Tuesday, November 27, 2012

puisi suami & isteri

Isteri bukanlah hamba kepada lelaki
juga bukan 'mainan' atau 'alas pengesat kaki'
mereka dicipta untuk saling melengkapi
kasih mengasihi dan  hormat menghormati
juga untuk saling menyayangi
saling mengimbangi
sesekali mereka bertikam lidah, berselisih pendapat
itu biasa untuk menambah dewasa
menguji sabar dan  bijaknya dalam mengemudi
bahtera rumahtangga di lautan hidup yang bergelora
andai mereka saling berusaha
untuk menerima kekurangan yang ada
memperbaiki kelemahan sebagai manusia
dan mensyukuri setiap nikmat pemberianNya
saling berpimpin tangan untuk maju ke hadapan
Allah pasti tidak akan membiarkan
mereka terkapai-kapai tanpa bantuan
sesekali mungkin ada ujian
ada airmata atau tangisan
sebenarnya itulah penawar dalam perjalanan
asal saja mereka tidak melupakan
bahawa perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa
dan  medan  menambah pahala.....



* sempena banyaknya  majlis walimatul urus di musim cuti persekolahan ini....

Thursday, November 22, 2012

Kenangan terindah

Cuti2 sekolah ni, ramai yang dirikan masjid. Setiap minggu ada saja undangan perkahwinan. Alhamdulillah .....itu berita baik kerana disebalik banyaknya perceraian yang berlaku di zaman ini , tiada yang serik untuk berkahwin. Seorang rakan sekerjaku yang bakal berkahwin awal tahun hadapan  pernah berkata kepada ku yang dia asalnya tidak mahu berkahwin kerana melihat banyaknya masalah yang terpaksa ditempuh oleh pasangan yang telah berkahwin, Katanya, ada  temannya yang telah bersuami mengadu itu dan ini. Aku beritahu dia, untuk membina sebuah rumahtangga bahagia setiap pasangan perlu melalui beberapa episod suka dan duka, kerana itu akan membantu mendewasakan mereka....

Bercerita tentang rumahtangga, aku teringat sesuatu. Isnin lepas adalah ulangtahun perkahwinanku yang ke 18. Anak-anakku bertanya tentang sejarah masa lalu dan mereka ketawa  barangkali kerana tidak percaya dengan apa yang aku ceritakan.

Aku beritahu mereka; seminggu selepas berkahwin , ayahnya bawa ibunya menetap di sebuah rumah kecil dua bilik yang disewa dengan harga RM150 sebulan. Tiada perabot mahal, tiada kerusi atau sofa,
yang ada cuma keperluan asas,sebuah almari plastik, satu meja kecil, sedikit peralatan masak dan sebuah dapur gas yang dihadiahkan seorang kawan sempena perkahwinan kami. Juga tiada bilik tidur
mewah hanya sekadarnya saja. Rumah itu memang kecil, beberapa langkah ke dapur, ruang tamunya
adalah juga ruang makan, beberapa langkah ke bilik air dan beberapa langkah lagi ke bilik tidur. Tiada kereta, cuma sebuah motosikal klasik  lama untuk dia berulangalik ke tempat kerja. TV dan radio juga
tidak ada apalagi komputer. Segala-galanya sangat kurang dan jauh berbeza dengan keadaan
sekarang, tapi di rumah kecil itulah aku belajar erti kasih sayang, pengorbanan dan kesetiaan. Di situlah
aku belajar bahawa untuk mengekalkan bahagia , perlunya ada perbincangan, tolak ansur dan
persefahaman. Perlunya ada memberi dan menerima, menghargai dan menerima seadanya. Di rumah kecil itulah juga , aku diajar bahawa seekor burung takkan dapat terbang tinggi dengan sebelah sayapnya ....dan seorang raja takkan dapat mentadbir sebuah negara dengan baik tanpa  nasihat dari bendaharanya yang bijaksana.......sebuah negara yang aman damai, rakyat dan pemerintahnya saling bekerjasama....rajanya adil, rakyatnya taat, dan ketaatan itu mestilah berpaksikan ketaatan kepada Yang Maha Berkuasa.....

Sudah 18 tahun berlalu, kami tidak lagi tinggal di situ tapi segala cerita di rumah kecil itu, menjadi kenangan yang sangat indah untuk di kenang dan semoga ia terus kekal dalam ingatan kami untuk 18 tahun yang akan datang......................








Monday, November 19, 2012

Doa untuk Gaza

Ya Allah.....
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
bantulah dan selamatkanlah saudara-saudaraku di sana.....


saat kita di sini bergelak ketawa
mereka di sana sedang berduka
kita di sini cukup tidur, makan dan rehat
mereka di sana entah bagaimana.....
yang pasti pemudanya sedang berjuang
wanita dan anak kecilnya diserang
tentunya tidur mereka tak lena, makan tak kenyang
marilah kita mengangkat tangan, panjatkan doa
agar mereka tetap kuat, berjiwa kental dan penuh semangat
untuk  mengharungi ledakan peluru musuh yang dilaknat......


 Firman Allah:
 Lalu mereka berkata: " Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai tuhan kami!Janganlah 
 Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. Dan selamatkanlah
kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir"    ( Surah Yunus : ayat 85-86 )




Thursday, November 15, 2012

Salam Maal Hijrah

Assalamualaikum semua ........Lamanya tidak berjumpa, tidak menyapa di alam maya,
bukan kerana sudah lupa, tapi dihambat kesibukan dunia.....akhirnya malam ini dapat
juga saya menekan papan kekunci untuk menulis sepatah dua........sekadar mengucapkan
Salam Maal Hijrah 1434, moga terus diberkati kehidupan kita dengan rahmat dan kasih
sayangNya, kekal dalam hidayahNya hingga ke akhir usia........

                                                                              ihsan google


Semoga kita sentiasa diberi kekuatan untuk terus berhijrah ke arah kebaikan...........................



                                                                                                    

Saturday, September 22, 2012

Tanda bahagia


Seringkali kita menyangka, bahawa bahagia itu terletak pada banyaknya harta, cantiknya rupa,
mahalnya kereta atau tingginya darjat disisi manusia. Hakikatnya, bahagia itu adalah anugerah
dari Yang Maha Berkuasa, pemberianNya buat jiwa-jiwa yang  tak pernah lupa untuk
bersyukur atas rahmatNya..................

Monday, September 17, 2012

Kita sebenarnya seekor harimau

Ada seekor harimau ditingalkan oleh keluarganya dalam hutan. Ia dibesarkan dan hidup bersama keluarga kambing. Daripada kecil, ia telah diejek,dihina,dipandang rendah oleh kambing.
Ia dihina kerana badannya berwarna lain macam, suaranya tidak sedap..
Kambing kata pada harimau tadi " apalah kau ni muka tak lawa, suara tak sedap, kasut tak pakai, makan pun tak pandai. Ini kerana harimau tadi sangka dia kambing dan cuba hidup seperti kambing. Harimau itu jadi hina dan tidak berguna.

Suatu hari kambing ini dikejar oleh sekumpulan harimau. Kambing yang sangat banyak ini semuanya lari ketakutan. Termasuklah harimau yang hidup bersama kambing tadi. Tengah dia lari ketakutan. Seekor harimau besar tanya kenapa kau lari. Kata harimau yang hidup dengan kambing itu " sebab kau nak makan aku..kenapa aku nak makan kau. Kau harimau macam kami. Ish takkanlah.. Dia dibawa tengok cermin,akhirnya dia sedar. Aku harimau bukan kambing. Patutlah aku dihina dan dibodohkan.

Dia balik ke keluarga kambing. Seperti biasa dia dihina. Harimau itu mengaum..dengan suaranya yang sebenar semua kambing lintang pukang lari. Ini kerana dia sedar,aku harimau bukan kambing. Begitu juga dengan kita. Hari ini orang Islam telah kehilangan Roh/kehebatan mereka. Kita mencari kemuliaan/kejayaan dalam kuasa, harta, glamour, duit, pengaruh, sehingga kita sanggup buat perkara yang haram dan dan hati semakin jauh dari ALLAH.ampunkan dosa kami. Kita menyangka dengan meninggalkan suruhan agama kita semakin berjaya, sebenarnya tidak, hakikatnya kita semakin jauh dan jauh dari rahmatNya.

Kita kehilangan nikmat sujud pada ALLAH. Nikmat menangis padanya.
Nikmat Solat berjemaah. Nilai baca AL-QURAN, Nilai kasih sayang kerana ALLAH.

Satu gambar harimau,semuan orang boleh  conteng hatta kanak-kanak sekalipun, tapi seekor anak harimau pun orang takut. Kerana harimau tadi ada roh.
Hari ini orang Islam kehilangan roh Islam. Yang tinggal jasad. Sehingga kita sendiri meninggalkan amalan agama dan tidak menarik orang lain untuk masuk Islam.

Saidina Umar pernah menhantar  seseorang untuk menjadi wakil memenuhi jemputan kerajaan Rom. Dia pergi dengan seekor keldai tua,  seluruh kerajaan Rom hairan dan mentertawakannya. Sahabat tadi sebut ALLAHUAKBAR..Bergegar Istana Rom. Seorang sahabat yang tua,miskin menjadi kegerunan kerajaan Rom. Akhirnya sahabat tadi mendapat layanan yang baik.

Hadis Nabi SAW " Tidak tinggal Islam melainkan nama, tidak tinggal AL-Quran melainkan tulisan"
AL-QURAN tidak sanggup dipikul oleh gunung dan semua makhluk lain. Sangat hebat.
Tapi kehebatan nya akan terhasil jika ianya ada dalam hati dan amalan kita. Setiap sahabat adalah AL-QURAN bergerak. Mana mereka pergi, hiduplah islam. Roh ini akan kembali semula dengan dakwah, muhajadah dan bersusah payah untuk agama dengan  tangisan dan keikhlasan.

YA ALLAH AMPUNKAN DOSA KAMI..JADIKANLAH KAMI SEPERTI SAHABAH R.HUM..SEDARKAN LAH KAMI TUJUAN HIDUP KAMI UNTUK REDAHAMU DAN HIDUP DGN CARA KEKASIHMU MUAHMMAD SAW..pesanan dan doa untuk diri sendiri yang lemah dan berdosa ini-( Perkongsian dari Ustaz Ebit Lew.)

Tuesday, September 11, 2012

Anak, Ibu dan UPSR

"Ibu, boleh angah tanya sesuatu?" Tanya anak lelaki berumur 12 tahun itu kepada ibunya,
  yang sedang sibuk didapur, menyiapkan makan malam keluarga. " Boleh" Jawab siibu ringkas.

"Ibu sayang angah? " Soal si anak.

" Mestilah sayang, mana ada ibu tak sayang anak..."  Jawab ibu penuh yakin namun dibayangi
  perasaan hairan. Aneh sekali soalan itu.

" Kalau angah tak dapat 5A dalam UPSR nanti, ibu tak marah? " Anak menduga.
.
.
.
.

" Tidak, ibu tak marah.....tapi kenapa tanya macam tu?"  ibu bersuara.

"Angah takut ibu marah dan tak sayang angah kalau angah tak berjaya dapat 5A nanti...."

"Cikgu kata anak kena buat mak ayah bangga dengan keputusan yang cemerlang.......
 tapi angah tak pernah dapat A setiap kali periksa, asyik-asyik dapat B dan C sahaja,
 ibu mesti sedihkan ? Angah bukan anak yang berjaya......"

Siibu menarik tangan anak perlahan, tubuh anak yang kurus itu didakap penuh kasih sayang,
diciumnya ubun-ubun anaknya itu. Matanya bergenang, dia sedar anak ini tidak sebijak abangnya
dan tidak sepintar adiknya namun kasih sayang ibu tetap sama, tidak berlebih dan tidak berkurang.
Cuma anak yang mungkin rasa 'terbuang'. Ibu menarik nafas perlahan sambil berkata ;

"Angah, anak yang berjaya tidak diukur dari banyaknya bilangan A yang kita dapat ketika exam,
 itu cumalah penilaian sementara , tapi anak yang berjaya adalah anak yang taat akan perintah
 Allah, yang sentiasa berusaha untuk berbakti kepada kedua orang tua, yang selalu menggembirakan
 ibu ayah dengan akhlak yang baik dan tidak mencemarkan maruah keluarga dengan perbuatan
 maksiat...., bagaimanapun, kita sebagai manusia, tidak boleh berputus asa, kita mesti berusaha
 sedaya-upaya untuk berjaya dalam setiap perkara yang kita lakukan......selebihnya kita serahkan
 pada Yang Maha Berkuasa...." suara ibu meruntun pilu.


" Berapapun yang angah dapat dalam UPSR nanti, selama mana angah solat dan taat pada ibu dan
   ayah..... bagi ibu, angah tetap anak yang berjaya...."


Selamat berjaya buat 517,139 orang pelajar tahun enam yang menduduki UPSR bermula hari ini hingga khamis ini. Ini hanyalah langkah kecil buat perjalanan yang masih panjang......

Sekadar perkongsian, sebagai tanda sokongan buat anak-anak;


Saturday, September 1, 2012

Nikmat dan Musibah.............

SERINGKALI KITA LUPA NIKMAT ALLAH TETAPI TERSENTAK DENGAN MUSIBAHNYA............

Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik membancuh simen.
Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja.
Tidak menunggu lama,tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya.
Dia menyambung semula kerjanya.
Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya.Lelaki itu menoleh ke kiri,kanan dan disekelilingnya.Tiada siapa yg berdekatan dengannya.Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.
Tidak lama kemudian,lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya.Pun sama,dia mengambil dan menyimpannya.
"Rezeki aku!" kata lelaki itu dalam hati.

Lelaki itu tidak sedar,logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu.
Sebenarnya ,ketuanya mahu memanggilnya.Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan,cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah.

Namun,jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut.Dek kerana itulah,ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas.Mudah-mudahan,dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.

Sayangnya,sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah,lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.
Lantas,ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai.Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.

Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu.Setelah merasa sakit dan terganggu,lelaki itu mendongak ke atas,melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi.

Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.

PENGAJARANNYA :

Sahabat sekalian,kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta.Tanpa sedar,Allah sering menjatuhkan 'syiling' lambang rezeki,rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyaknya kepada kita.

Allah menjatuhkan 'syiling' itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur 
dengan kurniaan-Nya.Tetapi,kita seringkali pula  lalai untuk 'mendongak' ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.

Seperti kisah ketua dan pekerja tadi,apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian,lalu Dia jatuhkan pula 'batu' yg berupa musibah,kegagalan,keperitan dan pengalaman yg menyakitkan.

Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu,barulah kita teringat untuk mendongak,menadah tangan bersyukur mengingati Yang  Maha Pencipta kita.                                                                                            

Percayalah, Allah tidak menduga manusia diluar batas kemampuan kita....................
Sumber: FB

Monday, August 27, 2012

Kisah tentang gurauan Rasulullah s.a.w

Gurau senda, senyum dan tertawa adalah menu sihat untuk jiwa yang bahagia. Rasulullah s.a.w
menganjurkan agar suami isteri mencipta iklim rumahtangga bahagia yang dihiasi dengan gurau
senda sebagai pengikat cinta. Lihat bagaimana  Rasulullah s.a.w menyuburkan kasih mesra
bersama isterinya yang tercinta.


Diriwayatkan dari Aisya r.anha, katanya: " Pada suatu hari aku dan Rasulullah s.a.w bermusafir.
Ketika itu tubuhku masuh lagi kurus dan kerana itu tidak sukar untukku mengikuti perjalanan
tersebut. Ketika itu, Rasulullah s.a.w berkata kepada rombongan; " berjalanlah kamu
lebih dahulu. " Lalu rombongan itu pun berjalan mendahului kami.

Apabila rombongan itu telah berjalan agak jauh meninggalkan kami di belakang, maka
Rasulullah s.a.w berkata kepadaku; " Bagaimana kalau kita berlumba lari dan aku akan dapat
mengalahkan engkau." Lantas aku dan Rasululllah s.a.w pun berlumba dan pada akhirnya aku
menang.

" Kemudian lama sesudah peristiwa itu, Rasulullah tidak menyuruh aku bekerja sehingga
tubuhku semakin gempal dan berat badanku semakin bertambah lalu pada suatu hari aku dan
Rasulullah pergi bermusafir. Perjalanan itu diikuti oleh ramai sahabat, maka Rasulullah s.a.w
berkata kepada mereka: " Berjalanlah kamu lebih dahulu." Merekapun berjalan meninggalkan
kami. Ketika itulah Rasululllah berkata kepada ku; " bagaimana kalau kita berlumba sekali lagi
dan kali ini aku yakin aku dapat mengalahkan kamu." Sebenarnya ketika itu aku sudah lupa yang
kami pernah berlumba dan Rasulullah s.a.w kalah, sedangkan pada ketika ini tubuhku sudah
gempal dan berat badan ku semakin naik. Aku menjawab; " Tentu saja aku akan kalah
kerana badanku gemuk sekarang. " namun Rasululllah s.a.w beriya-iya mengajak aku berlumba
hingga aku setuju.Perlumbaan itu akhirnya dimenangi oleh Rasulullah  s.aw. Setelah aku kalah
kepadanya  maka Rasulullah s.a.w tertawa sambil berkata: " Aku telah menebus kekalahanku
yang lalu"

                                                                                                   (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Rumahtangga adalah syurga yang mendamaikan andai kita berusaha menghiasinya dengan
kasih sayang , toleransi , sifat saling menghormati dan memaafi............Selamat menempuh
alam perkahwinan buat sesiapa juga yang bakal mendirikan rumahtangga, moga anda dan
pasangan bahagia hingga ke syurga......

p/s: doa pengikat kasih sayang  ; Surah al Imran ayat 200

Wednesday, July 18, 2012

Ramadhan


Diucapkan Selamat Berpuasa buat semua kawan-kawan, semoga Ramadhan kali ini menjadi
Ramadhan yang terbaik buat kita semua, mohon maaf andai ada terkasar bahasa, terlanjur bicara....
Sekadar renungan buat semua.....



Selamat meningkatkan iman di bulan Ramadhan, moga segala amal baik terus berkekalan.........

Monday, June 25, 2012

Ajalnya tiba pada malam pernikahannya (kisah benar)


Selepas melaksanakan Solat Maghrib, dia mulakan make-up pada wajahnya, memakai pakaian pengantin putih yang cantik, mempersiapkan dirinya untuk majlis perkahwinannya sendiri, kemudian dia terdengar azan 'Isyak dan menyedari bahawa wuduknya telah terbatal. Lalu dia berkata kepada ibunya: "Mak, saya perlu ambil wuduk dulu dan solat 'Isyak "

Ibunya terkejut: "Apa kamu gila?!! Tetamu sedang menunggu, untuk melihat kamu! Bagaimana dengan make-up? ! Nanti habis dirosakkan oleh air."
Tambah ibunya lagi: "Sebagai ibu, mak tak izinkan kamu solat sekarang! Wallahi... jika kamu ambil wuduk sekarang, mak akan tetap memarahi kamu."
Anak perempuannya menjawab: "Wallahi... saya tidak akan pergi dari sini sehingga saya melakukan solat! Ibu sepatutnya tahu bahawa tidak ada ketaatan kepada mana-mana makhluk agar menderhaka kepada Maha Pencipta.!!”

Ibunya berkata: "Apa kata tetamu nanti jika kamu muncul dalam majlis perkahwinan sendiri tanpa make-up?! Tentu nampak hodoh atau tidak cantik di mata mereka! Mereka pasti akan mentertawakan kamu! "

Sambil tersenyum, anak perempuan itu bertanya: "Adakah ibu bimbang kerana saya tidak cantik di mata mereka? Bagaimana pula dengan Maha Pencipta saya? Saya bimbang kerana, jika saya terlepas solat saya, saya tidak lagi cantik di mata-Nya "

Dia mula berwuduk, dan semua make-up pada wajah telah hilang, tetapi dia tidak peduli.

Kemudian dia memulakan solat itu dan pada masa dia turun untuk sujud, dia tidak sedar bahawa ia akan menjadi satu sujud yang terakhir!

Ya! Beliau meninggal dunia ketika dalam sujud! Pengakhiran yang besar bagi Muslimah yang berkeras untuk mentaati Tuhannya! Ramai antara mereka yang mendengar cerita ini begitu tersentuh!!

Beliau mengutamakan Allah dan ketaatan kepadaNya sebagai yang pertama dalam keutamaan hidup beliau, jadi pengakhiran terbaik yang dianugerahkan oleh Allah pada mana-mana umat Islam yang layak memilikinya!

Dia mahu menjadi lebih dekat kepada-Nya, maka Allah mengambil nyawanya pada saat di mana umat Islam berada paling dekat kepada-Nya! SubhanAllah!

Dia tidak peduli jika dia tidak indah di mata makhluk, asalkan dia cantik pada Maha Pencipta!

Wahai saudari Muslimah, bayangkan jika anda berada di tempat itu! Apa yang anda akan lakukan? Apa yang anda akan pilih: pujian manusia atau Maha Pencipta?

Wahai sekelian insan! Adakah kita ada jaminan bahawa kita akan hidup untuk minit seterusnya? Jam? Atau bulan?!!
Tiada siapa tahu apabila saat mereka akan datang? Atau bila kita akan bertemu malaikat Maut? Jadi, adakah kita bersedia untuk saat itu?

Wahai muslimah! Apa yang anda pilih: bersantai tanpa hijab atau dirahmati Allah dengan memakai hijab?

Adakah kita bersedia untuk menemui Allah tanpa hijab?

Para Muslimin sekalian, yang mempunyai "hubungan halal" atau "hubungan bebas", adakah kita bersedia untuk menghadapi hari akhirat? Esok?! Apa yang anda pilih? keseronokan dunia sementara ini atau kesenangan di akhirat?!

Semoga Allah membimbing kita semua untuk keredhaan-Nya dan memberikan kepada semua orang yang membaca kisah ini mendapat pengakhiran yang baik, amin.

[Diceritakan oleh Syeikh ‘Abdul Mohsen al Ahmad’, ia berlaku di Abha (Ibu Negeri Asir di Arab Saudi)]






Monday, June 11, 2012

Kasihnya suami.....

Tersentuh hati membacanya:


Satu perkongsian yang menarik dr Prof Dr Muhaya:
"Saya berkesempatan utk bertemu dgn ibu kepada seorang ilmuwan agama (ustaz) yang tersohor pada 
masa kini. Melihatkan kpd kebolehan anaknya dalam menyampaikan dakwah, maka saya bertanya kepada 
ibunya, apakah rahsia beliau dalam mendidik si anak? Jawab si ibu, sewaktu si anak (ustaz) dilahirkan, 
beliau telah mengambil keputusan utk berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian beliau utk menyusukan anaknya selama genap 2 tahun. Selain itu, pada setiap malam, apabila mereka suami isteri dikejutkan si anak utk menyusu, suami beliau akan turut sama bangun. Suaminya akan menyediakan susu kepadanya utk minum sambil beliau menyusukan anaknya itu. Suaminya tak benarkan beliau menyusu sambil baring. Sebaliknya, suaminya akan menyediakan belakang badannya utk beliau bersandar menyusukan anak sambil duduk dan memastikan keselesaan semasa menyusu. Bayangkan bagaimana emosi si isteri apabila 
setiap malam dilayan sebegitu oleh si suami"

SUBHANALLAH.... indahnya alam rumah tangga jika bersandarkan amanah dan kasih sayang kerana Allah. Tak mustahil jika mereka dapat melahirkan generasi yang baik akhlaknya.

Persoalannya, siapakah si anak yang dimaksudkan??? Beliau adalah USTAZ DON DANIYAL DON BIYAJID;)






notahati: bayangkan andai semua suami-suami macam tu, alangkah bahagianya isteri.......
               

Friday, June 8, 2012

sejuk dimata, sejuk di hati....

sejuk dimata, sejuk dihati, saat melihat ramainya insan-insan berpakaian putih bersih
beriringan ke masjid beberapa minit sebelum azan   dilaungkan. Alangkah indahnya
dunia, andai setiap detik dan setiap masa, semua lelaki muslim tak kira kecil besar, tua 
muda tak kira tinggi mana pangkat atau banyak mana harta, semua berpusu-pusu ke 
masjid setiap kali azan bergema......


Akhirnya, berjaya juga saya pujuk dua anak lelaki yg sedang remaja utk ikut program ijtimak
yang sedang berlangsung di sini selama 3 hari (rabu, khamis, jumaat). Al maklum, umur baru
belasan tahun,kena pulak  cuti sekolah, macam2lah agenda yg dirancang. Pujuk punya pujuk,
Alhamdulillah, dia setuju ikut serta. Niat kerana Allah ya, bukan kerana ummi yang paksa. Dek
kerana ayahnya sibuk dgn tugas2 dalam ijtimak tersebut, maka siibulah yang kena ambil
tanggungjawab untuk hantar si anak. Saat menurunkan anak-anak di tepi jalan raya tidak jauh
dari markaz ijtimak,  hati terpesona dengan panorama indah yang ada di hadapan mata. Lelaki2
berpakaian putih bersih berjalan beriringan....ramainya ! SubhanaAllah...................

Teruja, ya sungguh teruja, bahagianya melihat umat akhir zaman yang sedia luangkan masa untuk
agama. Moga dengan rahmat dan kasih sayangNya, Allah ampunkan dosa kita dan moga dengan
asbab pengorbanan saudara-saudara kita hidayah terus tersebar ke serata benua.........


 ijtimak ni untuk lelaki je ye..............

Friday, June 1, 2012

Boleh makan tapi.....

Adalah suatu hari (dah lama jugalah), saya ke pasaraya besar untuk beli barang-barang
keperluan rumah. Di luar pintu masuk pasaraya tu, ada kiosk yang jual aiskrim dengan
harga yang agak murah, jadi biasalah , anak-anak akan merengek minta belikan aiskrim
tersebut. Ok, no problem, nanti masa nak balik kita singgah sat, jadi boleh makan kat
dalam kereta. Habis beli barang, seperti yang dijanji, kamipun belek-belek peti aiskrim
nak pilih yang berkenan di hati. "Alamak, takde tanda halal Jakimlah..." saya berbisik kepada
si anak yang sedang teruja. " a'ahlah, ni cop halal biasa je..." balas si anak seperti
mengerti . " Tak jadilah beli, kita cari aiskrim lain ye...." Pujuk siibu." Alaarr.................." anak
merajuk tapi tidak pula membantah.

Budak perempuan penjaga kiosk yang sedari tadi memerhati tiba-tiba mencelah dengan nada
suara kurang enak didengar, " kak,orang lain beli ok je, mereka tak kisah pun...........!" sambil
memandang kearah saya. Seketika saya terdiam, sebelum beredar, saya memandangnya sambil
bersuara perlahan. " itu orang lain dik..........". Sebetulnya saya ingin menambah lagi;" Dik, kalau
begitu, adakah jika semua orang terjun bangunan untuk bunuh diri, maka kita mesti ikut juga
kerana semua orang buat begitu....? " kata-kata itu cuma bergema dihati saya sahaja.

Bagaimanapun saya akui kebenaran kata-katanya, ada ramai orang tidak peduli apa yang
mereka makan, halal atau  tidak, itu tidak penting, asal murah, tapi percayalah, apa yang kita
makan, sangat memberi kesan kepada pembentukan hati, jiwa dan perasaan. Jika kesannya
tidak terlihat sekarang, lambat laun  akan terserlah juga, percayalah...........  

Kena pesan kat anak-anak kita, nak makan boleh makan,  tapi pastikan ianya halal dan tidak
memudaratkan kesihatan.


 

Wednesday, May 16, 2012

Selamat Hari Guru.......

Ada kawan hantar mesej pagi tadi;

"Jika hari ini seorang peragut meragut  beg tangan
 Jika hari ini seorang mat rempit bertaruh dijalanan
 Jika hari ini sesiapa sahaja menerima rasuah
 sejarahnya mungkin bermula
 kerana dia tidak mendengar nasihat gurunya
 ketika bersekolah dahulu......."

Allahuallam......

Selamat Hari Guru untuk semua guru-guru...........................




Thursday, May 10, 2012

Rumah kecil tiang seribu.....


Kata orang bijaksana;

"  rumah kecil tiang seribu
   rumah besar tiang sebatang
   masa kecil ditimang ibu
   sudah besar ditimang gelombang "

Sehebat manapun kita, tetap tidak akan dapat menandingi kehebatan seorang ibu
yang telah melahirkan dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang, tanpa
terma dan syarat, tanpa sesal dan ralat.......juga sepandai manapun kita mencipta
resepi, tetap tidak akan dapat menandingi keenakan 'air tangan' ibu yang dimasak
dengan penuh kasih sayang yang luhur......dan setinggi manapun darjat kita, tetap
tidak akan dapat menandingi ketinggian darjat seorang ibu, hingga doanya tiada hijab
di sisi Yang Maha Berkuasa..... Oleh itu dalam sibuknya kita mengurus dunia dan
mengejar cita-cita, panjatkanlah doa buat ibu yang semakin dimamah usia, barangkali
raut wajahnya tidak lagi segar seperti dulu namun kasihnya tetap mekar dan subur,
takkan layu ditelan waktu...........

 ~ hanya setelah bergelar ibu, barulah seorang anak mengerti mengapa kemuliaan seorang
    ibu 3 kali mengatasi kemuliaan seorang ayah ~

Saturday, April 21, 2012

Benarkah dunia tidak adil ?

Benarkah dunia tidak adil?

Kata seorang kawan, " Dunia ini memang tidak adil....!"

Berkata pula yang lain, "Eh, tak baik cakap cam gitu, bukankah Allah itu adil?"

" Aku tak kata Allah tak adil, aku kata dunia yang tidak adil...!" jawab yang pertama
mempertahankan hujah.

Sampuk pula yang lain, " Keadilan cuma ada di akhirat kerana jika di dunia semuanya
adil maka takkan ada hari pembalasan...."


***********

Dunia  memang penuh dengan ketidakadilan. Justeru disebabkan dunia yang tidak adil maka
kitalah sendiri yang harus mencipta keadilan buat diri sendiri. Ada yang bekerja keras dengan
hasil yang sedikit dan ada yang bekerja santai dengan hasil yang banyak. Selalu akan ada orang
yang hidupnya jauh lebih tenang atau senang dari orang lain. Ada yang tidak perlu
bersusah payah  tetapi mereka bisa mendapat apa yang dihajati dengan mudah. Itu realiti. Dan
kerana sejak dari awalnya sukar mencari keadilan maka akan selalu terjadi selisih pendapat tentang
apa yang dikatakan adil. Akhirnya adil yang sempurna memang tidak ada. Apa yang dipandang adil
oleh seseorang, dipandang zalim oleh orang lain. Apa yang dinilai adil oleh majikan mungkin  ditafsir
tidak adil oleh pekerja . Si ibu mungkin menganggap tindakannya adil tapi si anak merasa
tindakan si ibu berat sebelah. Adil bagi pihak atasan, dipandang zalim oleh orang bawahan.
Begitu sukarnya kita mencapai keadilan.

Bagaimanapun kita boleh berusaha untuk berlaku adil pada diri sendiri. Misalnya, ketika
bekerja, maka bekerjalah dengan sesungguh hati, tetapi apabila tiba waktu pulang, segeralah
pulang kerana keluarga sedang menunggu di rumah. Itu adil buat kita juga adil buat keluarga.
 Andai tugas di pejabat terlalu banyak, berehatlah seketika kerana itulah yang adil
untuk sistem tubuh kita. Andai pula sistem kerja di pejabat belum mencapai sistem yang
ideal maka kitalah yang harus cerdik memikirkan bagaimana untuk berlaku adil buat
diri kita sendiri. Andai tertekan dengan segala masalah dan persekitaran, kita perlu bijak
mencari penawarnya. Kitalah yang perlu bijak menggunakan segala  kecerdasan emosi,
kecerdasan spritual mahupun kecerdasan minda untuk menghadapi segala bentuk ketidak
adilan yang berada di sekeliling kita.

Tuhan Yang Maha Adil telah membekali kita dengan segala potensi keadilan untuk
mengharungi dunia yang tidak adil. Allah akan menilai kita dengan adil iaitu bagaimana
kita bertindakbalas terhadap ketidakadilan itu. Allah Maha Adil dan Dia akan mengadili
kita dengan seadil-adilnya. Justeru kerana itu berusahalah untuk berlaku adil dalam setiap
tindakan dan perbuatan kita.


Hakikatnya, dunia bukan saja penuh dengan ketidakadilan tetapi juga penuh dengan
muslihat dan tipudaya. Berhati-hatilah..........!

Tuesday, April 17, 2012

Bahagianya menjadi kanak-kanak.....

Dunia kanak-kanak penuh warna ceria, gelak dan tawa. Dunia mereka dunia yang cukup
membahagiakan......






mereka jauh lebih mulia dari kita kerana jiwa mereka yang suci,
hati yang bersih lantaran tiada dosa.............................

Mereka adalah pewaris generasi masa hadapan juga pewaris
kerja-kerja kenabian....................



credit to: Hairi Photography

Friday, April 6, 2012

Ikut Sunnah

Jom ajar anak kita potong kuku ikut sunnah nabi.......


tapi, sebelum tu kita amalkanlah dulu.....

Tuesday, March 27, 2012

Jangan membazir

~ Ilmu Pengetahuan. Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.

~ Amalan. Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.

~ Kekayaan. Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak diredhai Allah

~ Hati. Membazir jika kosong dari mengingati Allah

~ Tubuh badan. Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepadaNya

~ Cinta. Membazir jika dicurahkan kepada makhluk melebihi dari Cinta kepada Allah

~ Masa. Membazir jika tidak diurus dengan baik

~ Akal. Membazir jika tidak memikir sesuatu yang bermakna kepada agama

~ Lidah. Membazir jika digunakan untuk mengumpat


Kesimpulannya, jangan membazir kerana membazir amalan syaitan................

Sunday, March 18, 2012

Romantisnya......

Diriwayatkan dari Aisyah r.ha, katanya: " Pada suatu hari ketika aku sedang datang bulan,
lalu aku minum dari gelas Rasulullah s.aw. Apabila baginda melihat perbuatanku, maka
Rasulullah s.a.w pun meminum air yang ada di gelas itu betul-betul ditempat mulutku
meminum dari gelas tersebut. Bahkan ketika aku datang bulan dan dalam keadaan keringat pula,
aku pernah memberikan gelas pada Rasullullah s.a.w, kemudian Rasulullah s.a.w minum darinya
betul-betul dari tempat aku minum pada gelas tersebut."

                                                                            [ Riwayat Abdurrazak dan Sa'id bin Manshur ]

Wednesday, March 14, 2012

Kasihnya Anak...


Yakinlah, Allah akan mengasihimu wahai si anak sepertimana engkau mengasihi ibumu.......

Saturday, March 10, 2012

Kisah pemuda yang berbakti kepada ibunya

Nabi Sulaiman, selain dari menjadi seorang nabi juga seorang raja yang terkenal. Dengan
izin Allah , beliau berhasil menundukkan Ratu Balqis dengan jin Ifritnya. Nabi Sulaiman juga
terkenal sebagai manusia yang boleh berdialog dengan segala jenis binatang.

Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana antara langit dan bumi hingga tiba di satu
samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, beliau memerintahkan
angin agar tenang. Kemudian Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu
sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah dari permata putih yang tiada
lubang. Kubah itu diangkatnya ke darat lalu ditunjukkan kepada Sulaiman Alaihissalam.

Melihat kubah tanpa lubang yang penuh permata dari dasar laut itu, Nabi Sulaiman menjadi
hairan. " Kubah apakah ini?" fikirnya. Setelah memohon pertolongan Allah, Nabi Sulaiman
pun membuka tutup kubah dan alangkah terkejutnya beliau takala melihat seorang pemuda
sedang sujud dan bertasbih memuji Allah di dalamnya.

Beliau bertanya kepada pemuda itu: "Siapakah engkau ini?" Manusia atau jin ?" Tanya
Nabi Sulaiman kehairanan. "Aku adalah manusia, " jawab pemuda tersebut.

"Dari mana engkau perolehi karamah semacam ini?" selidik Nabi Sulaiman. Pemuda itupun
lalu bercerita kisahnya hingga beliau mendapat karamah dari Allah sehingga tinggal di dalam
kubah dan berada di dasar lautan.

Katanya, dia menjaga kedua ibubapanya sehingga mereka lanjut usia. Apabila ayahnya
meninggal, tinggallah ibunya yang sudah tua, lemah, lumpuh dan buta kedua matanya. Dialah
yang menjaga, merawat dan menggendongnya ke mana saja dia pergi. Si anak sentiasa berbakti
kepada ibunya, sementara ibunya selalu mendoakan anaknya. Antara doa yang selalu dilafazkan
ibunya ialah : " Ya Allah, berikanlah rezeki kepada anakku ini, berikan dia kebahagiaan dan
tempatkan dia di satu tempat yang bukan di bumi dan bukan pula di langit."

Katanya setelah ibunya meninggal dia berjalan-jalan di tepian pantai lalu terlihat kubah
yang terbuat daripada permata. Diapun mendekati, dan tak semena-mena pintu kubah itu
terbuka lalu dia masuk ke dalamnya.

Nabi Sulaiman bertanya ; " Kamu hidup di zaman mana? " Jawab si pemuda; " Saya hidup
di zaman Ibrahim A.S". Dalam perkiraan Nabi Sulaiman, pemuda tersebut sudah berusia
14000 tahun.

" Bagaimana engkau dapat hidup di dalam kubah di dasar laut itu?" Soal Nabi Sulaiman lagi.

Pemuda itu berkata;" Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Aku
tidak tahu dilangitkah atau di udara, tetapi Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika
aku tinggal di dalam kubah ini"

" Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Jawab pemuda
itu; " Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon didalam kubah, dan buahnya
kumakan. Jika aku merasa haus, maka keluarlah air yang sangat bersih. Air itu lebih
putih dari susu dan lebih manis dari madu. "

" Dari segi masa, bagaimana engkau tahu siang atau malam?" Nabi Sulaiman bertanya lagi.

" Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situlah aku tahu hari sudah siang.
 Kalau matahari sudah terbenam, kubah menjadi gelap dan aku ketahui hari sudah malam"

Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah
itu tertutup kembali dan diapun tinggal di dalamnya. Itulah ganjaran atau karamah bagi
seorang pemuda yang sentiasa berbakti kepada ibunya.

anak-anak, berbaktilah kepada ibu bapamu setulus hati, ingatlah bahawa redha Allah bergantung
kepada keredhaan mereka..........

Sunday, March 4, 2012

Contohi wanita hebat ini

Hazrat Ali r.h berkata kepada salah seorang muridnya, "Mahukah saya ceritakan kisah saya
dengan Fatimah r.anha iaitu puteri kesayangan Rasulullah s.a.w ?"

Murid itu menjawab, " sudah pasti."

Beliaupun berkata, " Fatimah r.anha biasa menggunakan tangannya untuk mengisar bijian
yang menyebabkan tangannya menjadi kasar. Beliau juga mengisi air ke dalam bekas yang
dibuat dari kulit dan membawa bekas itu ke rumah sehingga meninggalkan kesan di dadanya
akibat dari tali bekas tersebut. Beliau menguruskan sendiri rumahnya, menyapu dan sebagainya
sehingga menyebabkan pakaiannya selalu kotor."

Pada suatu ketika beberapa orang hamba perempuan telah dibawa kepada Nabi s.a.w.
sayapun menyuruh Fatimah r.anha, " Kamu pergilah kepada Rasulullah s.a.w dan minta
seorang pembantu agar kamu mendapat bantuan daripadanya."

Beliau kemudian pergi berjumpa Nabi s.a.w tetapi beliau dapati ramai orang berada di situ.
Oleh kerana beliau seorang yang pemalu, beliau tidak mahu meminta kepada bapanya
di hadapan orang ramai lalu beliaupun pulang ke rumah.

Keesokkannya, Rasulullah s.a.w sendiri datang dan bertanya, " Fatimah, untuk tujuan apakah
kamu datang ke sana?" Oleh kerana malu, beliau mendiamakan diri sahaja. Saya (Ali r.h) pun
berkata, "Ya Rasulullah, kesan dari batu pengisar, tangannya menjadi kasar. Kesan dari tali
bekas air, dadanya telah berparut. Sementara urusan rumahtangga yang lain menyebabkan
pakaiannya selalu kotor. Kelmarin saya memberitahunya mengenai hamba-hamba yang telah
sampai kepada tuan, supaya dia dapat meminta seorang hamba. Kerana itulah dia telah pergi
kepada tuan. "

Dalam sesetengah riwayat yang lain Hazrat Fatimah r.anha memberitahu, " Ya Rasulullah ,
saya dan Ali hanya mempunyai satu alas tidur, itupun daripada kulit domba. Pada malam
hari kami bentangkan alas itu untuk tidur dan pada siangnya kami tabur rumput dan bijian
diatasnya untuk memberi makan unta. "

Rasulullah s.a.w bersabda," wahai anakku, bersabarlah. Nabi Musa a.s dan isterinya
memiliki hanya satu alas tidur sahaja sehingga sepuluh tahun. Itupun hanya jubah Nabi Musa a.s.
Itulah yang dibentang dan mereka tidur diatasnya. Takutlah kepada Allah, hasilkanlah sifat taqwa
dan tunaikanlah tugas dan kewajipanmu terhadap Allah dan sempurnakanlah tugas-tugas
rumahtanggamu. Apabila kamu hendak tidur maka bacalah Subhanallah 33 kali,
Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakbar 34 kali. Amalan ini lebih baik dari
seorang hamba. "

 Fatimah r.anha pun berkata," Saya reda dengan Allah s.w.t dan Rasulnya."

notahati: Marilah kita contohi wanita mulia ini. Janganlah mengeluh, berbanggalah 
menjadi isteri dan ibu, dan bersabar atas segala kepayahan dan kepenatan dalam 
menguruskan rumahtangga, moga kita terpilih untuk menjadi sebaik-baik perhiasan dunia.

Wednesday, February 29, 2012

Salah siapa?

Sudah lebih 5 minit loceng berbunyi menandakan berakhirnya waktu rehat, dan P&P
sudah sepatutnya bermula , tetapi guru perempuan itu masih berdiri di hadapan kelas, menarik
nafas panjang sambil memandang ke arah 29 orang pelajar lelaki di depannya yang masih
tidak mahu duduk diam. 15 tahun ! tapi kelakuan masih seperti pelajar sekolah rendah
umur 12 tahun. Usai salam diberi, beberapa pelajar menurut arahan mengeluarkan buku,
sebahagian lagi bagai berada di dunia sendiri. Baru beberapa minit, memulakan P&P, seorang
pelajar lelaki kelihatan menghampiri kelas dengan langkah perlahan, muka masam mencuka
sambil tangan memegang sebatang penyapu, melangkah masuk tanpa memberi salam.

" Ke mana awak? Lewat 15 minit..."

Diam. Tiada Jawapan. Mata merenung tajam. Batang penyapu masih di tangan.

" Letakkan penyapu, saya mahu awak buka buku....."

Dia bangun dan tanpa rasa bersalah membaling penyapu ke penjuru dinding. Mujur tidak mengenai
sesiapa, hanya dinding yang menjadi mangsa.  Kalau tidak, pasti esoknya tertera berita di muka depan
akhbar arus perdana. Semua terkejut termasuk sang guru tapi dia tidak mahu memanaskan
suasana di kelas yg sudah sedia panas.  Pesan pengetuanya; guru mesti
berjiwa pendidik, jangan berkasar apalagi mengherdik. Sabar! Api tidak boleh disiram dengan
minyak. Pasti marak. Dia cuba menjadi air.

" Kenapa dengan awak ? Baik.....kalau tak mahu belajar duduk diam, jangan ganggu orang lain..."

Entah wajar atau tidak kata-kata itu, tapi sekurang-kurangnya pelajar itu tidak lagi 'mengamuk'.
Dia tidak boleh bazirkan masa. P&P mesti berjalan juga, kerana bagi guru biasa sepertinya, P&P
adalah jiwa raga, 'core business' dan pelajar adalah aset yang perlu dijaga. 29 yang lain perlukan
ilmu, hanya satu yang buat hal, dia tak boleh berlebih-lebihan pada yang seorang sedang 29
yang lain terabai. Tak mengapa, nanti boleh rujuk kaunselor untuk bincang masalah pelajar ini.
P&P berlangsung seperti biasa, tapi pelajar yang mengamuk itu tidak buat apa-apa, tidak
menulis, tidak membaca, dia memandang dengan wajah kosong, seperti jiwanya sedang
bergelodak sarat dengan amarah dan dendam.

40 minit berakhir, tamat P&P. Semua bangun mengucap salam tapi pelajar yang satu itu tidak
membuka mulut, apalagi memohon maaf atas perbuatannya tadi. Takpe, cikgu maafkan kamu !
kata sang guru di dalam hati. Sebaik melangkah keluar, ketua kelas yang berbadan besar dan
berkulit cerah sedikit berteriak; "cikgu, jangan serik masuk kelas kami ye...." guru tersenyum
sambil menjawab; " mana ada serik, seronok apa masuk kelas awak ....".

Pelajar itu, yang mengamuk tadi? Dia memberontak sebenarnya, ibu bapanya bercerai,
masing-masing bawa haluan dengan pasangan baru, tinggallah dia, terkapai-kapai, hilang
kasih sayang, hilang perhatian, dijaga si abang yang masih bujang tapi kasih sayang abang
tetap tidak sama dengan didikan dan sentuhan ibu dan ayah. Dia masih remaja, dia perlukan
perhatian, nasihat dan bimbingan. Dia dahagakan kasih sayang tapi semua itu terlalu mahal
untuk dinikmati, sukar untuk diperolehi. Salah siapakah bila jiwanya 'sakit' lalu kesakitan itu
dirawat dengan  cara melanggar peraturan sekolah, biadap dengan guru dan bergaduh
dengan rakan ? kata seorang pelawak, lu fikirlah sendiri.....................

p/s : entry sempena Pelancaran Program Sekolah Penyayang di sekolah tempat saya mengajar
        esok

Percayakah anda, sebahagian besar pelajar yang mencetuskan masalah di sekolah datang dari 
keluarga yang bermasalah ?

Saturday, February 18, 2012

Doa Pemuda Soleh

Di sebuah gerai menjual roti, seorang pemuda soleh meneliti beberapa bongkah roti yang
berbaris kemas di atas meja.

"Berapa harga roti itu?" Tanyanya sambil menuding ke arah sebongkah roti yang nampak
segar seperti lepas dimasak.

"Tak mahal, 1 dirham saja, " jawab penjaja gerai dengan wajah yang manis.

Pemuda soleh itu menyeluk sakunya untuk mengeluarkan wang. Dahinya tiba-tiba berkerut,
jarinya masih tercari-cari. Ke mana perginya wang aku, desis hati kecilnya.

"Minta maaf, saya sudah kehilangan kesemua wang saya. Baru sebentar tadi, ia masih ada,"
jelas pemuda soleh itu kepada penjaja.

Seorang lelaki yang berdiri berdekatan dengannya dan mengenali peribadi pemuda soleh
itu terus berkata; " Ya Allah, kudungkanlah tangan orang yang mencuri wang pemuda ini. "

Mendengar itu, si pemuda soleh terus menyambung, " Ya Allah, jika wang itu diambil
kerana desakan hidup untuk memenuhi keperluannya, berkatilah ia. Tetapi jika ia diambil
kerana tidak takut kepada dosa, moga-moga inilah dosanya yang terakhir."


 Sungguh bukan mudah untuk berlapang dada atas sesuatu yang terjadi, tapi bila Allah
mengkehendaki ianya terjadi, ia tetap akan terjadi, dan setiap yang terjadi pasti ada hikmah
tersembunyi......



Friday, February 3, 2012

Cinta Rasul: Kisah-kisah tauladan....

Kisah 1

Hazrat Bilal r.a ialah seorang sahabat yang masyur yang sentiasa menjadi juru azan di Masjid
Nabawi. Pada mulanya, beliau seorang hamba kepada seorang kafir dan kemudiannya telah
memeluk islam. Beliau telah di seksa dengan berbagai cara oleh tuannya Umayah bin Khalaf.
Akhirnya beliau bebas selepas dibeli dan dimerdekakan oleh Saidina Abu Bakar r.a.
Semenjak itu, beliau menjadi juru azan di Masjid Nabawi. Selepas kewafatan Nabi s.a.w,
sukar bagi Bilal r.a untuk terus tinggal di Madinah dengan melihat tempat baginda s.a.w yang
telah kosong. Oleh itu beliau telah berniat untuk menghabiskan saki baki hidupnya dengan jihad.
Beliaupun bertolak untuk menyertai jihad dan tidak pulang ke Madinah untuk tempoh yang lama.
Pada suatu hari beliau telah bermimpi bertemu Nabi s.a.w. Baginda telah bersabda, "Bilal !
Apakah yang menyebabkan engkau tidak pernah datang kepadaku?"

Setelah terjaga daripada tidur beliau terus pergi ke Madinah. Hazrat Hasan dan Husin r.a
iaitu cucu Nabi telah memohon agar beliau melaungkan azan. Permintaan itu tidak dapat ditolak.
Beliaupun  mula melaungkan azan seperti di zaman Nabi s.a.w. Sebaik sahaja suara beliau sampai
ke pendengaran penduduk Madinah maka berhamburanlah air mata mereka sehingga mereka
keluar dari rumah-rumah mereka dalam keadaan menangis kerana terkenang saat-saat ketika
baginda Nabi s.a.w masih hidup.

Kisah 2

Seorang wanita telah pergi berjumpa Saidatina Aisyah dan berkata kepadanya, " Bawalah saya
menziarahi makam Rasulullah s.a.w." Saidatina Aisyah pun membuka bilik itu dan wanita itupun
pergi menziarahi makam tersebut sambil menangis. Beliau menangis dan terus menangis sehingga
meninggal dunia.

Kisah 3

Seseorang telah bertanya kepada Hazrat Ali r.a, " Setakat mana kasih sayang tuan terhadap
Rasulullah s.a.w?" Beliau menjawab, " Kami mengasihi Baginda s.a.w lebih daripada harta-harta
kami, anak-anak kami, ibu-ibu kami dan lebih daripada air sejuk ketika tersangat dahaga."

~ dipetik dari kisah para sahabat


Cinta, rindu dan kasih sayang para sahabat terhadap Baginda s.a.w begitu mendalam, moga kita
yang hidup di akhir zaman ini dapat mencontohinya.............

Thursday, January 26, 2012

Jaga solatmu, Allah akan menjagamu.....(bahagian 2)

sambungan entry yang lalu

Oleh kerana kak A tak berani nak minta izin bosnya untuk tumpang solat di biliknya, akhirnya
dia buat keputusan solat secara diam-diam waktu bosnya tiada di pejabat. Biasanya setiap pukul 1
tengahari bosnya keluar untuk makan tengahari dan  hanya akan masuk semula ke pejabat sejam
kemudian. Jadi, ada peluanglah nampaknya untuk solat. Caranya ? Kak A masuk ke bilik bos, tanpa membuka lampu mahupun kipas, dia solat. Bukan lamapun, tak sampaipun 20 minit. Tak tahulah
sama ada pekerja lain  perasan ataupun tidak, atau mungkin mereka tak peduli kerana sebagai
setiausaha keluar masuk bilik bos adalah tugas kak A. Lagipun sebahagian besar staf di pejabat tu
lelaki, jadi mungkin mereka tak ambik pot sangat.

Begitulah yang berlaku selama beberapa bulan, masuk saja waktu zohor, kak A akan segera solat
secara sembunyi-sembunyi supaya tak bertembung dengan bos besarnya. Waktu asar pula akan
dikerjakan di rumah atau singgah di masjid ketika dalam perjalanan pulang.

 Segalanya berjalan lancar sehinggalah suatu  hari yang tidak disangka........Apa ??
...................bosnya masuk lebih awal ke pejabat !........ tanpa menduga apa-apa, dia membuka
pintu, menekan suis lampu dan aaaaaaaaaaaaaaa.........!...terperanjat besar dia kerana melihat
ada perempuan bertelekung putih sedang solat dibiliknya......! Agak-agak apa bos tu buat ?
Dia mengherdik ? tidak. Dia tutup lampu dan keluar semula dari biliknya, tak tahu ke mana .
Sementara kak A teruskan solat hingga selesai. Lebih kurang 30 minit lepas tu, bosnya balik
semula ke pejabat, masuk ke bilik dan tak lama kemudian  terdengarlah suaranya memanggil kak A
masuk. Habislah aku kali ini !, kata kak A dalam hati. Confirm kena pecat ! Tapi kak A sudah
bersedia menerima apa jua risiko hatta dipecat sekalipun.

Dia masuk dan dari arah pintu dapat dilihat wajah bosnya yang masam mencuka. Ya Allah,
hanya Engkau yang dapat membantu, doa kak A dalam hati.  Bosnya tanya dengan nada marah;

" Sudah berapa lama u sembahyang dalam bilik ni?"

"Hampir satu tahun..."

" What ?!......Satu tahun ? You should tell me......"

" Tell what, Mr......?"

" Tell me that you need space for prayer...."

"  I afraid you might get angry with me....lagipun  saya faham memang tak ada ruang untuk
    dijadikan bilik solat."

" Before this...? Mana U sembahyang....?"

" Saya pergi masjid tapi kena ambik masa dan agak jauh juga....."

Bos besar termenung sekejap macam fikirkan sesuatu, tarik nafas dan kemudian berkata dengan nada suaranya yang sudah sedikit perlahan.

" Ok....... from today, I give  u permission to pray in this room with one condition...."

"One condition ?"

" Do your pray as early as possible , so I do not see you...."

" One more.....U boleh buka lampu dan kipas...."

SubhanaAllah. Lain yang dijangka, lain pula jadinya. Sangka Kak A tentulah teruk dia kena herdik atau
kena pecat dengan bosnya hari tu, tapi sebaliknya,  dapat kebenaran terus dari bosnya untuk solat tanpa sebarang masalah. Siap bagi guna lampu dengan kipas untuk keselesaan. Nampak tak ? Kita merancang, Allah juga merancang dan sesungguhnya perancangan Allah itulah jua yang lebih baik. Dia jugalah yang memegang hati dan jiwa manusia dalam gengamanNya. Asal saja kita yakin pada janjiNya, Dia pasti menolong kita. Tapi  kita andai solatpun kita tak mampu nak jaga dengan baik, bagaimana kita nak harap bantuan Allah datang pada kita ?

Kak A yang saya kenal itu bukan saja sedaya upaya jaga solatnya  dengan sempurna, tapi  juga
seorang pekerja yang komited dan tidak berkira bila diminta melakukan sesuatu kerja. Mungkinkah
kerana itu juga bos besarnya juga tidak berkira dengannya ? Waallahullam........yang pasti tak semua
orang berani buat macam yang kak A buat. Dan yang lebih-lebih pasti,  Allah tak mungkir janji, kita jaga
solat kita , Allah akan jaga kita.

Friday, January 20, 2012

Jaga solatmu, Allah akan menjaga kamu.....

Pertengahan  90an, saya jalani latihan praktikal di sebuah syarikat pengeluar barangan elektrik
yang terkenal dari Jepun. Praktikal selama 6 bulan. Di situ saya kenal seorang wanita yang banyak
bantu saya sepanjang saya menjalani amali (sekalipun saya bukan dibawah seliaannya). Saya panggil
dia Kak A. Dia  seorang setiausaha dan sangat komited dengan kerjanya. Di syarikat tersebut hanya
10% sahaja pekerja Melayu manakala  pekerja perempuan tak sampai pun  10 orang dan Kak A
adalah satu2nya pekerja wanita  muslim. Dia sangat baik, tutup aurat sempurna dan tak tinggal
solat. Ada  kisah menarik tentang dia yang mahu saya kongsikan bersama anda semua.

Sebenarnya saya kagum dengan wanita ini, di sebalik jubah dan tudung labuhnya, dia mampu berkerja
dengan baik di syarikat  milik bukan bumiputera yang  mempunyai 90% tenaga kerja lelaki,  dan tugasnya sebagai  setiausaha memerlukan dia berurusan secara terus dengan bos. Apa yang menarik ?
Dia dihormati  rakan sekerjanya termasuk bos besar yang berurusan dengannya setiap hari.

Suatu hari dia bercerita kepada saya. Katanya; Dia asalnya seorang yang tak ambil peduli tentang
solat mahupun cara berpakaian. Keluarganya tidak begitu ambil berat tentang agama. Waktu remaja ,
seperti orang lain, dia suka berhibur. Kerapkali juga dia ikut kawan-kawan ke kelab-kelab malam
dengan alasan ia sekadar satu cara melepaskan tekanan. Di situlah dia bertemu jodoh dengan
suaminya yang bekerja sebagai pemuzik di kelab tersebut. Selepas berkahwin, mereka  jalani hidup
seperti biasa. Dia terus berkerja sebagai setiausaha, suaminya bekerja di kelab dan mereka sering juga menghabiskan hujung minggu dengan berhibur. Hinggalah suatu hari, Allah yang pengasih memberi
mereka hidayah.

Suatu petang yang damai, rumah mereka dikunjungi sekumpulan lelaki tidak dikenali, mengetuk
pintu dan mengajak ke masjid. Si suami sekalipun jahil tidak pula sombong malah melayani
lelaki-lelaki itu dengan baik. Sebenarnya , ia bukanlah kali pertama mereka bertemu dengan
kumpulan tersebut yang melakukan ziarah dari rumah ke rumah tetapi pada hari itu selepas
berbual dengan kumpulan tersebut si isteri (Kak A) berkata kepada suaminya; " why don't you
go to the mosque and see what they are doing....."

Si suami yang tak pernah ke masjid,  malam itu terbuka hati ke rumah Allah; di situlah bermulanya
 'turning point' dlm hidup mereka.....

Selepas dapat hidayah, mereka 'berhijrah'. Perlahan-lahan mereka tinggalkan cara hidup yang
mereka amalkan. Suaminya beralih kerja tapi kak A masih ditempat sama cuma dia buat
keputusan ubah penampilan ikut syariat. Dan sejak itu, dia berazam menjaga solat sekalipun
ketika di pejabat. Oleh kerana tiada kemudahan surau di tempat kerja, kak A akan ke masjid
berdekatan ketika waktu rehat tengahari untuk solat zohor. Bagaimanapun, lama kelamaan
kerana faktor jarak dan masa, dia buat keputusan solat di pejabat saja. Masalahnya di mana?
Dia tidak selesa solat ditempat terbuka. Meja kerjanya terletak di bahagian hadapan dan menjadi
laluan utama untuk pekerja lalu lalang. Kak A  dapat idea. Bosnya ( lelaki non muslim yang tegas
dan berdisiplin), selalunya akan keluar makan tengahari dan pulang semula jam dua petang. Dia
tiada pilihan, ruang yang terbaik adalah di bilik bosnya di satu sudut berdekatan pintu. Masalahnya,
dia takut nak beritahu bos. Tapi, takkan nak tinggal solat kerana takutkan manusia......?

Apa jadi lepas tu ? Tungguuuu.................(to be continue)

Sunday, January 15, 2012

Bertemu pujaan hati

Hujung minggu yang indah. Malam tadi, siri kuliah perdana di masjid di kejiranan kami membuka
tirai 2012 dengan kehadiran Ustad Don yang femes itu. Wah, apa lagi, penuh masjid dengan kehadiran
jemaah yang melimpah ruah hingga ke luar. Kalau hari-hari macam ni kan bagus. Betul-betul meriah.
bagaikan suasana di bulan puasa. Kecik besar tua muda semua datang menghadiri taman-taman
syurga. Sungguh besar rahmat Allah, sejak beberapa hari lalu Kuantan dilanda hujan tidak berhenti
tapi malam tadi cuaca cukup cerah dan baik sekali. Apalagi, kami sekeluarga tidak melepaskan peluang. Anak-anak saya begitu bersemangat , tak sabar nak jumpa ustaz Don secara live, kata mereka.
Memang menarik penyampaiannya, dua jam  terasa sangat cepat berlalu dan usai kuliah ustaz
mengimamkan solat isyak dengan alunan Quran yang mendayu. Selesai solat, jenuh menunggu anak-anak yang belum keluar, rupanya mereka tunggu giliran nak bersalam dengan ustad.Yelah, rebut
peluang yang ada. Bukan senang nak jumpa dgn personaliti kesukaan ramai. Ustaz lagi .....Terpaksalah
saya tunggu hingga anak-anak selesai bersalam dan nampaknya mereka tak berganjak hinggalah ustaz
turut beredar dari masjid. Dalam kereta , rancak mereka bercerita tentang ustaz Don tapi sayangnya kami terlupa nak bawa kamera. Kata anak saya ; ruginya tak dapat bergambar, nak simpan buat
kenangan, bukan senang nak jumpa. Ye tak ye juga.....Takpe, takpe , kita balik dulu, ambik kamera dan patah balik jumpa Ustaz kerana lepas ceramah, ada jamuan untuk ustad. Kata suami; kita tunggu sampai ustad selesai makan.

Lepas makan, ustaz salam dengan semua yang ada di situ dan  sebelum naik kereta sempatlah kami
bertemu dan bergambar. Sportingnya ustaz, siap peluk lagi budak-budak tu. Gembira tak terkata
anak-anak saya, maklumlah sebelum ni tengok kat tv saja tapi malam ni Allah bagi izin jumpa dan
bersemuka. Anak-anak saya teruja, berulangkali memuji ustad yang ceria dan bersahaja, melayani kami
seperti sudah biasa berjumpa. Ya Allah....moga dipanjangkan usianya untuk terus berkongsi ilmu yang
ada. Akhirnya sebelum pulang , sempat juga saya minta pada ustaz; tolong doakan anak saya ustaz,
dia berminat nak jadi hafiz. Ustaz peluk dan gosok dada anak lelaki kedua saya sambil berdoa.

Kami sampai rumah hampir jam 12 malam. Gembira, teruja bersatu dalam senyum dan tawa. Penat ?
tidak...... cuma saya terlupa yang kami belum menikmati makan malam. Tak mengapalah, asalkan
tidak lupa nasihat dan ilmu yang ustaz berikan. Azam, azam untuk jadi lebih baik.......

Tuesday, January 10, 2012

Berapa A nak skor?

Suatu hari di sebuah kelas :

Guru               : Berapa A awak target untuk dapat dalam SPM tahun ni? 10A, 9A, 8A ?

Murid-murid   : 10A....cikguuu..... ! (serentak menjawab)

Guru              : Eh, 10 je, mana cukup tu, kurang-kurang 20A, baru ada klas.

Murid            : 20?  Kami ambik 10 subjek je cikgu, mana ada 20?

Guru              : Ye ke ? Bukan 20 ke ? Cuba kira betul2

Murid            : Betullah cikgu........BM, BI, Math, PI, Sejarah, PA, Add Math, Fizik, Kimia , Bio

Guru             :  Okay, baguslah kalau awak target semua A untuk subjek tu, memang itulah yang
                        terbaik tapi sebenarnya ada lagi yang awak tak ambil kira. Kalau setakat 10A
                        belum boleh dikira berjaya lagi tau. Ada banyak  lagi A yang awak kena  dapatkan
                        selain dari 10 tu saja.
                     
Murid           :   Ada lagi ? Apa dia cikgu? Eh, Tak fahamlah.......

Guru             :  Baik, dengar sini. Kalau setakat dapat gred A dari  segi akademik tapi dapat E atau G
                        untuk pekara yang akan  saya sebut nanti, kiranya belum boleh dinobatkan sebagai
                        pelajar cemerlang ye. Awak kena dapatkan juga A untuk Agama, Akidah, Al Quran,
                       Akhlak, Amanah, Aurat, Amal, Akur (Taat). Faham ?       
                   
Murid           :  Ooo.....Gitu ke ? Fahamlah sikit....

Guru             : Sikit je? Mana boleh sikit-sikit, kena faham banyak-banyak. Kejayaan  dalam akademik
                      kena seiring dengan perkara2 yang saya sebut . Kalau setakat cemerlang akademik tapi
                      perkara lain hancur pun takde ertinya juga. Itu yang saya maksudkan dengan 20A....!

Murid           : Tapi cikgu baru sebut 8, campur 10 subjek yg kami ambik tu baru 18, apa dua lagi ?

Guru             : Haa....Dua lagi tu saya tinggalkan untuk awak fikirkan jawapannya. Balik rumah  fikir, esok
                      saya tanya..                   

Murid          :  Alar cikgu ni, bagitahu jelah, ni nak kena fikir-fikir pulak....

Guru           :  Ooo....Chating berjam-jam kat FB boleh pulak, suruh fikir satu benda yang mudah
                      pun tak mau...! Buat malu orang Islam je....!

Murid          : Okay2 cikgu, nanti kami fikir.......cikgu jangan marah ye......

Guru            : Marah taklah, geram je.....

(Kadang-kadang, kerana terlalu mengejar A dalam akademik, kita terlupa yang anak-anak kita
  tertinggal sesuatu yang lebih berharga dalam hidup mereka................)

Agak-agak apa lagi dua A yang dimaksudkan oleh guru tersebut ?

Tuesday, January 3, 2012

Betulkan niat mu.....

Buat anak-anakku
Selamat kembali ke sekolah
selamat meneroka gedung ilmu
selamat bergelumang dengan buku-buku
betulkan niatmu.....
bahawa kau belajar kerana mencari keredhaan Allah
untuk   kenal lebih dekat denganNya,
agar nanti kau boleh berbakti untuk agama, bangsa dan negara
juga keluarga.....
dan bukan untuk kamu berbangga-bangga dengan ilmu dan kepandaianmu.
Ingatlah...
bahawa ilmu yang kamu pelajari itu samada ilmu dunia atau akhirat
hanyalah sekelumit dari ilmu Allah yang Maha luas.

Anak-anakku sayang,
sesungguhnya, menuntut ilmu itu wajib bagi laki-laki dan perempuan,
maka tunaikanlah dengan sepenuh hatimu
ikhlaskan dirimu dan belajarlah dengan tekun
kerana Allah sangat suka kepada hamba-hambanya
yang bersungguh2 apabila melakukan sesuatu perkara.
ingatlah anakku
sesiapa yang keluar dari rumah dengan niat menuntut ilmu
akan ditunjukkan jalan ke syurga........

(Ya Allah yang maha Pembuka.....bukalah segala pintu kefahaman buat anak-anakku
  dan buat sesiapa jua yang sedang menuntut ilmu......)

Buat diriku dan teman-teman guru......
Selamat kembali ke sekolah,
selamat berdepan karenah pelajar
selamat bergelumang dengan tugasan dan arahan yang ada waktu menguji sabar
Mari betulkan niat....  bahawa kita bekerja
kerana Allah
untuk mencari rezeki yang halal agar dapat digunakan untuk kebaikan
dan diinfakkan kembali ke jalan agama
kerana sesungguhnya setiap sesuatu yang kita perolehi  pasti akan ditanya olehNya
Jangan kita jadi insan yang berbangga-bangga dengan tugas dan jawatan
bukan untuk mengejar pangkat dan kedudukan
tapi  bekerja untuk mencari keredhaan.....

Bekerjalah dengan tekun, jujur dan amanah
kerana ia juga satu ibadah..........

Ya Allah, ya tuhan kami.....
bantu dan permudahkanlah segala urusan kami
dan janganlah kesibukan dunia ini
melalaikan kami dari mengingatiMu

Peganglah pesanan ini;
Dari Abu Hurairah r.a , berkata nabi s.a.w :
"SESIAPA YG MENCARI DUNIA UNTUK BERBANGGA2 KE ATAS ORG LAIN, UNTUK MENJADI KAYA ATAU 
UNTUK MENDAPAT NAMA, WALAUPUN DGN CARA YG HALAL- DIA AKAN BERTEMU ALLAH SWT DALAM 
KEADAAN ALLAH SWT AKAN SGT MURKA TRHADAPNYA. DAN SESIAPA YG MENCARI DUNIA DGN CARA YG 
HALAL BERTUJUAN SUPAYA DIA TIDAK PERLU MEMINTA2 KPD ORG LAIN, UTK MENCARI KPD AHLI KELUARGA, 
DAN SUPAYA DIA MAMPU MELAKUKAN KEBAJIKAN KPD JIRAN TETANGGA, MAKA PADA HARI KIAMAT, 
DIA AKAN BERTEMU ALLAH SWT DLM KEADAAN WAJAHNYA BERCAHAYA SPRTI BULAN PURNAMA."


HR BAIHAQI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...