Monday, December 16, 2013

Alkisah sebuah rumah

Petang itu terdengar rungutan tangga yang sudah tidak tahan lagi menanggung kepenatan. Dia terus berleter:

" Letihnya jadi tangga, setiap hari kena pijak. Masa naik kena pijak, turun pun kena pijak. Seronok jadi atap. Tak pernah kena pijak. "

Mendengar rungutan tangga, atap pun bersuara:

" Hoi tangga, aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas, tak kena hujan, tak
kena pijak ..."

Mendengar kata atap, tiang pula bersuara;

" Mana kamu tahu ..? Aku dok tahan pikul atap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Suka tak
  suka aku kena pikul juga. Hanya tuhan yang tahu betapa beratnya. Yang seronok jadi dinding, tak
 kena pijak, tak kena panas, tak kena pikul..."

Mendengarkan itu lalu dinding menjawab ;

" Akulah pelindung khazanah rumah ini. Aku lindungi aurat tuan rumah, hartanya bahkan aku terpaksa
  menjaganya sepanjang masa. Andai aku tak ada, semua tak berguna."

Wahai anakku, aku ceritakan ini untuk mengingatkan engkau betapa setiap manusia memiliki tugas dan
peranan masing-masing. Kamu buatlah tugas yang telah diamanahkan kepada kamu sebaik mungkin,
jangan sesekali berdengki atau iri hati pada orang lain kerana mata kamu hanya melihat luaran sahaja. Penglihatan kita hanya dapat menilai zahirnya sahaja sedangkan realitinya mungkin tidak seindah yang
kamu lihat diminda. Jadilah diri sendiri, jangan cuba menjadi orang lain..

~ petikan dari Tazkirah Dato' Tuan Ibrahim b Tuan Man~


Wednesday, December 11, 2013

Banjir punya cerita.....

Ini banjir punya cerita. Tapi ini bukan cerita banjir versi suratkhabar atau berita TV. Ini cerita dari orang yang benar-benar menjadi mangsa banjir di Kuantan baru-baru ni. Dan kisah sebenar begini memang tidak layak untuk disiarkan dalam TV atau suratkhabar di Malaysia. Kalau ada jurugambar media atau wartawan yang berani melapurkan berita banjir sejujur ini, nescaya hayat kerjayanya sebagai pemberita tidak panjang.

Banjir bukanlah suatu bencana alam, tetapi adalah suatu acara bersukaria. Pesta mengarung air! Begitu anggapan aku dulu. Lepas tu, timbul anggapan baru, iaitu, banjir ialah jalanraya kena tutup sebab ada air atas jalan, dan ada yang kena pindah rumah. Kemudian, datang lagi anggapan baru sejak banjir besar di Sungai Isap tahun 2001 dulu, iaitu banjir ialah kena pindah dan kena selamatkan kereta dan barang-barang rumah.

Tidak ada apa yang susahnya. Kalau kena pindah, pindah sajalah. Kerajaan kita memang terbaik dalam sejarah dunia. Bertuahnya kita hidup di bumi Malaysia yang mempunyai rakyat yang pemurah dan mempunyai pemimpin yang begitu prihatin dengan masalah rakyat.

Banjir tu air je pun, bukannya api! Apa nak susah.... bukannya hangus terbakar pun kena banjir, habis kuat pun basah je, lebih-lebih pun lemas, kereta tenggelam, barang rumah semua punah jahanam, itu je.

Setiap kali banjir melanda, kita tengok tv, kita baca suratkhabar, oh alangkah seronoknya kalau kena banjir...! Macam family day je.... Macam pergi berkelah je! Ada acara masak-masak, yang datang memerah keringat untuk tolong masak bukan koman-koman punya orang. Ada bini raja, ada bini menteri, bini orang besar dan ternama, orang berpangkat dan yang kaya-raya semua mencemar duli sanggup turun padang tolong masak. Lepas itu ditunjukkan pula gambar bagaimana mangsa-mangsa banjir begitu ceria dan bermuka galak sekali beratur untuk mengambil makanan.... bini-bini orang besar, ataupun orang-orang bini besar, semua berebut-rebut untuk tolong sendukkan nasi dan cedokkan lauk ke dalam pinggan atau tray rakyat kelas bawahan yang rumah mereka tengah tenggelam dalam air banjir.

Parti-parti politik, pertubuhan itu persatuan ini, NGO itu IPTA ini, semuanya berlumba-lumba untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan. Diumumkan di media massa pihak ini derma berapa juta pihak sana nak derma berapa juta, bahkan ketua wanita UMNO berkobar-kobar melaungkan betapa prihatinnya PM dan TPM kita...! Hari ini PM pergi Kuantan, esoknya TPM pergi ke Kemaman pulak!!! Wow! Semata-mata nak melawat msa banjir!! Huh, mana mau cari PM dan TPM negara lain dalam dunia ni yang sanggup pergi ke tempat pemindahan banjir macam tu?? Susah nak ungkapkan dengan perkataan betapa bertuahnya parti melayu kerana mempunyai seorang Ketua Pergerakan Wanita setaraf itu.

Kemudian ditunjukkan juga betapa trak, lori, van, semuanya berbaris-baris masuk ke pusat penempatan banjir untuk menghantar sumbangan itu dan bantuan ini.... Jadi, apa masalahnya dengan banjir? Apa susahnya bila rumah kena banjir? Bantuan dan sumbangan yang diterima oleh setiap mangsa banjir adalah tiga belas kali ganda nilainya dari nilai kerugian yang dialami akibat banjir. Itu kalau berdasarkan kepada pengumuman pihak itu dan ini yang akan memberi sumbangan sekian-sekian juta, maka bila dicampurkan keseluruhan sumbangan itu, jumlahnya 25 juta sedangkan mangsa banjir cuma 40,000 orang. Kalau dicongak purata satu rumah ada 4 orang, maknanya 40,000 orang itu mewakili 10,000 buah rumah. Jadi, bukankah bila diagihkan, mangsa banjir akan dapat sumbangan bernilai beberapa ratus ribu ringgit setiap rumah....? Tak bertuah ke tu...!!

Tapi semua itu cerita banjir dalam tv dan suratkhabar. Wartawan dan jurugambar tidak sampai ke tempat banjir selagi Sultan atau Bapak menteri tak datang. Mereka lebih berminat untuk melapurkan lawatan orang-orang besar sahaja, daripada melapurkan malapetaka banjir dan keadaan mangsa. Jurugambar hanya sibuk merakamkan gambar 'kemurahan-hati' menteri dari merakamkan gambar 'kegundahan-hati' rakyat yang ditimpa musibah banjir. Dalam suratkhabar sibuk menceritakan kebaikan-hati menteri, dalam tv hanya sibuk merakamkan gambar yang lawa-lawa dan yang cantik-cantik yang mengiringi Datuk Paduka Raja melawat pusat banjir.

Tahukah anda.... bahawa banjir bukan begitu sebenarnya. Bukan seperti mana yang digambarkan dalam media massa. Aku ceritakan beberapa kisah dari seribu satu cerita tentang banjir yang menimpa.... dan kisah-kisah begini tidak akan dapat dibaca dalam mana-mana suratkhabar dan tidak akan dapat ditonton di kaca tv, sekurang-kurangnya kita dapat gambaran sebenar tentang kejadian yang berlaku.

Kalau tadi aku menyebutkan bahawa selepas banjir besar tahun 2001, persepsi aku terhadap banjir mula berubah dari suatu pesta kesukaan kepada suatu bencana yang mengancam keselamatan barang-barang rumah dan kenderaan. Rupa-rupanya, banjir tahun ini mengajar aku bahawa ianya bukan sekadar itu, tetapi kami terpaksa berpindah untuk menyelamatkan nyawa! Nyawa sendiri dan nyawa ahli keluarga, jiran-jiran, kawan-kawan, kanak-kanak, orang tua.... Kami bergelut untuk menyelamatkan nyawa!

Bayangkan.... air memenuhi dan menenggelamkan hampir 95 peratus tanah daratan di Kampung Pandan, Bukit Rangin, Permatang Badak, Isap Damai, Isap Perdana, Isap Satu, Isap Dua, Isap Jaya, Taman Murni, Kampung Sungai Isap, Taman Sepakat, Kampung Kurnia, Rumah Murah Batu 3, Kampung Razali, Kg SC, Taman Guru, Taman Putra Putri, Inderapura, Kg Teluk Mahang, dll....... Ini yang airnya bersambung menjadi satu.... seolah-olah satu tasik yang luas.

Saban tahun, bila masuk saja bulan Oktober, maka berebut-rebutlah semua jabatan dan agensi kerajaan melaungkan kepada dunia bahawa mereka telah bersiap-sedia menghadapi banjir. Apa yang disiap-sediakan, aku pun tak tahu.

Ada satu sekolah, iaitu SK XYZ, dan sekolah ini tidak termasuk dalam senarai sebagai pusat perpindahan banjir. Bila banjir berlaku secara mengejut, para penduduk berdekatan segera ke sekolah tersebut. Orang kecik, pangkat rendah, manalah mereka tahu senarai tak senarainya.... mereka pindah untuk menyelamatkan nyawa...! mana ada masa nak pergi check dulu sekolah mana ada nama sekolah mana tak ada dalam senarai....!

Di tingkat bawah memang dipenuhi air, dan para mangsa banjir terpaksa tinggal di dalam bilik darjah di tingkat 1, tingkat 2, dan tingkat 3. Permohonan diajukan kepada pihak berkuasa yang terbabit, mohon bantuan makanan dan minuman. Tetapi jawapan yang diterima.... sekolah ini tidak ada dalam senarai pusat penempatan banjir yang telah ditetapkan, jadi tidak ada sebarang bantuan dapat disalurkan ke situ!!! Dua hari mangsa banjir di situ tak ada makanan! Satu orang petugas dari jabatan atau agensi berkaitan pun tidak ada di sekolah itu. Mereka bukan mintak bantal dan selimut, tak mintak kelambu dan ubat nyamuk.... tak mintak ubat gigi dan syampoo, tidak! Mereka cuma mahu makan. Anak-bini mereka lapar. Mak ayah mereka yang dah tua pun lapar. Tapi....? Ya lah, sekolah itu bukan termasuk senarai.... Agaknya takut berdosa besar kalau bagi makan kepada mangsa di pusat perpindahan haram macam tu.

Sebagai usaha terakhir, mangsa-mangsa banjir itu masing-masing pakat menderma sesama sendiri, ada yang bagi 50 ringgit, ada yang bagi 10, ada yang bagi 200, sehingga jumlah yang terkumpul sampai beribu-ribu ringgit! Untuk dibeli makanan...! nak beli roti, biskut, dan maggi je.... (beras dan lauk memang tak beli lah, sebab dapur pun tak ada).... tapi, semua jalan tersekat oleh air. Banyak kedai yang tutup. Tak ada nilai duit ribu-ribu dalam keadaan seperti itu.

Kita tengok pula keadaan di sk abc dan smk def.... penduduk mula berpindah ke sekolah sejak hari Senin dan Selasa.... kemuncak banjir ialah Rabu dan Khamis.... Sepanjang proses berpindah selama 2-3 hari pertama itu, tidak ada satu bantuan pun baik berupa lori trak atau bot dari sebarang jabatan kerajaan atau agensi kerajaan untuk mengambil, membawa, dan menghantar ke pusat perpindahan... tidak ada! Kecuali 2-3 buah bot milik persendirian. Penduduk samada lelaki, perempuan, tua, muda, kanak-kanak, semuanya kena pergi sendiri, tanpa sebarang makluman dari pihak berkuasa, tanpa sebarang bantuan, semua mangsa banjir terpaksa meredah air sendiri-sendiri, ada yang mengharung air separas pinggang, ada yang separas dada, bahkan ada yang separas leher.... (utk makluman, air banjir arusnya cukup deras... jangan ingat macam air kolam).

Ada seorang kakak, baru buat operation tujuh hari.... dia takut nak mengharung air (masa tu paras air atas jalan dah paras perut).... last-last, suami dia dukung dia berjalan dalam air masuk ke kawasan sekolah. Ada tv suratkhabar nak lapur kejadian tak glamour macam ni...? nak lapur macam mana, semua wartawan tengah berkumpul di pwtc masa tu.

Kita tengok tv, mangsa banjir makan sedap, ork? Beratur molek je masing-masing nak ambik nasi.... sorang-sorang pegang pinggan dengan muka senyum je.... ada orang tukang cedok..... masing-masing tadah je pinggan, lepas tadah nasi, tadah lauk pulak, lepas tu sayur pulak.... teringat zaman duduk asrama masa sekolah dulu.

Biar aku cerita kisah banjir yang tak masuk tv dan tak keluar dalam suratkhabar. Ini keadaan sebenar yang berlaku. Lebih dari separuh dari beribu-ribu mangsa banjir di dua pusat perpindahan yang terletak sebelah-menyebelah itu yang tak dapat makan walau sebutir nasi pun dalam masa dua hari kemuncak kejadian banjir itu. Beratur panjang-panjang, rupanya bila sampai giliran kita, pinggan polistrin pulak habis.... ada yang sempat dapat pinggan polistrin, beratur-beratur, nasi pulak habis.... ada yang dapat nasi, lauk pulak habis.

Pernah terfikirkah kita, ada yang ambik tin sardin yang telah kosong, (masih ada saki-baki kuah sardin yang melekat dalam tin)... untuk dijadikan gelas dan diisikan air kopi o.... bayangkan! Terpaksa minum kopi dalam tin sardin! Itu yang dapat minum tu.... lebih separuh lagi yang nasib lebih malang dari dia, tak merasa minum kopi o pun.... kebanyakannya kenyang dengan meneguk air liur sendiri je.

Ada yang tadah biskut dengan baju.... ada yang tadah nasi atas kotak...! Dah kalu dok, langsung tak boleh makan.... kotak tu pun jumpa atas lantai... entah berapa ratus tapak selipar dah yang pijak..... dikoyakkan agak-agak sebesar pinggan, basuh dengan air hujan, renjis-renjis lebih kurang, lepas tu pergi beratur nak tadah nasi!! katanya, anak dia lapar, dah dua hari tak makan nasi...!!!

Ada sorang tu, ada mak dia yang dah tua duduk di tingkat 3.... mak dia sakit tak larat nak turun naik tangga.... dia panik punya pasal sebab mak dia lapar, dia beratur nak ambik nasi (Tak tahu beratur kali berapa dah), tak ada bekas nak isi.... dia bantai sumbat nasi dalam botol air mineral kosong!! Bayangkan.... jangan tanya pasal lauk lah, dia memang tak fikir lauk dah, dia kira nak ambik nasi je... asal dapat nasi pun cukup lah..... cuma aku terpikir, macam mana dia nak makan...? macam mana dia nak keluarkan nasi dari dalam botol.... (dia bukan potong mulut botol supaya muka jadi luas macam cawan)... dia sumbat nasi ikut muncung botol gitu lah hidup-hidup.

Dan yang paling sedih sekali, ada yang ambik polistrin dalam tong sampah bekas orang makan dah, basuh dengan air hujan, dan gi ambik nasi....! Pernah terfikirkah anda ada berlakunya kejadian demikian di musim pesta main air dan pesta menderma bantuan dan sumbangan seperti itu...?

Ada yang baru lepas bersalin sebelas hari, terpaksa duduk di bawah tangga bangunan sekolah... sebab tak cukup tempat.... bilik darjah semua dah penuh.... bahkan ramai yang tidur atas koridor...!

Menu memang mudah.... pagi makan meehoon (panaskan kuali, kemudian dibukanya ayam yeos dalam tin dalam tujuh lapan tin, dimasukkan semuanya dalam kuali, last sekali dimasukkan meehon yang telah direndam sekejap, dan digaul... meehoon goreng)... meehon keras macam dawai. Siap untuk 500 orang.... yang berpindah ke situ dekat 3 ribu.

Tengahari, nasi putih lauk sardin... (buka tin, masukkan semua isinya dalam dalam kuali, nampak berbobok macam nak gelegak sikit, siap...! menu tengahari. Malam pun menu yang sama. Esok pun sama. Lusa pun sama. Dalam keadaan elektrik tak ada, air paip tak ada, line handphone pun tak ada.

Bayangkan....!

Jiran belakang rumah aku.... orang tua umur dah 80 lebih, sekelamin.... dua-dua dah 80 lebih. Isteri pun dah uzur tak berapa boleh berjalan. Masa di pusat pemindahan, kakak aku call dia, nak tanya khabar berita.... orang tua ni ada dua anak yang duduk sekitar Kuantan.... masa air baru cecah lantai rumah, dia call anak yg pertama, rupanya nak sulong dia dah ada di pusat pemindahan. Dan pusat itu pula terkepung tidak boleh kemana-mana. Bahkan kalau dapat keluar dari sekolah itupun, tak mungkin dia dapat sampai ke rumah orang tuanya.... air cukup dalam di tengah jalan. Masing-masing terkepung. Dia call anak kedua yang duduk di tempat lain.... Pun sama jugak... anak yang ni pun dah ada di pusat pindah banjir dan terkepung juga.

Bayangkan masa tu semua penduduk taman tu dah pindah.... tinggal dia sekelamin dalam rumah... dia nak keluar dengan kereta pun dah tak lepas.... kat jalan keluar dalam taman perumahan itu air dah separas pinggang.... air naik sedikit demi sedikit.... masa maghrib, air dalam rumah dah tenggelam buku lali.... masa ni boleh kata semua penduduk dah pindah, kecuali orang tua ni sekelamin je... lepas Isyak, air dah naik satu kaki..... (lorong ini paling lambat air naik.... di lorong lain, masa tu, air dalam rumah dah paras dada)..... Akhirnya, lepas pukul 12 malam dah, ada trak askar mari ambil dan hantar ke sekolah berdekatan.... (mungkin menantunya yang bersusah-payah lapurkan kpd pihak berkuasa).

Bila banjir dah surut, sebahagian besar mangsa dan balik ke rumah masing-masing, jalan ke pusat perpindahan dah clear, tak ada air walau setitik pun tengah jalan..... bila suratkhabar dan tv dan war-warkan, bila dapat tahu wartawan dan pemberita tv ramai ke tempat banjir, maka berbondong-bondonglah kenderaan berebut-rebut membawa bekalan macam-macam ke tempat pusat perpindahan banjir.... dengan lori pick-up nya, dengan van nya, trak, bas, semua ada.... ada yg bawa beras, roti, pakaian, selimut, toto, maggi, panadol... macam-macam, semua ada..... ada yang konvo dari KL sampai 20 buah kenderaan 4x4... pada kenderaan siap tulis banner besar-besar, dari pemuda parti melayu lah, dari jabatan itu lah, agensi inilah, atas nama misi bantuan banjir....!

Wartawan pun berkejar-kejar pergi ke tempat yang terlibat dengan kunjungan rombongan yang hantar bantuan itu.... ditemuramah ketua misi.... cakaplah begitu begini untuk nak bagitahu mereka turut simpati dengan mangsa banjir.

Banyak sangat kalau nak cerita.... tapi cukuplah setakat ini.


copy paste dari fb seorang rakan

Tuesday, September 24, 2013

Diam

Lamanya saya tidak menulis di sini. Terasa rindu menitipkan kata-kata dan meluah rasa tapi begitulah
kita ini sebagai manusia, ada kalanya punya banyak waktu terluang tapi seringkali juga dikejar sibuk
yang sentiasa mendatang. Kawan-kawan yang dulunya rajin singgah di sini untuk bersembang juga nampaknya sudah menghilang seorang demi seorang. Saya doakan semuanya sihat menjalani hidup
masing-masing.

Saya mahu singgah sebentar saja untuk bertanya khabar, nanti lain waktu kita jumpa semula untuk
bertukar cerita....


Tuesday, July 2, 2013

tetamu

Tetamu istimewa itu
ia bakal tiba cuma untuk seketika
sekadar sepurnama
tapi ia bawakan kita  hadiah paling berharga
tak setanding emas atau permata
tak sepadan pangkat mahupun harta yang ada
untuk kita rebut sebanyak yang terdaya
dari hari pertama ia tiba
hingga saat terakhir ia berangkat meninggalkan kita
lalu marilah kita aturkan segala persiapan
untuk menyambut tetamu kenamaan
yang lebih baik dari seribu bulan
bukalah pintu seluasnya
sambutlah salamnya
hulurkan tangan
raikan kedatangan
hamparkan alas kesyukuran
bentangkan permaidani keikhlasan
mari nikmati manisnya iman
mari selami indahnya ketakwaan

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan........



Monday, June 24, 2013

Jerebu

Semalam....
buka pintu, jerebu mengganggu
lepas makan tengahari
dapat mesej dari kawan esok cuti hari
eh betul ke....?
tak caya pergilah tanya JPNP
selasa cuti lagi  ke ...?
kena tengok indeks pencemaran dulu
ohh....kalaulah kita pun ada indeks pencemaran diri
dapatlah kita tengok jerebu dalam diri sendiri
baru kita tahu betapa teruknya pencemaran
yang ada dalam hati, jiwa dan fikiran
mungkin kitapun akan cepat-cepat cari jalan
atau berusaha untuk mohon pengampunan
andai ada yang tak perasan
semalam juga nisfu syaaban
kita dapat buku catatan yang baru
untuk direkod semua amal yang akan berlaku
jadi elok juga kita buat sesuatu
agar jerebu dalam diri kita tidak terus membelenggu.....


Ni semalam, ari ni nampak dah ok sikit....Alhamdulillah.....


Wednesday, May 1, 2013

             Puisi Pilihanraya

Perang sudah lama bermula
tapi gelanggang baru saja dibuka
pertarungan sebenar sehari cuma

Ini bukan gelanggang beradu kekuatan tenaga
Ini bukan dataran mempamer hebatnya senjata
Ini medan tempur memperjuang cita-cita
Ini padang jiwa mempertaruh janji dikota
Ini amanah buat  anak cucu di hari muka

Kita mungkin berbeza pilihan
jangan sampai putus persaudaraan
Kita mungkin berselisih pendapat
janganlah sampai hilang sahabat
Kita punya citarasa tersendiri
Sematkan di hati, tidak usah keji mengeji
tiba waktunya
pangkahlah di kertas undi

Mereka bertarung di gelanggang
kita yang memilih pemenang
Mereka bersuara dari kota ke desa
kita yang memilih juara
tapi jangan lupa;
Kita  merancang, Allah jua yang menentukanNya

Selamat Mengundi semua
Semoga kita cemerlang di dunia, cemerlang juga di akhirat sana.....




Monday, February 4, 2013

Kembali


Tiba-tiba,  rasa rindu untuk menulis, walau cuma sebaris kata........kata seseorang yang ku
temui semalam;
                 "....dunia ini singkat sahaja, seperti kita tidur, cuma seketika, dan tanpa kita
                       sedari, suatu hari nanti kita akan terjaga untuk berada di alam sana yang
                       kekal selama-lamanya....waktu itu baru kita tersedar bahawa bekal kita
                       terlalu sedikit, tidak cukup pun untuk menampung keperluan di sana......"

Allah....kata-kata itu biar cuma biasa-biasa tapi cukup menyentuh rasa. Ya, benarlah.....
ada waktunya kita terlalu lama berada di alam mimpi hingga kadang-kadang kita lupa
untuk bangun semula menyiapkan bekalan yang sepatutnya......Ya Allah, ampunilah hambamu
yang lemah ini.................


Sunday, January 20, 2013

Sunnah yang Indah....

Perkongsian dari seorang ustaz : 

"Teringat Satu masa satu jemaah sedang bergerak berdakwah di luar negara. Dalam tempat pejalan kaki ada water cooler untuk minum. Biasanya orang minum sambil berdiri. 

Tapi beberapa orang jemaah ini bergilir-gilir tadah air kemudian minum duduk. Jadi kelakar mereka tadah air kemudian duduk. Beberapa kali. 

Tiba -tiba orang melihat tingkah laku yang sangat kelakar ini. Mereka ajar mereka cara minum sambil berdiri. Jemaah orang islam menerangkan adab minum air duduk. Jangan berdiri.

Sunnah minum air ialah duduk. Tetapi minum air zam-zam sunnahnya berdiri.

Mendengar keterangan yang panjang dari orang islam ini. Orang yang bertanya telah masuk Islam.

Sunnah Nabi SAW ada nur. Bawalah sebanyak mungkin sunnah Nabi SAW kerana kecintaan kepada Allah dan Nabi SAW -ebit lew  "


*************

Tanda cintakan nabi adalah dengan menghidupkan sunnahnya, tapi kita hari ini mengaku cintakan nabi
tapi nak amalkan satu sunnah pun berat sangat.........moga-moga selepas ini Allah beri kekuatan kepada
kita semua utk sama-sama amalkan sunnnah dalam kehidupan seharian ......


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...