Saturday, April 30, 2011

Selamatkah....?

Petang yang sunyi.....
aku sendiri......semua yang tersayang tiada di sisi
sudah lama aku tidak menyendiri
sesekali ditinggal keseorangan.....sepi sekali
kututup semua objek berbunyi
yang terdengar cuma bunyi dentingan jam di dinding
sepi yang mencengkam, mengingatkan aku kepada alam yang lain
suatu waktu yang pasti aku akan ke sana
apakah di sana juga sepi dan sunyi
atau lebih menakutkan ?

Kuputuskan untuk berjalan-jalan di alam maya
kerana aku boleh berjalan tanpa berkereta
tanpa bersuara, tanpa perlu berkata-kata
aku boleh singgah di mana-mana 'rumah'
tanpa perlu menunjukkan wajah
akupun berjalan dan terus berjalan................
kutemui banyak sekali coretan , kata-kata pedoman
nasihat-nasihat buat bekalan, juga kisah-kisah menginsafkan

dan....
tak kurang juga kutemui.....
sesuatu yang meloyakan.....menjijikkan.......
Ya Allah...............mala petaka apakah yang melanda umat hari ini
hingga mereka tidak lagi segan dan silu
untuk memaparkan keaiban .........yang sepatutnya disembunyikan
benarlah........malu itu cabang iman yang terpenting........
kerana bila hilangnya malu............
merekapun tidak lagi segan dan silu
berbuat sesukahati tanpa ada bimbang dan ragu.....

Selamatkah dunia ini ?
untuk anak-anak kita yang masih suci dan bersih.................

Make dua for us

I am alone today. Suamiku keluar 3 hari, anak lelakiku yang sedang
remaja itu ikut sekali, awalnya dia menolak dgn bermacam alasan, katanya
kerja sekolahnya banyak, kawan-kawannya takde yang ikut, banyaklah
cekadak ! Tapi akhirnya selepas sarapan pagi dgn menu kegemarannya,
dia setuju ikut dgn syarat cuma 2 hari, takpelah , 1 hari ke 2 hari ke janji
tidak duduk di rumah hari ini! Lelaki takkan nak lepak di rumah sepanjang
hari, belajar2lah berdikari, jumpa masyarakat, sikit lagi nak jadi pemimpin,
kalau tak jadi pemimpin negara, kurang-kurang jadi pemimpin keluarga
atau pemimpin kepada diri sendiri.

Awalnya aku bercadang keluar masturat tapi kerana ramai orang baru nak
keluar kali ni, ada bdk2 lepasan SPM yg masih mengganggur sementara
tunggu kemasukan ke universiti jadi hasrat itu ditangguhkan. Takpe, nanti
cuti sekolah hujung bulan ini harap Allah pilih aku untuk keluar 3 hari.
3 hari je?  3 hari lah dulu............nak keluar 3 hari pun sikit punya mujahadah,
ni nak keluar lama2, pelan-pelanlah kawan.....

3 minggu lepas, kawan baikku yang pernah tinggal berjiran denganku
memberitahu, cuti sekolah ni, ada jemaah masturat nak ke Indonesia, 10 hari,
diapun pegang tanganku sambil berkata : "Jomlah kita keluar sama-sama 10 hari
cuti sekolah ni " Aku cuma mampu senyum dan berkata dlm hati ; " 3 hari pun
belum tentu , ni nak keluar 10 hari ?"  Actually, bukan aku tak nak pergi , aku
selalu pasang azam nak kuar , dan setiap kali aku dengar ada kawan-kawan
nak keluar lama-lama, cthnya 10 hari, 15 hari, 40 hari atau 2 bulan, honestly,
kadang-kadang aku cemburu....! Kenapa? Sebab aku tak mampu jadi macam
mereka.........

Last 2 years, my beloved 'roommate' said;  u just name it, place u
want to go, we go together...but with Jemaah , u choose...... 40days, 2 months...
If u agree....I'll arrange everything........Oh my dear, how lucky to have somebody
like u ! But, yet....Ya Allah......bantu aku.....bantu aku

Aku rindu sangat saat-saat lalu yang indah itu..........masa zaman muda-muda,
baru kawin, pantang ada cuti sekolah, kalau tak balik kampung, sambut takaza,
kalau tak nusrah jemaah, kuar 3 hari, actually 10 hari pun pernah tapi dah lama,
40 hari? ermmm.....rahsia.....

But as time passes by,.... entahlah.....susah nak cakap......but Alhamdulillah, my
beloved 'roommate' itu masih teguh , no matter what.....when the time come....
u must go........travelling for the sake of deen, in the name of Allah........but me?
Hopefully, one day.......

My dream is.....one day, me and my hubby together with our beloved sons and
daughter.....travelling all around the world in the name of Allah, for the sake
of ummah............please, my dear friends,  make dua for us too.....

Friday, April 29, 2011

Cari ilmu

Sabda Rasulullah (s.a.w) :

"Barangsiapa yang menempuh satu jalan   untuk mendalami
ilmu maka  Allah akan mempermudahkan baginya satu
jalan ke syurga "

[Hadis Riwayat Muslim]


Mari sayang.......mari kita cari ilmu .......mari kita cari jalan
ke syurga.....

Thursday, April 28, 2011

Penat....

Seriously, kadang-kadang aku rasa penat sangat
Penat dgn tugas-tugas yang tak pernah berkesudahan
di tempat kerja, di rumah, di mana-mana.....
ada masa-masa rasa nak 'give up', rasa nak duduk senyap-senyap
tapi aku tahu hidup kena diteruskan....
penat macamanapun dgn tugasan
berat macamanapun dengan ujian
serabut macamanapun dengan hal-hal yang perlu dibereskan
jalan tetap kena jalan....
kayuh tetap kena kayuh sekalipun perlahan.....
patutlah kadang-kadang aku tengok bila tak tahan dengan tekanan
ada orang bakar diri atau terjun bangunan
Nauzubillah.........Ya Allah,  jauhkanlah dari memikir yang bukan-bukan
Patutnya aku kena bersyukur banyak-banyak
sebab penat macamanapun taklah teruk macam zaman sahabiah
dipulau, diseksa, dihalau semata-mata nak tegakkan syahadah
berlapar, berjihad , bersungguh-sungguh dalam mujahadah
tapi aku bila sesekali  bermacam pekara datang menerjah
cepat je aku gelabah, rasa nak rebah
Ya Allah....aku lemah Ya Allah ......Kau kuatkan
Ya Allah....aku penat Ya Allah .....Kau berilah kekuatan

Nur,
hidup macam tulah, kadang-kadang gembira
kadang-kadang berduka
ada masa penat sangat
sampai masa boleh rehat
janganlah mengeluh
tak baik tau, orang lain lagi banyak cabaran hidup
apa lagi yang tak cukup?
bersyukurlah.....

kerja memang banyak, tak habis-habis
buatlah setakat mana yang mampu
jangan stress............:)

Tuesday, April 26, 2011

Kisah aku dan dia

Dia biasa saja, bukan anak orang kaya, bukan anak siapa-siapa,
anak orang biasa,  rupa pun macam kita juga, sederhana, tak cantik
sampai orang tergila-gila, tak jelek sampai semua orang mengata,
tapi ada satu perkara yang aku suka tentang dia ? Apa dia ?
Nantilah aku cerita..............

Kenapa nak cerita tentang dia ?

ooo...........mungkin ada kisahnya yang kita boleh ambil iktibarnya.

Aku kenal dia masa kami sama-sama belajar di utara. Dia dari Perak,
aku dari negeri Tok Gajah. Dia anak polis, aku anak tukang kebun,
ibunya guru sekolah, ibuku surirumah. Dia dari sekolah bandar, aku
dari sekolah pinggir bandar. Kami kenal waktu sama-sama mendaftar.......

2 tahun di matrikulasi, 4 tahun di universiti, kami jadi kawan baik cuma
takdelah berjanji sehidup semati. Opps....jangan salah sangka, kami
bukan pasangan kekasih !

Dia lasak dan tegas manakala aku sebaliknya. Aku pendiam dia banyak
berbicara. Aku tak pandai buat jenaka,  dia selalu buat aku ketawa.
Kami banyak perbezaannya tapi peliknya antara aku dan dia, macam
ada 'chemistry' sahaja.

Kami memang rapat tapi taklah sampai jadi bahan keji dan umpat. Aku
pernah bertandang ke rumahnya sewaktu cuti, maklumlah rumah aku
jauh tak terperi, jadi sedikit sebanyak aku kenal ibunya, ayahnya, abang
dan adik-adiknya. Rumahku dan rumahnya memang berbeza, dia rumah
batu, rumah ku dikampung rumah kayu. Rumahnya di kawasan perumahan,
rumahku jauh di pedalaman.

Banyak kenangan manis aku bersamanya, kami pergi ke Langkawi waktu
cuti semester, panjat Gunung Jerai sama-sama, makan di Pekan Rabu
kadang-kadang aku bayar kadang-kadang dia belanja, pusing bandar Alor Star
jalan kaki happynya rasa.....maklumlah waktu tu muda belia, tapi peliknya
takde pulak pakwe yang datang hulurkan cinta. Takpelah.....sekurang-kurangnya
kami takde nak couple2, bebas bergerak , tak de orang nak curiga. Yelah,
kamipun bukannya cantik macam artis ternama....tak glamer dan takde nama.

Habis pengajian, ditakdirkan tuhan kami bertemu lagi sewaktu buat kursus
perguruan. Maktab Batu Pahat jadi saksi persahabatan, jadi bukti kesetiaan
seorang kawan. Waktu itu aku sudah berteman sedang dia masih berharap
ada orang hulurkan tangan. Tamat kursus aku pulang ke negeri Tok Gajah
sedang dia dihantar jauh ke Sabah.

Di situlah dugaannya bermula...........

Jauh di tempat orang, jauh dari keluarga, ditakdirkan dia jatuh cinta dengan
jejaka yang pernah belajar di universiti yang sama. Peliknya, dulu waktu kuliah
tak pernah pulak ternampak, sudah berkerja baru terserempak.
Merekapun bertunangan, membuat persiapan untuk hari pernikahan. Entah
di mana silapnya, si jejaka  itu memutuskan pertunangan ketika hari
pernikahan semakin tiba, ketika semua peralatan sudah ditempah, kad sudah
diedar, hantaran  sudah digubah, pakaian pengantin sudah siap dijahit tapi
demikianlah ketentuan  Allah sudah tertulis sekalipun pahit !

Dia menelefonku dan memberitahu; "lupakan saja kad yang telah kukirim padamu"
Sayangnya aku tiada di sisinya ketika itu untuk menenangkannya....airmataku
gugur ketika dia berkata ; "Sudah tertulis untukku dugaan ini, terlalu berat
tapi lebih baik berpisah sebelum bernikah, lebih baik luka sedikit dari luka  yang
lebih parah !"

Oh tuhan.....! Hikmah apakah yang kau sembunyikan disebalik apa yang terjadi?

Kifarah dosa-dosaku barangkali, dia berkata dalam sebak yang cuba ditahan.
Tidak sahabatku, Dia sedang mengujimu kerana Dia sayangkan kamu! Kamu
beruntung ! Diuji untuk dinaikkan darjat ke martabat yang lebih tinggi !
Ya benar sekali ! Selepas peristiwa itu, dia sangat tabah, tidak berdendam
sekalipun keluarga memujuk membawa kes ke mahkamah. Yelah , dahlah putus
tergesa-gesa, takbagitahu pulak sebab musababnya, kot ye tak suka pun takkan
tak boleh jumpa baik-baik dgn keluarga, ni main telefon saja, hei, mana perginya
amalan agama dan adat ketimuran  kita, ingat kawanku itu tak punyai perasaan
atau harga diri. Kurang asam punya lelaki !

Selepas itu, dia menyepikan diri. Aku pun semakin sibuk dengan anak-anak
dan suami. Kami masih berhubungan sesekali dan tidak lama kemudian dia
menghantar foto terkini, sangat manis sempurna menutup aurat, bertudung
labuh dan pakaian mematuhi ciri-ciri muslimat. Oh ! inikah hikmah yang
tersembunyi disebalik uijian yang berat. Sahabatku itu menjadi kuat untuk lebih
dekat dengan Allah Yang Maha Hebat.

Bertahun berlalu, aku terima berita gembira. Dia telah bertemu dengan insan
yang sudi bersamanya membina mahligai bahagia. Lupakan kisah lama, kini dia
bahagia bersama suami tercinta dan 2 anaknya. Dia berkahwin di usia yang
lewat, tak mengapalah, biar lambat asal selamat dari cepat tapi mudharat.

Memang kami sentiasa ada 'chemistry'nya. Selepas melahirkan anak sulungnya,
dia menelefon dan berkata "aku dapat anak lelaki, namanya Imran."
Aku terkasima  "Hei, itu nama anak lelakiku yang sulong ! Kau tiru nama anakku"
Dia menjawab "Mana aku tahu, aku dan suami suka nama itu, tak sangka pula
kau pun sama"

Oh ! Aku di Pahang, dia di Pulau Pinang dan kami tak pernah berbincang tentang
nama yang mungkin diberi kepada anak yang bakal ditimang ! Sungguh
kebetulan, semuanya ilham dariMu Tuhan.......

Demikianlah secebis coretan buat tatapan kalian. Dalam hidup ini antara yang
terindah ialah mendapat sahabat yang sanggup bersama menempuh susah dan
payah, sanggup berkongsi sedih dan resah,  gembira  melihat teman bahagia dan
turut bersedih andai dia ditimpa musibah. Kepada temanku itu, takkan kulupa
budi baikmu, tunjuk ajarmu, cerita kita mari kita simpan bersama, ku berdoa
moga suatu hari kita bertemu dengan IzinNya dan alangkah indahnya andai
kita bertemu ketika kita bermujahadah di atas jalanNya............


Sesungguhnya di dalam setiap ujian yang diberikan, ada hikmah yang Allah sembunyikan

Monday, April 25, 2011

Cari menantu

Sayang betullah.............!
Kenapa ? Takde le , ada sorang budak lelaki ni
datang ke sekolah melawat cikgu-cikgunya baru-baru ni.

 Eh, pasal nampak makin hensem sekarang ni?

Dulu, masa sekolah hensemlah jugak tapi ni lagilah terserlah ketampanannya.
Dah masuk U lah katakan, ambik medic pulak tu, pandai ngaji lagi
(Dulu masa sekolah , jadi wakil sekolah dalam pertandingan Tilawah Al Quran)

Fuuh...! Pakej lengkap betul ! Akhlakpun baik, murah betul dengan senyuman.
Kalau jadi doktor nanti, alamat ramailah pesakit taknak kuar hospital


Tu lah yang berkenan sangat tu. Ingat naklah masuk minang buat menantu, tapi
anak baru 10 tahun ! Isk....tak de peluanglah nampaknya.

Err............ada tak sapa-sapa minat nak isi borang utk program cari menantu
tapi KIV dululah, 10 tahun lagi baru proses borang tu. Itupun tertakluk kepada
terma dan syarat...........

kihkihkih......


dulu...... masa muda-muda, org tanya bila nak kawin
dah kawin, org tanya bila nak dapat anak
dah dapat anak orang tanya bila nak dapat menantu
nanti dah dapat menantu, orang tanya pulak bila nak dapat cucu


Satu benda je yang orang tak pernah tanya?

Apa dia?


Emmmmm....................bila nak mati?

Eh, dah matipun kena tanya lagi tau........kena soal dengan Munkar dan Nakir.....

Haa,........tahu takpe, dah tu buat-buatlah persediaan.........

Friday, April 22, 2011

7 wasiat

Salam Jumaat penuh berkat. Salam rahmat dan kasih sayang sesama umat.
Semoga hari ini lebih baik dari semalam, lebih bahagia, lebih ceria, lebih
dilimpahi rahmat dan rezeki berganda-ganda.

Di hari yang berkat dan penuh rahmat ini, mari kita dengar sedikit nasihat:


Ibrahim bin Adham berkata : Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu,
dan saya tahu mereka itu adalah wakil dari guru tarekat. Saya berkata kepada
mereka, berilah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya
takut kepada Allah SWT.

Lalu mereka berkata : Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara :

1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran
    hatinya.
2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata
    hikmat darinya.
3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat
    kemanisan ibadahnya.
4. Orang yang cinta kepada dunia, janganlah kamu harapkan sangat husnul
    khatimahnya.
5. Orang yang bodoh, janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim, janganlah kamu
    harapkan sangat  kelurusan agamanya.
7. Orang yang mencari keredhaan manusia , janganlah harapkan sangat akan
    keredhaan Allah daripadanya.

    [Dipetik dari buku Himpunan Hadis Pilihan oleh Harun Arrasssyid Hj Tuskan]


Mari kita perbanyakkan selawat  kepada Rasullullah S.A.W pada malam Jumaat
dan siang hari Jumaat. Sabda Baginda s.a.w, maksudnya: "Perbanyakkanlah
selawat kepadaku pada hari Jumaat dan malam Jumaat. Sesiapa yang berselawat
kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat dan memberikan salam
kepadanya sepuluh kali. "
                                                                                         (Riwayat al- Baihaqi)  
          

Selamat menunaikan Solat Jumaat...............dan Selamat beristirehat..............    

Wednesday, April 20, 2011

Mengenang dia yang telah tiada....

Hari ini 20 April (mengikut tahun masihi) adalah hari lahir Nabi Besar kita,
Nabi Muhammad S.A.W. Baginda lahir pada hari Isnin 12 Rabiullawal  tahun
gajah di Mekah. Tarikh itu bersamaan dengan 20 April 571 Masehi tetapi
tidak ramai yang mengetahui atau menyedarinya terutamanya generasi muda
hari ini. Tanyalah pada mereka terutamanya golongan remaja , barangkali ada
yang boleh menjawab tetapi jumlahnya tidak ramai. Benar, Nabi tidak pernah
menyambut ulangtahun kelahirannya tetapi tidak salah untuk kita mengenangnya.

Tak kenal maka tak cinta ! Untuk mencintai seseorang kita perlu
mengenalinya. Sejauh mana anak muda hari ini terutamanya golongan remaja
yang tahu latar belakang atau biodata Nabi kita dengan jelas ? Tepuk dada,
tanyalah mereka   !

Benarkah kita cintakan Nabi? Apa buktinya ? Hari ini di media-media massa
jarang diceritakan tentang kisah-kisah perjalanan hidup Nabi kita kecuali
pada hari-hari tertentu seperti sambutan Maulidur Rasul atau Maal Hijrah.
Pada hari-hari biasa, berita-berita di akhbar lebih berkisar tentang isu semasa
selain berita sukan dan artis pujaan ramai baik dari dalam mahupun luar negeri.

Mengenang Nabi bererti mengingati kembali perjalanan hidupnya,
pengorbanannya, latar belakang kehidupannya, jatuh bangun Nabi dalam
menjalankan dakwah, fikir dan risau Nabi terhadap umatnya serta ketinggian
akhlak mulia yang Baginda tunjukkan kepada kita semua. Sejauh mana kesedihan
 mengetuk hati kita takala membaca kisah susah payah Nabi berdakwah di Taif ?
Gugurkah airmata kita ketika membaca kisah Bilal yang mengalunkan azan di
Madinah selepas kewafatan Nabi hingga penduduk Madinah turut mengalirkan
airmata kerana teringat saat-saat indah bersama Nabi? Dapatkah kita selami
kesedihan di hati Nabi takala insan tersayang yang tinggi pengorbanannya
menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Baginda?

Nabi telah lama pergi meninggalkan kita, tetapi Baginda tidak pergi begitu saja.
Baginda telah meninggalkan kepada kita khazanah paling berharga iaitu cara
hidup yang apabila kita ikuti akan membawa kejayaan kepada kita di dunia
dan akhirat. Rasulullah S.A.W adalah contoh terbaik seorang pemimpin, seorang
suami, seorang ayah, seorang sahabat dan seorang hamba yang sentiasa bersyukur.

Mengenang kemuliaan akhlak Nabi pasti membuat kita malu sendiri kerana
kita pada hari ini dengan segala kemudahan dan kesenangan yang dimiliki masih
tidak mampu mengikut jejak langkah nabi. Sungguh hebat ibadah Nabi, sehingga
kaki Baginda bengkak-bengkak kerana lamanya berdiri dalam solat. Jauhnya
beza ibadah kita dan ibadah Nabi, bagai langit dengan bumi !

Kecintaan kepada Rasullullah S.A.W akan membawa kecintaan kepada Allah.
Apakah yang lebih bermakna dalam hidup ini selain menikmati manisnya cinta
dari Yang Maha Berkuasa. Mencintai Nabi bererti mengikut segala sunnahnya
kerana Baginda S.A.W telah bersabda:
" Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku maka sesungguhnya dia telah
  mencintai aku dan sesiapa yang mencintai aku, nescaya dia bersama-samaku
  di syurga kelak."
  [Hadis Riwayat Al-Sajary daripada Anas]

Marilah kita suburkan hati kita dengan rasa cinta yang mendalam
terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W kerana di mana adanya
cinta, di situ rindu bermula. Mengenang Nabi tidak seharusnya hanya pada
hari-hari tertentu sahaja tetapi sepatutnya pada setiap detik dan ketika.
Bagaimana caranya? .....dengan mengikut segala apa yang disuruh dan
meninggalkan apa yang dilarang Baginda .


Mari ikut Allah dan Rasul.....

Sunday, April 17, 2011

~Ini bukan Warkah Cinta....~

[Seseorang memberitahu anda (yang masih muda belia) bahawa dia telah jatuh
 cinta dan  ingin memberikan kasihnya kepada anda. Anda terpaku  mendengar
 bisikan cintanya tetapi pada masa yang sama menyedari bahawa cinta yang
 tidak berlandaskan syariat adalah cinta yang sia-sia. Anda tidak bersedia
 lantaran  menyedari amanah yang perlu dipikul ketika ini bukanlah untuk bercinta
 tetapi  untuk belajar, tetapi pada masa yang sama sebagai manusia hatimu
 berbunga riang setelah menyedari ada pria yang menaruh hati. Anda jadi keliru,
 bimbang, resah dan ragu. Anda tidak bersedia untuk bercinta kerana perjalanan
 akan datang masih panjang namun dalam hati tetap bimbang mungkinkah ini
 jodohku yang telah tertulis untukku? Baca surat ini......dari seorang gadis remaja
 yang berusaha  menjaga tatasusilanya kepada seorang pria yang juga berbudi
 bahasa dan baik akhlaknya.....]

Bismillahhirrahmannirrahim,
( Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani)

Kepada jejaka yang telah menyatakan cinta,

Assalamu'alaikum warahmatullah hiwabarakatuh,

Entah bagaimana dapat saya mulakan bicara ini. Terlalu berat untuk menulis,
terlalu sarat untuk berfikir, sejak dari saudara menyatakan perasaan yang
tak pernah terduga oleh saya...saya jadi keliru, buntu dan malu. Barangkali
sudah terlalu lama saudara menunggu jawapan dari saya, dan setelah saya
berfikir berulangkali, bermunajat memohon petunjuk Ilahi, mohon dikuatkan
hati agar diberi ilham untuk membuat keputusan yang tidak berbelah bagi,
akhirnya saya beranikan diri untuk menulis surat ini. Sesungguhnya ini bukan
surat cinta, tapi entah, anggaplah ia cuma warkah biasa-biasa saja........

Saudara yang masih menanti jawapan,

Bohonglah jika saya katakan saya tidak terkesan dengan lamaran saudara.
Sejak hari pertama saudara menyatakan cinta, saya jadi gundah gulana dan
tidak tentu hala. Entah suka atau sebaliknya, tapi pengakuan saudara telah
membuat saya seperti berada di dunia berbeza. Saya tidak lagi menjadi diri
saya yang sebenarnya!

Sebenarnya, lama sebelum saudara nyatakan rasa kasih dan cinta  terhadap
saya, sesungguhnya saya juga memiliki perasaan sedemikian terhadap
saudara. Dalam diam menyimpan rasa kagum melihat teguhnya saudara
menjaga akhlak dan tingkahlaku seorang muslim di tengah-tengah kekalutan
perilaku anak-anak muda ketika ini. Melihat saudara dari jauh membuat
saya berfikir rupanya masih ada anak muda yang berusaha berpegang kepada
agama dalam kesibukan mengejar kenikmatan dunia. Sungguh, dalam diam-diam,
saya mengkagumi saudara malah pernah pula berkata kepada diri sendiri,
alangkah beruntungnya wanita yang akan bertakhta di hati saudara nanti.
Sesekali dapat berbicara dengan saudara membuat saya sangat teruja, terasa
begitu bahagia tanpa saya sangka rupanya saudara juga memiliki perasaan
yang sama.

Saudara yang menantikan jawapan,
Biarpun perasaan itu ada dalam hati saya sejak sekian lama tapi saya tidak
berusaha menyuburkannya. Saya berkata pada diri bahawa perasaan
mengkagumi atau meminati seseorang adalah fitrah semulajadi manusia
yang dikurniakan Allah. Berulangkali saya bisikan pada diri saya bahawa
tanggungjawab saya sekarang adalah untuk menamatkan pengajian,
bukan untuk memikirkan tentang hidup berteman yang saya percaya sudah
ditulis oleh tuhan. Tidak mungkin dapat saya hampakan harapan ibu dan ayah
yang begitu berharap agar saya menjadi contoh kepada adik-adik yang
sedang belajar. Ohh...saya datang dari keluarga susah, bagaimana perasaan
mereka andai mereka tahu bahawa saya telah beralih arah? Tidak mungkin..!
Saya tidak sanggup menghampakan harapan mereka, membuat mereka kecewa
andai saya mengikut kata hati yang masih muda.

Benar, di sekeliling kita, adalah perkara biasa melihat pasangan kekasih
berdua-duaan tanpa tujuan, berpegangan tangan tanpa ada rasa bersalah
kerana membiarkan rasa cinta menjalar tanpa ikatan....
(Saya tidak mahu termasuk dalam golongan itu, saya percaya saudara
  juga begitu...)

Saudara nyatakan mahu berkawan dengan saya, oh, itu tidak menjadi halangan
asal saja kita tahu batas sempadan, tidak melanggar hukum tuhan dan tidak pula
lalai dengan keseronokan yang merosakkan. Tapi, benarkah, saudara cuma
mahu berkawan tanpa menyimpan apa-apa perasaan ? Saya tidak percaya.

Saudara yang saya hormati,
Kita manusia biasa lagi masih muda belia. Baik saya mahupun saudara belumpun
mencapai usia dewasa. Kita belum pun berada di usia seperti Nabi tercinta yang
bernikah ketika berusia 25 tahun. Kita sama-sama masih berada di kuliah,
masih lelah dihambat pelbagai tugasan yang mencabar minda, masih tercari-cari
arah sebenar, masih mencari identiti dan membina jati diri. Saya tidak pasti apa
yang ada dalam fikiran saudara ketika ini, tapi saya percaya saudara juga sedang
berusaha mendidik diri ke arah yang lebih baik.

Saudara yang saya kagumi,
Separuh jiwa saya 'hilang' ketika saudara secara jujur menyatakan sayang! Hati
gadis mana yang tidak bergoncang ketika pria yang selalu dikaguminya
tiba-tiba nyata hadir menebarkan salam. Seperti mimpi yang indah, saya
bertanya pada diri saya sendiri adakah ini  'hadiah' dari Allah atau ujian yang
diberikan kepada saya untuk melihat sejauh mana keteguhan jiwa saya dalam
mempertahankan susila dan maruah saya yang belum tercemar. Sungguh, saya
tidak boleh tidur selepas itu, selepas mendengar pengakuan saudara, jiwa saya
benar-benar terganggu !

Saudara yang berhati mulia,
Sudah panjang rasanya saya menulis surat ini. Dapatkah saudara membaca
isi hati saya ketika ini? Tergambarkah di fikiran saudara apa yang cuba saya
sampaikan? Sayalah manusia paling bahagia ketika saudara menyatakan
cinta, namun saya tidak mahu tertipu dengan perasaan semata-mata ! Andai
saya terima lamaran cinta saudara, ke mana arahnya kita bawa rasa cinta dan
sayang itu? Sedang saudara sendiri telah nyatakan , saudara tidak bersedia
untuk menikah dalam tempoh terdekat ini...!
Saudara juga punya wawasan diri untuk mencapai apa yang diimpikan.
Andainya percintaan antara kita hanya sekadar mengisi masa senggang yang
 ada, sekadar 'dating' yang sia-sia, sekadar mengikut 'trend' semasa,
sekadar  'berchatting' yang entah apa-apa, saya mohon maaf (dengan
 penuh kerendahan hati) saya tidak bersedia. Saya tidak mahu membazirkan
 masa dan perasaan saya hanya sekadar untuk  'trial and error'.

Saudara yang berhati mulia,
Berapa sebenarnya harga sebuah cinta ? Cinta saya mahal harganya,
saya tidak menjualnya tapi saya akan berikan kepada yang berhak
saja apabila telah sampai masanya dan apabila saya  telah benar-benar
yakin dengan petunjuk dari yang  Esa........Saya pun  tidak pasti siapa
sidia yang istimewa itu, namun saya yakin ada yang telah  tertulis untuk
saya. Bukankah setiap kejadian itu ada pasangannya  masing-masing.
Siapa tahu pasangan saya itu adalah saudara ? Andai itu  benar-benar
akan terjadi, sayalah bidadari dunia yg sangat bertuah ! ....dan  dengan
rela hati  memberikan khidmat yang  terbaik buat sang raja yg tercinta
tapi saudara,  Allah Maha Bijaksana, apa yang terjadi selepas ini
hanya Dia yang mengetahui.................

Saudara yang tinggi pekertinya,
Saya tidak menolak cinta saudara, tidak juga menerimanya, kerana saya juga
 tidak mahu saudara hanyut dalam pesona yang memperdaya. Bukankah wanita
 boleh menjadi sebesar-besar fitnah kepada lelaki , saya tidak mahu menjadi
fitnah kepada saudara buat masa ini. Jadi, apa yang harus kita lakukan?
Saudara yang lebih tinggi ilmunya dari saya yang jahil ini, buat sementara waktu
 ini, sementara kita habiskan amanah yang terpikul di bahu kita, mari kita baiki
 diri  kita menjadi lebih baik. Moga-moga apabila kita perbaiki iman dan amal
 kita dari masa ke semasa, Allah membuka jalan untuk kita bertemu di alam
 bahagia yang halal tanpa perlu menghampiri zina, tanpa perlu bergelumang
 dosa dan noda.....

Saudara yang dimuliakan Allah,
Sebaiknya kita simpan dulu perasaan ini dalam lubuk hati yang paling dalam.
Jangan kita suburkan kerana andai kita suburkan ia ditakuti syaitanpun datang
menyiramnya dengan titis-titis dosa yang tak terlihat oleh kita lantaran mata kita
telah dihiasi dengan yang indah-indah belaka. Mari kita suburkan dulu hati kita
dengan cinta kepadaNya kerana saya percaya apabila kita letakkan cinta kita
terlebih dahulu pada  Yang Esa, Dia tidak akan menghampakan kita. Andai
telah ditulis olehNya akan jodoh kita, pasti kita akan dapat bertemu juga dalam
dakapan kasih yang terpelihara, tapi andai kita tidak diizinNya untuk bersatu,
janganlah kita saling membenci atau menyalahkan takdir. Kita terima saja
ketentuanNya dengan redha agar dengan itu kita akan sentiasa merasa tenang
dan bahagia selalu.....

Saudara seagamaku yang baik hatinya,
Jangan ada benci dalam hatimu setelah membaca surat ini. Jangan dijaja atau
dijadikan bahan untuk dipersenda. Andai engkau tak ingin menyimpannya
pulangkan saja kepadaku agar dapat aku menyimpannya sebagai satu-satunya
kenangan terindah dalam hidupku. Seandainya saudara ingin menyimpannya,
sayalah yang paling gembira kerana itu tandanya saudara mendengar luahan
saya dan menghargainya....... . Sesudah membaca surat ini, saudara
ambillah wuduk dan tunaikan solat sunat 2 rakaat, mohonlah petunjuk dari
Allah agar jiwa dan perasaan saudara tidak terganggu dengan bait-bait kata
yang tertulis di surat ini. Andai saudara tidak boleh tidur selepas ini kerana
 dihambat kecewa dan hampa yang bertandang, hamparkanlah sejadah di
 tengah malam dan  bermunajatlah dalam dingin yang panjang.........

Moga doa kita bertemu dan bersatu dalam resah rindu hanya kepada
Allah yang satu......................

Ya Allah ampuni diriku....... maafkan atas segala kata-kataku yang mungkin
 menyinggung perasaan saudaraku yang baik ini............


Wassalam.

Friday, April 15, 2011

Indahnya kata-kata, Indah lagi Iman di jiwa....

Kalau roboh Kota Melaka
Papan di Jawa saya dirikan
Memang Sungguh Nabi Bersabda
Dunia Penuh Nikmat Melalaikan

Kalau merenung bintang di langit
Jangan lupa rumput di bumi
Kalau berkunjung ke rumah sakit
Jangan lupa menginsafkan diri

Nyiur Gading Puncak Mahligai
Gunung Daik tegap berdiri
Hancur daging jasad berkecai
Akhlay yang baik kekal di hati

Salam ziarah di hari Jumaat
Hari berkat penuh rahmat
Kalau marah apa nak buat
Ambillah wuduk tunaikan solat


p/s:
Selamat bercuti, Selamat berhari minggu kepada anda semua
Bagi yang dah kawin Selamat bercuti bersama keluarga
Yang belum kawin, pandai-pandailah isi masa
Yang penting, tenangkan hati , lapangkan dada
Sebab zaman sekarang, ramai sangat yang sakit jiwa
kenapa ye?
Mungkin sebab kesedihan yang sentiasa menerpa
tak mampu ditangkis dengan iman yang ada
Jangan bersedih  ya
Kerana Allah sentiasa ada
Mari kita mengadu padaNya.....

Salam Sayang dari Cikgu,
Ku kirim salam di angin lalu...................cheewah........!..................:)

Thursday, April 14, 2011

Bila Cinta Tidak Lagi Berbunga.........

Sesekali , mari kita tanya diri , bila kita membaca berita di akhbar seperti ini:

 * Gaduh, Cerai , Lenyek - Ibu beranak tujuh di langar suami
       
                                                  @

 * Suami Cekik Isteri tegur Jumpa Kekasih

                                                  @

* Suami Simbah Asid Ke Muka Isteri

                                                  @

* Isteri patah pinggang di belasah suami

Apa yang sebenarnya yang terjadi  ?

Bila cinta tidak lagi berbunga......
Kemanisan pun hilang entah ke mana
Yang tertinggal cuma duka dan lara
Mungkinkah sudah tertulis dalam suratan sedemikian rupa
atau kita yang tersilap merencana.....................?



Kata saya  :

Bila agama tidak lagi dipegang, nasihat tidak lagi dipandang, kemanusiaan
pun hilang, tiada lagi kasih sayang, yang ada hanyalah kebencian yang
terawang-awang, memenuhi hati insan-insan yang malang..........



Mari dengar apa kata pembaca semua.........?

Tuesday, April 12, 2011

RM13000...(?)......Maaakk aaiiii!

Salam semua, salam 1 Malaysia, salam pagi yang ceria, semoga di pagi yang
berbahagia ini, anda semua dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa. Dah
sarapan? Belum? Eh, jangan tak sarapan tau, penting tu untuk kesihatan
(kata pakar kesihatanlah). Jangan skip makan pagi, kalau nak jaga badan
kena skip makan malam. Hehehe.......:)

Eh, apasal lain macam je intro hari ini? Saja le....Mula-mula ingatkan tak nak
buat entry hari ni tapi bila malam semalam lepas pukul 10 tu,  sambil-sambil
siapkan apa yang patut kat rumah, tiba-tiba suami yang tengah melayari internet
tu cakap: "Eh, tengok ni....harga ikan patin RM13000 sekali makan....kat
Temerloh ni...."

Biar betul! Mula-mula akak tak percaya tapibila  tengok betullah...RM13000
untuk 50 orang (sekali makan)! Maknanya satu orang kena bayar RM260!
Maakkk aaaiiii ......makan ke apa ni ? Eh, kalau korang tak percaya ce try tgok
kat Kosmo hari ni, ada tak?

Jadi akak pun teringatlah kalau tulis pasal ikan ni okay gak, maklumlah akak kan
orang Pahang tapi takdele duduk kat Temerloh tu, cuma biasalah makan ikan
Patin ni tapi ni dah lama tak beli  patin ni  sebab ada orang kata kolesterolnya
tinggi, tak tahulah betul tidak.

Eh, mahalnya ikan ni, betul ke? Betul tak betul tu tak pastilah pulak sebab kami
tak pernahlah pulak makan ikan patin semahal tu. Setahu akak kat Temerloh
memanglah terkenal dengan ikan patin, sebab tu dapat jolokan bandar Ikan Patin
dan di sepanjang Sungai Pahang tu memang banyak orang usahakan ternakan
ikan Patin dalam sangkar. Cuma ikan patin sangkar tu takdelah mahal sangat,
dalam belas-belas ringgit kot sekilo. (dah lama tak beli, so tak pasti harga terkini).

Dah tu yang mahal sangat, pasal?agak-agaknya patin liar yang original
kot ...yang pernah ayah akak bagitahu ikan patin sungai yang original memang
 mahal, memang melebihi  RM180 sekilo! Kami yang dok kat Pahang ni pun
tak pernah makan Patin yang mahal tu, hehehe.....

Sedap sangat ke ikan ni? Sedap tak sedap ni ikut selera masing-masinglah.
Ada yang suka ada yang tak. Kalau akak bolehlah sekali sekala, kalau selalu
jemu gak. Biasalah dunia, kan. Kalau kat syurga tu lainlah....cheewah...!

Masak apa selalunya? Oo....ikan ni best masak tempoyak....taruk kunyit hidup,
cili api, daun kesum, tempoyak, asam keping sikit, bawang tak pakaipun...
senangkan......tu je? opps!....satu lagi lupa nak bagi tahu taruk airlah, kang
camna nak masak ikan tu.....apalah cikgu ni. hehehe.... kalau nak cuba masak
 ikan patin kukus pun sedap jugak, makan dengan nasi panas-panas...makan
 pulak waktu perut tengah lapar....Allah....nikmatnya....member lalu belakang
gerenti tak  sedar punya....
(Eh, jangan lupa basuh dulu ikan tu  dengan air beras ke, air asam ke sebab
nak hilangkan baunya...kang tak lalu nak makan...)

Ooo...lupa nak cite, ikan patin ni ada banyak jenis, ada patin kolam, patin
sangkar, patin muncung, patin buah, patin juara (kat sini panggil patin jora).
3 yang terakhir tu kira kategori mahallah. Patin kolam ngan patin sangkar tu
biasa-biasa je harganya. Ish.....kalau nak makan cari patin sangkarlah, lagi
best dari patin kolam. Sebab apa?

Patin Sangkar tu diternak di sepanjang Sungai , jadi airnya mengalir tak
macam patin kolam. Isinya manis dan baunya takdelah hanyir sangat macam
patin kolam. Kalau orang dah biasa dengan ikan patin ni, tengok fizikal je
pun dah tahu patin kolam ke patin sangkar. Kalau nak tahu lagi, ikan patin
sangkar di Temerloh lebih sedap rasanya dari ikan patin sangkar di Pekan
(ikut teori akaklah, jgn marah orang Pekan ye...)

Huih....panjang jugak cite pasal ikan patin ni, ingat nak tulis pendek je.
Dulu-dulu ada kawan akak dari negeri lain yang baru posting kat Pahang
ni tanya, cammana rupa ikan patin tu? Akak cakap, rupa macam ikan le,
takkan rupa macam ayam pulak....kehkehkeh....

Okeylah, nak stop dah. Sebelum tu, cuba korang perhatikan bagaimana
hebatnya kebesaran Allah, baik dalam sungai mahupun dalam laut,
pelbagai jenis ikan yang dicipta oleh Allah, setiap hari ada je kapal besar
ke, kapal kecik ke pegi tangkap ikan hingga ke tengah laut tapi ikan-ikan
tu tak pernah berkurangan pun. Kemudian, bila ada kaki pancing pergi
memancingpun, ada juga rezeki Allah bagi. Kalau ikut logik akal, dah
berpuluh tahun orang cari ikan di laut, takkan tak habis-habis lagi ikan tu?
Itulah tandanya kebesaran Allah.......

Lagi satu, cuba tengok ikan-ikan tu, berpuluh tahun hidup dalam laut
yang masin tapi bila  kita masak rasanya tetap tawar  takde pulak masin
macam air laut tu kan, kan.....


Kita hari ni macam2 menu ada....nabi dan para sahabat dulu pernah makan daun-daun
kayu untuk alas perut hingga mulut mereka luka2......(asbab pengorbanan mereka
hidayah tersebar ke seluruh alam......Allahualam....)

Monday, April 11, 2011

Tipah tertipu......(?)

Suatu ketika, di bumi Allah ini, di sebuah benua, di sebuah negara bernama
Malaysia, di dalam negeri yang kaya dengan hasil hutannya, di sebuah daerah
 yang biasa-biasa saja, di sebuah kampung yang terpelihara dari pencemaran
 udara, di sebuah rumah yang sederhana, di dalam sebuah bilik yang di hias
cantik bercahaya........tersebutlah kisah dua insan teruna dan dara yang baru
 melalui detik bahagia kerana baru diijab kabul di waktu siangnya.

Jeng...Jeng.....Jeng......

Ditepi birai katil, si suami memegang tangan si isteri sambil berkata:

"Dinda, pada hari yang berbahagia ini, kanda ingin memohon maaf kepada
adinda..."  berkata lelaki yang baru bergelar suami itu dengan machonya.

"Kenapa kanda? Ada apa sebenarnya, sehingga kanda berkata sebegitu rupa?"
tanya si isteri dengan penuh lemah lembut ala-ala perempuan melayu terakhir
lagaknya.

Jawab sang suami yang masih teruna itu;

"Begini, dinda ingat tak semasa kita masih di alam pertunangan, dinda telah
 menghubungi kanda di pejabat untuk berjumpa selepas kanda habis kerja.
 Panggilan itu dijawab oleh seorang rakan kekanda yang memaklumkan
 bahawa kanda telah pulang dan tiada di pejabat. Sebenarnya ketika itu,
 kanda masih ada di pejabat tetapi kanda yang telah suruh kawan kanda tu
 memberitahu bahawa kanda dah balik...."

"Mengapa kanda? Mengapa kanda buat begitu? Kira kanda telah menipu
dinda la ni?" Tanya si isteri yang masih dara itu dengan gaya-gaya manja
seperti merajuk saja lagaknya.

"Dinda, dinda jangan salah faham. Memang benar kanda telah menipu dinda
tapi  ada sebabnya...."

"Apa sebabnya kanda?"

"Begini dinda, sebenarnya ketika dinda telefon dan bagitahu nak berjumpa
 dengan kanda, kanda tersangatlah teruja dan seperti hendak melompat saja,
 maklumlah tunangan sendiri yang hendak berjumpa....tapi kemudian datang
 ilham dalam fikiran kanda yang kita belum ada apa-apa hubungan lagi.
 Walaupun kita telah bertunang tapi itu bukan tiket  untuk kita berjumpa dan
 memadu asmara. Tiba-tiba kanda rasa takut bila teringat peringatan Allah yang
 menyebut, jangan hampiri zina, jangan hampiri zina...."

"Tapi dinda ajak berjumpa tu bukan untuk berzina" jawab si isteri masih tak
 puas hati.

"Memanglah... tapi kanda bimbang seandainya kanda pergi berjumpa adinda
 ketika itu, syaitan membisikkan ke telinga kanda untuk memegang tangan
 adinda, bukankah itu sudah dikira menghampiri zina? Kanda juga takut
 seandainya selepas berjumpa itu kanda tak dapat tidur kerana teringatkan
 dinda, bukankah itu telah menganggu fokus kekanda untuk beribadah kepadaNya?"

"Jadi, kanda taknak berjumpa tu bukanlah sebab kanda tak sayang dinda ya?"
 Jawab si isteri dengan wajah yang dah bertukar dari cuka kepada gula.

"Ya dinda, kanda taknak berjumpa pada hari tu kerana kanda takut jika
 kita berjumpa, syaitan menhiasi mata kita dengan keseronokan semata-mata
 sehingga kita tak dapat membezakan antara dosa dan pahala. Dinda lebih rela
 kehilangan kasih manusia dari kehilangan redha Allah, adindaku sayang..."

"Oh kanda, begitu rupanya....."

"Adinda, itulah kali pertama kanda menipu adinda dan kanda berazam itu juga
 adalah kali yang terakhirnya kerana selepas ini, sesudah kita jadi suami isteri ini
 kanda berazam akan menjadi suami mithali, suami terhebat di abad ini.....eceh!"

"Adinda tak marah kan?"

"Tak kekanda, malahan dinda berbangga kerana telah ditemukan dengan
seorang pemuda  yang teguh pendiriannya sehingga tak langsung tergoda
dengan ajakan seorang dara yang belum tentu kuat imannya. Terima kasih
kanda kerana telah menyedarkan adinda..."

:)
:)
:)
:)

Cut !.....................(adegan seterusnya tidak diluluskan untuk tayangan umum)

Fullamak ! Andainya semua lelaki di zaman ini memiliki sifat-sifat seperti di atas
nescaya tidak adalah gadis-gadis yang sanggup mengorbankan maruah untuk
cinta yang tiada kesudahan. Tentunya gadis-gadis pun malu untuk menonjolkan
diri dalam keadaan yang tak sepatutnya. Pastinya mereka tak berani nak
menggoda mana-mana lelaki lantaran bimbang godaan itu dibalas dengan
tazkirah yang memeritkan. Tentunya apabila si pemuda dapat menjaga matanya,
 telinganya, tangan dan kakinya dari perkara-perkara yang menghampiri zina
rasa-rasanya tiadalah masalah perzinaan dan pembuangan bayi yang berleluasa
dewasa ini sehingga dikhabar setiap hari pasti ada bayi luar nikah yang
dilahirkan. Bukan satu, bukan dua tapi cukup banyak bilangannya....sungguh
mengerikan! Dan anak itu kemudiannya dibuang di mana-mana saja seperti
membuang kertas tisu ke dalam longkang, sungguh tidak beradab!

Ya Allah....beri kami petunjuk, beri kami petunjukMu....Ya Allah

(p/s: cerita di atas bukan rekaan ye, cerita betul ni...cerita siapa? Ada le..:)



Carilah  Redha Allah dengan marahnya manusia, jangan cari redha manusia dengan
marahnya Allah

Sunday, April 10, 2011

~Suara hati Sang Bidadari kepada Seorang Daei~

Kepada seseorang yang aku sayang
yang telah lama bersamaku berkongsi susah dan senang
yang pernah berkata kepadaku:
~ melihat senyummu, jiwaku tenang
~ mendengar tawamu, hatiku girang

Di pagi yang berbahagia ini, ku ucapkan:

SELAMAT HARI LAHIR...... :)
SEMOGA DIBERKATI UMURMU....
MOGA BERTAMBAH IMAN DAN AMAL....
MAKIN MENINGKAT SABAR DAN SYUKURMU.....


Kudoakan dikau menjadi;
~ seorang anak yang terus berbakti
~ seorang ayah yang terus dihormati
~ seorang suami yang terus dikasihi
~ seorang da'ei yang tahan diuji

Terima kasih kerana;
~ selalu menghargai kelebihanku
~ sentiasa menerima kekuranganku
~ terima kasih jua atas segala bimbingan
~ atas segala nasihat dan pandangan
~ selalu ada disisiku tika aku memerlukan
~ mendengar keluh resahku tika hatiku rawan

Dikau yang aku kasih
yang kuanggap anugerah dari Yang Maha Pengasih
marilah kita terus membina mahligai bahagia
berlandaskan Cinta Yang Maha Kuasa
hanya Dia yang Maha Berkuasa
bisa memberi rahmat dan bahagia
dengan CintaNya yang abadi
kita bina  kasih kita yang suci
moga kekal bahagia hingga akhir nanti.......

Ya Allah....
redhai kami dengan rahmatMu
Lindungi kami dengan KasihMu
Satukan kami di syurgaMu


Sesungguhnya,
Hanya Engkau, yang bisa memberikan yang terbaik buat hambaMu...

nukilan:  Norsha...........................................................10/4/2011(6.40 a.m)




Sebenarnya, semakin meningkat usia, semakin singkat masa untuk kita bersama di dunia....

Friday, April 8, 2011

Berilah nasihat.....

"Kata-kata yang baik itu boleh menjadi azimat,
 menjadi penenang ketika jiwa bergelodak sarat,
 menjadi penawar ketika hati sukar dirawat
 lalu berikanlah aku nasihat.......
 agar dapat ku kenang, dapat ku ingat,
sebagai bekal semangat
berdepan dengan hidup yang ujiannya terkadang menyengat....."

Berbelas tahun yang lalu ketika masih bergelar siswi di salah sebuah
universiti di utara tanah air, aku terima satu nasihat yang masih kuingat
hingga ke hari ini. Nasihat itu tidak diminta tapi diberi percuma oleh
seseorang yang tidak dikenali secara tidak sengaja, namun di bawah
minda sedarku ia tersimpan kukuh hingga ke hari ini. Ceritanya begini:

Suatu hari minggu, aku dan 3 orang teman rapatku keluar ke bandar
berdekatan membeli barang keperluan. Dalam perjalanan pulang, kami
menaiki sebuah teksi yang pemandunya seorang lelaki pertengahan usia.

Lelaki itu peramah, entah apa yang dibicarakan aku sudah lupa kerana
peristiwa itu sudah lama tapi ada bait-bait kata yang entah macam mana
tersemat kukuh dalam ingatanku. katanya: 

"Dalam perkahwinan, kalau rupa paras biasa-biasa saja, tak mengapa,
 yang penting tawan hatinya, tunjukkan akhlak yang terbaik, kalau cantik
 tapi buruk akhlaknya lama-lama rumah tangga boleh hancur binasa..."

 Begitulah lebih kurangnya....

Tak tahulah macamana boleh keluar nasihat tersebut dari pakchik pemandu
teksi itu. Ketika itu, kami semua masih bujang dan tak terfikirpun lagi
nak kawin, jadi nasihat itu umpama masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Kemudian, selepas tamat pengajian, bertemu jodoh dan melayari bahtera
rumahtangga, nasihat itu tiba-tiba muncul kembali di ingatanku. Menempuhi
cabaran perkahwinan, suka duka, susah senang bersama, benarlah apa
yang dikata oleh pak chik tersebut, bukan ukuran paras rupa yang menjadi
tunjang bahagia tapi perilaku dan akhlak itulah yang lebih utama. Oh....
tidak disangka nasihat yang diberi berbelas tahun yang lalu yang kuanggap
tidak membawa apa-apa makna ketika itu, rupa-rupa berguna untukku
praktikkan apabila tiba masanya.

Begitu juga, ketika melahirkan anak pertama, aku dikunjungi oleh seorang
kenalan ibuku (sudahpun meninggal mak chik itu....al fatihah utknya),
dalam berbual itu dia menitipkan pesan,
"jaga rumahtangga sebaik mungkin, ada masalah bawak berbincang, jangan
 ikut nafsu muda, kalau rumahtangga kita runtuh, orang keliling tepuk tangan,
 berapa kerat sangatlah yang bersimpati, jadi selagi upaya pertahankan
  rumahtangga kita."

Nasihat yang tidak diminta tapi diberi dari hati yang tulus ikhlas oleh seorang
insan tanpa diduga. Sekalipun kedengarannya hanya nasihat biasa-biasa tapi
sebenarnya mengandungi makna yang cukup mendalam.

Sahabat sekalian, sebagai manusia biasa, kita tidak sempurna, setinggi
manapun ilmu yang kita miliki atau sebanyak manapun harta yang ada, kita
tetap ada kelemahan dan kekurangannya. Nasihat yg berguna tidak semestinya
datang dari orang yang sama tarafnya dengan kita tetapi boleh juga datang dari
orang-orang yang tidak kita sangka, yang mungkin taraf pendidikannya jauh
lebih rendah dari kita tapi kerana pengalamannya, nasihat itu menjadi sangat
bermakna. Benarlah bagai dikata, jangan lihat siapa yang berbicara, tapi lihat
apa yang dibicarakan. Nasihat itu mungkin datang dari orang yang dipandang
rendah oleh kita tetapi kebenaran kata-katanya tetap tidak boleh disangkal.

Itulah yang selalu aku pesankan kepada anak muridku apabila aku berikan
nasihat kepada mereka. Ketika ini, nasihatku kedengarannya tidak dapat
diterima tetapi percayalah suatu waktu suatu ketika, nasihat itu tetap berguna
juga.  Seperti kata-kata yang pernah diucapkan oleh seorang pakar motivasi:

"....jika mereka tidak terima tidak mengapa, jangan dipaksa kerana paksaan
hanya membawa kepada penolakan yang berterusan, tetapi berilah mereka
nasihat kerana dibawah minda sedar nasihat itu sebenarnya ada tersimpan...."


Hidup adalah untuk memberi dan menerima, dengan hati dan minda terbuka,
semoga segala nasihat yang diberi pada hari ini boleh menjadi panduan di
hari kemudian. Semoga apa yang kutulis disini, boleh menjadi pedoman kpd
anda anak-anak muda yang sedang meniti usia menuju ke alam dewasa.

Marilah kita saling ingat mengingat agar dalam sibuknya kita mengurus
dunia, kita masih punya waktu mencari bekal akhirat.....

Thursday, April 7, 2011

Senyum...( tak perlu kata apa-apa...)

Petikan dari satu lagu:

  " Buai tinggi-tinggi sampai ke puncak awan
     dengan kumulus dan nimbus aku berkawan
     ku bukan jutawan, ku bukan rupawan
     tapi aku punya satu senyuman yang menawan"

   Senyum........(tak perlu kata apa-apa)
   Senyum........(tak perlu kata apa-apa)

   cantik dalam, cantik luar, cantik dengar sini
   kalau saya senyum, awak mesti senyum sekali ...:)

  kacak luar, kacak dalam, kacak dengar sini
  kalau saya senyum, awak mesti senyum sekali  ....:)

  Senyum.......(tak perlu kata apa-apa)
  Senyum ......(tak perlu kata apa-apa)

  Anakku berkata :

  ~ suka tengok umi senyum, kalau umi masam, rasa stress sangat.....ye ke?

Suamiku berkata :
~   balik kerja tengok awak senyum, hilang rasa penat
      tapi kalau awak masam, terus hilang semangat......eceh

Suatu hari anakku bertanya:
~    Nape umi senyum depan komputer?

Aku jawab :

~ umi senyum sbb baca komen dari follower,
    hilang rasa tension, terapi jiwa....he...he...he

Cuba bangun pagi ini, berdiri depan cermin dan tersenyum......apa rasa?
Bila pergi kerja, jumpa kawan, kita senyum tapi dia buat derk....nak kata apa?
Bangun pagi, solat subuh, siap-siap utk urusan dunia......jangan rasa tension
cuba senyum, cuba senyum anda akan rasa lega....tak caya.....cuba....cuba

Senyum itu sedekah, bila kita senyum, orang tengok tak rasa nak marah
tapi kalau kita masam, orang pun takut , lama-lama jadi menyampah
Senyum itu sedekah, alar......bukan kena bayar pun
duitpun tak luak.....rezeki lagi bertambah

tapi peringatan!
~ makwe2 jgn senyum kat pakwe2 , nanti korang dapat dosa
~ pakwe2 jgn senyum kat makwe2, nanti depa tidur tak lena
   jiwa terseksa, hidup pun huru hara......silap2 korang terkena tipudaya
   pelihara mata, agar terbina kemantapan jiwa...!

Senyum.....:) .....tak perlu kata apa-apa
Senyum.....:) .....tak perlu kata apa-apa

Senyumlah seikhlas hati.....duniakan berseri............
Senyuman semanis gula.............penawar hati yang lara.........ahaks    :)

Tuesday, April 5, 2011

Pengembara .....yang mencari cinta

Tersebutlah kisah di sebuah benua
seorang pengembara muda sedang berkelana
jauhnya datang dari utara
katanya mencari cinta
cinta apa....? cinta siapa....?
mari kita baca kisahnya

Di terminal pertamanya
pengembara itu terlewat tiba
kereta api pun pergi meninggalkannya
tapi dia tidak berputus asa
dia terus berjalan mencari cintanya
diperhentian seterusnya dia bertemu juga
tapi hatinya tak pasti apakah ini yang dicarinya?
kerana yang lebih tahu tentunya yang maha kuasa

Pengembara muda itu mahu meneroka dunia
katanya : semakin jauh berjalan, semakin luas pandangan
semakin matang fikiran
semakin meningkat iman
tapi dalam perjalanan itu dia perlukan teman
yang boleh membantu tika dia kelelahan
yang boleh menghulur tangan andai dia jatuh di jalan
tapi teman yang memahami sukar dicari
sebenarnya ada tapi masih 'tersembunyi'

Ada apa dengan cinta sebenarnya?
hingga semua manusia mengejarnya di mana-mana
terkadang-kadang sampai lupa hukum hakam agama
Ohh........ini jawapannya
kerana CINTA Adam berusaha menjejaki Hawa
kerana CINTA seorang ibu bergadai nyawa melahirkan anaknya
kerana CINTA seorang isteri berkorban seluruh jiwa dan raga
kerana CINTA seorang suami berhempas pulas untuk keluarga
kerana CINTA pada umatnya , hingga ke akhir nabi menyebut ummati, ummati
kerana CINTA Allah pada hambanya, semua nikmat diberi percuma
masihkah kita sangsi....?

Di dalam Al Quran, ada disebut
betapa DICINTAI ALLAH orang-orang yang bertakwa
betapa DICINTAI ALLAH orang-orang yang sabar
betapa DICINTAI ALLAH orang-orang yang bersusah payah di jalanNya

Pengembara.....yang masih mencari cinta
jangan dicari cinta yang dusta
carilah cinta yang membawa ke syurga
bila kau penuhi hatimu dengan CINTA yang Maha Kuasa
kan kau temui betapa
CINTA manusia datang tanpa diduga
membawamu lebih dekat kepada Sang Pencipta
memberimu bahagia bagai hidup di syurga

Pengembara .......yang mencari cinta
teruskan pencarianmu
dengan bekal takwa, yakin dan ilmu
suatu saat yang indah pasti bertamu dalam hidupmu
tika itu jangan kau lupa padaku
yang pernah berkongsi cerita cintamu
yang pernah kau tanya beberapa soalan terdahulu

Jangan ditanya aku
siapa pengembara muda itu.........?



(Pengembara muda itu....sangat kacak orangnya, sangat baik budinya, bercahaya nur di wajahnya, teka siapa ?)

Monday, April 4, 2011

Mereka kaya sebenarnya.....

Beberapa hari yang lalu, aku diminta oleh suamiku untuk menziarahi isteri
kepada temannya (temannya kini berada di Sarawak atas urusan agama.)
Aku tidak begitu mengenali wanita kepada kawan suamiku itu, namun atas nama
silaturrahim,tiada apa yang menjadi halangan untuk berkunjung seketika. Tujuan
ziarah itu selain dari untuk menghubungkan silaturrahim juga untuk bertanya
khabar keadaan si isteri dan anak-anak yang sedang jauh dari ayahanda tercinta.

Melangkah masuk ke kawasan kediaman yang cuma kira-kira 3 kolimeter dari
tempat tinggalku itu, benar-benar menginsafkan aku. Bertemankan puteriku,
(suami menunggu dalam kereta), kami disambut mesra oleh wanita lewat 30an itu
dengan senyum terukir dibibir sekalipun dapat kulihat keletihan diwajahnya.
Aku pernah ke sini sebenarnya, kira-kira 3 tahun yang lalu, dan dia masih ingat
padaku. Takala dia menyebut namaku, aku tersipu malu kerana sesungguhnya
aku sudah lupa nama panggilannya, (bermain dengan perasaan, aku cuba
mengingat sehabis daya namanya dan akhirnya baru aku dapat menyebutnya
dengan nada perlahan kerana bimbang berlaku kesilapan...)
Kami berbual mesra, bertukar cerita dan dalam berbicara aku cuba
bertanya barangkali ada hajat yang belum terlaksana, ada masalah yang perlu
disekesaikan segera atau ada keperluan yang perlu dipenuhi sementara
menunggu kepulangan suami tercinta.

Ohh...dia tertawa kecil, dengan nada perlahan berkata ,tiada apa yang kurang,
semuanya sudah dibereskan suami tersayang, yang lain-lain itu biasalah.....ada
waktu rezeki ada , terkadang-kadang putus juga...

Wanita ini tidak bekerja, tapi mengambil upah menjahit baju untuk membantu
suami memenuhi keperluan keluarga. Ahh, di mana-manapun, rezeki Allah itu ada
kalau  berusaha! Si suami  menyara keluarga dengan berjaja ikan di sekitar
kawasan perumahan, mereka tiada kenderaan cuma sebuah motosikal lama
sebagai  pengangkutan, 2 buah basikal yang digunakan anak-anak untuk ke
sekolah berdekatan malahan  rumah papan 1 bilik itupun  bukan kepunyaan
mereka tetapi disewa sejak  dari awal perkahwinan.

Ya....rezeki manusia memang tidak sama, ada miskin ada kaya. Ada dilimpah
harta berjuta, ada cuma cukup untuk mengalas perut hingga ke hari esoknya, tapi
sebenarnya di sisi Allah sama sahaja kecuali..........apa ya?

Aku tidak berani mengatakan mereka miskin atau susah sekalipun secara
zahirnya kehidupan mereka jauh bezanya dari kehidupanku. Sekalipun dimata
manusia, mereka  serba kekurangan tetapi aku kagum dengan kecekalan si suami
menunaikan tanggungjawab agama dan  ketabahan si isteri untuk terus berada
di sisi  suami sekalipun tidak dijanjikan harta atau limpahan kemewahan yang
mempesona!

Oh...cinta mereka bukan cinta biasa sebenarnya.....!


Tiada keluhan yang keluar dari bibirnya takala aku bertanya tentang
 kehidupannya yang ditinggal suami sementara, dia masih tertawa, meneruskan
 kelangsungan hidup bersama anak-anak tercinta di rumah kecil itu dengan ceria.
 Sungguh dia sabar menerima kesusahan yang ditentukan tuhan, dan masih cekal
 pula memikul segala urusan dan tanggungjawab tanpa banyak alasan. Tidak pula
 dia bersunggut atau meminta-minta yang bukan-bukan. Dalam serba kekurangan
 itu, dia tetap teguh menyokong suaminya tanpa mempeduli cemuhan
orang-orang keliling yang suka menghina dan sabar pula melayan karenah
anak-anak yang sedang meningkat remaja.

Lalu aku teringat kata-kata bahawa kekayaan hakiki bukan terletak pada
kilauan permata tapi sebenarnya terletak pada hati yang bersyukur dan sentiasa
redha. Ketika  meninggalkan rumah papan 1 bilik itu, perasaanku bercampur baur
antara sayu, kagum dan malu....

Sayu mengenangkan  kehidupan mereka yang serba kekurangan itu namun
kagum  kerana keteguhan mereka berpegang pada agama tanpa ragu..... dan
aku malu bila memikirkan  perbezaan antara kami yang menurut pandanganku
mereka lebih kaya sebenarnya  dari keluargaku [kamipun tidak kaya sebenarnya]
kerana andainya aku yang berada di tempat wanita itu, dapatkah  aku bertahan
seperti dia...?  Hanya Allah yang tahu.....



Lalu aku teringat sabdaan nabi yang mengatakan di dalam syurga lebih ramai orang
miskin dari orang kaya..........

Sunday, April 3, 2011

Ini Doaku..... Ya Allah

Ohh Ya Allah.....Sungguh benarlah hidup ini penuh ujian yang terkadang begitu
menguji perasaan. Karenah anak-anak yang menghiburkan itu adakalanya
bertukar menjadi medan ujian kesabaran. Benarlah seperti apa yang telah
difirman bahawa anak-anak itu ujian, ketika kecil dengan karenah kecilnya,
ketika remaja dengan karenah keremajaannya.................

Mungkinkah aku ibu yang kurang sabar, kerana mudah benar marah takala
mereka bertelingkah? Oh Ya Allah......beri aku sabar, beri aku sabar........
agar marahku bukan kerana nafsu tapi kerana utk mendidik mereka anak-anakku

Ya Allah, bantu aku..... bantu aku
aku insan yang lemah, ku mohon pertolonganMu yang Maha Gagah
bantu aku kerana mereka itu amanah
agar dapat kupandu mereka dengan lembut tapi tegas berhikmah
tika sabar ku diuji padaMu ku berserah
agar langkahku tetap teguh dan tidak goyah
agar kasihku tetap kukuh dan tidak pecah
mereka permataku dunia akhirat
bantu mereka  menjadi  seperti para sahabat..................

Ya Allah, ini doaku yang tulus suci
dari hati seorang ibu yang dipanggil umi
kerana Kau telah berjanji
takkan terhijab doa seorang ibu kepada anak yang dikasihi
kupohon limpahi mereka dengan kasih sayangMu yang tak berhenti
lindungi mereka dari tipudaya dunia ini
tunjukki mereka jalan yang Engkau redhai
kasihi mereka dengan kasihMu Ya Ilahi................



Ya Allah, berikan kami kebaikan di dunia dan di akhirat

Friday, April 1, 2011

Selamat Hari Lahir

Pagi tadi, sampai tempat kerja, kat meja sebelah ada bakul buah yang dah siap
digubah,  cantik terletak kat atas meja.....dalam hati kata, bertuahnya budak
Wana ni, ada je orang bagi hadiah kat dia!
Kalau hari-hari datang kerja, pastu ada orang buat kejutan, bagi hadiah ke,
bagi ucapan selamat ke, mesti hari-hari tak sabar nak datang kerja.

Tak lama lepas tu, cikgu yang cantik manis  dan masih single mingle tu pun
masuk bilik guru dengan penuh bergayanya. Tak lama adalak anak murid
nak jumpa....dari muka pintu tu terdengarlah ucapan " Happy belated
birthday cikguuuu........!"

La, patutlah ada bakul hadiah atas meja! Hadiah birthday rupanya, eh, pasal
tak bagi tahu kat akak, ish, ish, ish......kalau tahu pagi-pagi tadi dah bagi ucapan.
Bukan apa, akak ni walaupun tak pernah sambutpun birthday2 ni tapi suka je
nak wish kat kengkawan . Seronok tahu dapat ucapan dari orang-orang yang
ada kat keliling kita. Walaupun tak bagi hadiah, dapat doa dari mereka pun dah
cukup baik.

Ahaa......Wana sayang, Selamat Hari Lahir yang ke...........? La, lupalak nak tanya
tadi, nak main tulis je kang kalau silap marah pulak tuan punya badan. Takpelah
Wana , tak kisahlah yang ke berapapun, alar....umur hanyalah angka!

He...he , disamping tu dapat juga kenakan dia, bila tengok ada pisang dalam
bakul hadiah yang cantik tu, terus teringat nak bagi teka-teki, tengok boleh
jawab tak cik mek kelate ni. Nak tahu, teka-teki apa? Ha...dengar....

"Makan pisang, buang kulit, makan kulit, buang apa?"

Keh...keh...keh....lama gak tunggu jawapan dari cikgu fizik ni. Ha...ha....ha....
tak dapat jawab.....nampaknya tak dapatlah hadiah daripada akak tahun ni...

Takpelah tak dapat jawab pun, yang penting akak nak ucap ni:

"SELAMAT HARI LAHIR, MOGA HIDUPMU TERUS DIBERKATI,
 TERUS DIMURAHKAN REZEKI DAN MOGA-MOGA DAPAT
 BERTEMU PUTERA IDAMAN HATI TAK LAMA LAGI, BOLEHLAH
NAK BALIK KELANTAN NANTI......"

Kelas gitu, kan?


Ada sapa-sapa nak jawab teka-teki tu? Ha....tulis kat bahagian komen....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...