommate saya ; tak pernah rasa solat di bumbung masjid, teringin juga......
esoknya, semasa solat subuh , saya terlewat sikit, semua ruang di tingkat bawah  penuh,
petugas arahkan kami naik tangga ke tingkat atas, naik punya naik,  pagi itu, saya solat subuh
di bumbung masjid, .....baru semalam bercakap, hari ini Allah bagi cash......SubhanaAllah !

Juga ada satu peristiwa yg takkan saya lupa sampai bila-bila.....

Suatu hari, lepas solat asar kalau tak silap, on the way balik hotel, saya singgah satu kedai,
teringin nak beli bekas air zamzam yg mak kirim suruh beli warna emas. Saya beritahu pekerja
kedai tu, saya mahu 2, satu warna emas, satu warna perak. Pekerja itu pun ambil dan bungkus
sementara saya melilau tgk barang2 lain dlm kedai tu. Bila dah siap, balik ke hotel, melangkah je
masuk ke bilik, hati  tiba-tiba berdetik; "betulke dia ambil warna emas, entah-entah dua warna
perak........"  Saya tak tengok masa dikedai tadi. Nak tahu apa jadi lepas tu? Saya pun buka kotak
tu........SubhanaAllah..... memang sah dua2 warna perak....! Sayapun dok termenung dan fikir balik
masa saya ambil barang ni dan nak bayar pekerja kedai tu ada beritahu ; "satu warna emas, satu
warna perak......"  Memang betullah dia ambil ikut apa yg saya nak, cepat2 saya tengok spesifikasi
yg tertulis diluar kotak, satu kotak ditandakan (/) pada warna emas dan satu lagi (/) pada warna perak. Takkan pekerja tu tersalah masuk pulak !

Maksudnya, dua bekas air zamzam yg saya beli itu, mmg asalnya satu berwarna emas, satu berwarna
perak tapi kerana saya telah secara tiba-tiba terdetik sesuatu di dalam hati , Allah memperlihatkan
kehebatanNya, keajaiban yang berlaku didepan mata........  petunjuk diluar kotak jelas menunjukkan
satu daripada teko itu berwarna emas, tapi kenapa bila dibuka dua2 warna perak ? Nampak macam mustahilkan?  Tiada yg mustahil dengan kuasa Allah, Dia nak tunjukkan pd saya, bagaimana sangkaan
buruk  tadi telah benar2 berlaku. Bukankah Allah ada beritahu; Aku mengikut sangkaan hamba2Ku....Pengajaran yg saya ingat sampai bila2, sampai sekarang  naluri saya tetap mengatakan
satu daripada bekas air zam-zam itu memang asalnya berwarna emas....... tulah, lain kali, berhati-hati,
jangan mudah fikir yg bukan2......

                                                gambar hiasan ; asalnya nak warna emas.......                                     

.....rindunya mahu kembali semula ke sana......doa, doa moga Allah pilih lagi.......InsyaAllah......

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...