Wednesday, September 28, 2011

buat lelaki yang bergelar suami........

Sedikit pesan kepada lelaki samada yang sudah berkahwin, yang baru berkahwin,
yang belum berkahwin atau yang akan berkahwin :

Di saat anda melafazkan "aku terima nikahnya......", ingatlah :

~ isterimu itu perlu dikasihi, bukan dikasari
~ isterimu itu perlu disayangi, bukan disakiti
~ isterimu itu perlu dihargai, bukan dikhianati
~ isterimu itu perlu dihormati, bukan dipijak sesuka hati
~ isterimu itu perlu dilindungi, bukan dibelasah kalau tak puas hati
~ isterimu itu perlu dididik, bukan untuk ditengking herdik
~ isterimu itu perlu diingatkan tapi bukan dengan ugutan
~ isterimu itu AMANAH, bukan untuk disumpah seranah

berilah dia cinta yang ikhlas, dia akan berbakti kepadamu tanpa mohon dibalas
berilah dia kasih dan sayang, dia akan bersamamu di saat susah dan senang
berilah dia penghargaan, dia akan memberimu penghormatan
berilah dia bahagia , dia akan berusaha membuatkan kamu gembira
berilah dia hak yang sepatutnya, pasti rezekimu berganda-ganda
berilah dia DIDIKAN AGAMA, dia akan membawamu ke SYURGA

Wanita yang kamu nikahi itu..... lembut hatinya
janganlah keegoanmu menyebabkan isterimu berubah perilaku
andai kau menjaganya dengan penuh wibawa
dia akan bersamamu hingga ke hujung nyawa.....

berkahwin itu sunnah, mahligai kasih yang indah
ada waktu tergigit lidah......
mengadulah kepadaNya segala resah dan gundah
jangan jadikan isterimu tempat melepas segala masalah
diapun manusia biasa......rapuh dan lemah.......
Engkaulah penguatnya......tapi bila kau biarkan dia tanpa arah
tanpa bimbingan, tanpa didikan, yang kau tahu cuma memerintah
bagaimana dia dapat menjadi isteri yang setia?
sedang engkau terlalu ego untuk melihat ke dalam matanya
berkongsi segala duka dan lara dihatinya
akhirnya, jadilah dia isteri yang dendamnya sentiasa membara
kelak mahligaimu  bertukar menjadi neraka dunia

Duhai lelaki ibarat mentari
jadilah dikau kekasih sejati, suami mithali
tawan hatinya dengan wibawa seorang menteri
didik isterimu seikhlas hati penuh berseni
pimpin tangannya, tunjukkan jalan yg diredhai
percayalah........dia kan taat berbakti seperti bidadari..................

Monday, September 26, 2011

Nasihat buat wanita..........

Salah seorang sahabat nabi s.a.w iaitu Abdullah bin Jaafar ibnu Abi Talib telah
memberikan nasihat kepada anak perempuannya di hari pernikahan :

~  wahai anakku, berhati-hatilah dengan sifat cemburu kerana cemburu itu adalah
    kunci awal perceraian
~  Berhati-hatilah engkau, jangan banyak menegur (berleter) terhadap suamimu
    kerana banyak menegur itu menimbulkan kebencian
~ Usahakanlah sentiasa memakai celak kerana celak itu sebaik-baik perhiasan
   dan berwangi-wangianlah untuk suamimu


Ini pula nasihat  Umamah binti Harith kepada puterinya pada hari pernikahan :

Wahai puteriku, jagalah sebaik-baik 10 perkara, kelak kamu akan memiliki
perbendaharaan rumahtangga ;

~  Temani suamimu dengan sifat qanaah (terima seadanya). Hormati dia dengan
    menggembirakannya dan memberinya kepuasan.
~  Turuti perintah suamimu sebaik-baiknya.
~  Awasi sorotan matanya jangan sampai suamimu melihat sesuatu yang buruk padamu
~  Awasi hidungnya, jangan sampai suamimu mencium bau kecuali bau yang paling
    sedap dan nyaman
~ Jagalah baik-baik tempat tidur suamimu, jangan sampai tidurnya terganggu kerana
    ia boleh membawa kemarahan
~ Jagalah baik-baik waktu makannya, jangan sampai dia lapar kerana lapar itu
   menimbulkan kemarahan
~ Jagalah baik-baik harta suamimu dengan cermat dan aturkan perbelanjaan sebaik mungkin
~ Jagalah anaknya, keluarga dan pembantu rumahtangga suamimu dengan sebaik-baiknya
~ Janganlah melawan dan menderhaka perintah suamimu kerana itu akan menyedihkan hatinya
~ Jangan membuka rahsia suamimu kerana membuka rahsia, kamu tidak akan selamat
   darinya. Berhati-hatilah, tika dia bergembira janganlah kamu bersedih didepannya
   dan tika dia bersedih gembirakanlah dia


[p/s ; err...janganlh salah faham pulak, kalau sampai pukul 6.30 pagi suami tak bangun-bangun
         jugak, kejut-kejutlah dia suruh solat subuh.........]


.....tingginya darjat suami hingga kata nabi jika manusia dibenarkan bersujud, mescaya akan  
   diperintahkan isteri untuk sujud kepada suami.....

Wednesday, September 21, 2011

Pesanan buat sang isteri.....

Salman Al Farisi r.a telah meriwayatkan pada suatu hari Fatimah r.ha dlm keadaan
tergesa-gesa telah datang bertemu ayahandanya. Baginda melihat kedua mata Fatimah r.ha
berlinangan airmata dan raut wajahnya sedih. Lalu baginda bertanya; Mengapa wahai
anakku? Fatimah r.ha menjawab;

"Ya Rasulullah, semalam aku bergurau dgn Ali, tanpa aku sengaja terkeluarlah perkataan
yang menyinggung perasaannya. Setelah itu, aku dapati mukanya kemerahan kerana
menahan marah. Aku sungguh menyesal atas keterlanjuran kataku itu lalu segera memohon
maaf kepadanya; hai kekasihku, kesayanganku, relakanlah akan kesalahanku, seraya
aku mengelilinginya dan merayunya sebanyak 72 kali sehingga dia redha dan tertawa
padaku. Walaupun suamiku telah redha tetapi aku masih tetap merasa takut kepada
Allah swt"

Rasulullah saw bersabda kepada Fatimah rha; " Wahai anakku, Demi dzat yang telah
mengutusku sebagai nabi dgn agama yang Haq, sesungguhnya sekiranya engkau mati
sebelum Ali meredhaimu, aku tidak akan solah jenazahmu"

Kemudian, baginda selaku seorang ayah menasihati puterinya;

1. Wahai anakku, tidakkah engkau ketahui bahawa redha suami adalah redha Allah
     dan kemarahan suami adalah kemarahan Allah
2. Wahai anakku, seorang wanita yang beribadah betul2 seperti ibadah Mariam puteri
    Imran tetapi suaminya tidak redha kepadanya, Allah swt tidak akan menerima ibadahnya.
3. Wahai anakku, amal yg paling utama bagi para wanita ialah TAAT suami dan sesudah itu
    tidak ada lagi amal yang paling utama dari duduk bermesra-mesraan dgn suaminya
4. Wahai anakku, duduk satu jam bergaul mesra dgn suami lebih baik dari ibadah satu
    tahun dan dicatat tiap-tiap pakaian yg dikenakan pada waktu bergurau mesra seperti
    pahala seorang yg mati syahid.
4. Wahai anakku, sesungguhnya seorang wanita jika bergurau senda dan memakaikan
    pakaian utk suaminya serta anaknya, pasti baginya syurga. Allah swt membina sebuah
    kota di syurga utk setiap pakaian yg dipakaikannya.

********

Sabda Rasulullah s.a.w ;
" Sebaik-baik wanita ialah mereka yang apabila kamu melihatnya menyenangkan hatimu,
   apabila kamu menyuruhnya dia taat, apabila kamu tiada, dia menjaga maruahnya dan
   menjaga hartamu"                                          [Riwayat al-Tabarani]

Sunday, September 18, 2011

He knows better than us..........

3 hari lepas lepas, saya bertemu teman lama, sembang-sembang, cerita-cerita. Katanya;

"Aku bosan betul kalau org tanya,..... anak sorang saja? dah besar tu, tak nak tmbh lagi?"

"Jawab jelah, itu je rezeki Allah bagi, nak buat camne..." Kata saya memujuk.
Kadang2 yg bertanya tu, tak de modal nak buat bercakap. Jadi nak tak nak terpaksa
bertanya.

"Kdg2 rasa nak jawab; kalau dpt anak tu mcm tekan butang, dah 8 anak aku..."
Saya ketawa , diapun ketawa. Kelakar pun ada sebab kadang-kadang pertanyaan blh
mengundang kesedihan atau kemarahan dipihak satu lagi. Mungkin sebab itulah dalam
Islam kita diajar agar menjaga lidah kerana kalau tersalah ckp boleh mengundang padah.

Sebenarnya, bukan dia seorg saja yg mengalaminya, sayapun kdg2  ditanya;

" aik, 3 je, dah taknak ke? sikitlah 3 tu, tambahlah lagi....." . Ish, kalau dapat anak
semudah mengisi nasi tambah, memang dah lama saya tambah. Mentang2lah yang
bertanya tu anaknya ramai. Cuba kalau diapun takde anak ? Dulu2 terasa juga tapi
sekarang tidak lagi. Apa saja org nak tanya, itu hak dia. Kalau mampu jawab, kita
jawab, kalau tak , senyum sajalah.....positif, takyah ambik hati sangat......

******

Itu kisah anak. Belum lagi soal jodoh. Kata seorang teman, yg hanya beberapa tahun
lebih muda tapi masih sendiri;

"Saya dah tak fikir pasal tu lagi kak. Ada jodoh ada, kalau takde berserah saja....."

Saya mengusik " Janganlah berserah, kena usaha juga, bykkan doa.....mintalah mak
ayah carikan....."

Dia ketawa ; "itulah yg susah.....bila kita dah stabil, lelaki tak berapa berani nak masuk..."

"Takpe....nanti akak tlg doakan, nak tolong caripun tak de calon, tak de pengalaman
 jadi agen pencari jodoh ni........"


" tapi kadang2 sedih gak  bila orang buat statement macam-macam...."

" Jangan sedih, semua benda yg berlaku ada hikmahnya......Allah tak jadikan satu
  benda dgn sia-sia, kita aje yg tak tau rahsia dan kebaikannya...."

Cakap senanglahkan ! Saya pukul diri sendiri, habis saya nak ckp apa lagi? Takkan
saya nak ckp benda2 yg boleh lukakan hatinya. At least, bagilah dia sokongan moral.

Lumrah hidup. Tak semua benda yang kita inginkan akan kita dapati dan tak semua
juga yang kita dapat itu adalah apa yang kita inginkan. Cuma jangan putus asa kerana
sebagai manusia kita kena berusaha sehabis daya, sekuat tenaga dan selepas itu
serahkan kepada Yang Maha Berkuasa......

Kemudiannya saya beritahu dia dengan lembut;
" Cepat atau lambat, sikit atau banyak, itu semua urusan Allah, kita buat yang terbaik
   tapi belum berjaya, bermakna Allah belum izinkan...... redhalah dgn ketentuannya......"

Wah....! macam pakar motivasilah kak ........dia mengusik.......hahaha.....

Pakar motivasi tak bertauliah...........!  Tak kisahlah kan, janji kita bagi nasihat....
daripada buat org sedih, baik kita bg semangat........jika anda belum mendapat
apa yang anda inginkan, jangan putus asa , teruslah berusaha tapi sematkan dalam
hati......apapun hasilnya ; He knows better than us.........

Wednesday, September 14, 2011

Inilah kisah cinta paling hebat....

Anda suka baca kisah cinta? Romeo and Juliet misalnya atau kisah cinta Shah Jahan dan
isterinya Mumtaz. Shah Jahan begitu menyintai isterinya hingga beliau berjanji membina
mahligai indah sebagai bukti kasih mereka. Akhirnya terbinalah istana Taj Mahal( yg
diambil sempena nama isterinya), menjadi salah satu monumen paling ramai dikunjungi
manusia. Hari ini ada pasangan yg baru berkawin melawat Taj Mahal sebagai simbol
penyatuan cinta mereka. (bilalah saya nak dapat ke sana agaknya....)

Sebenarnya ada lagi kisah cinta paling hebat di dunia ini iaitu kisah cinta baginda
Nabi kita Nabi Muhammad s.a.w dan isterinya Khadijah r.h.a. Semua orang
tahu, Khadijah r.h.a meminang Rasulullah s.a.w kerana terpesona dengan
akhlaknya. Bayangkan bagaimana tingginya akhlak nabi hingga mampu
'mencairkan' hati seorang wanita ahli perniagaan, dari keturunan bangsawan lagi
hartawan sedang nabi hanyalah seorang anak muda yang miskin, yatim piatu dan
keseorangan. Di zaman ini, mana mungkin ahli perniagaan ternama lagi berusia
jatuh cinta pada pemuda biasa yang tak punya apa-apa. Kalaupun ada, orang
mungkin berkata, dia gila atau  terkena 'ubat guna-guna'.

Perbezaan usia antara mereka bukanlah halangan untuk mereka membina
rumahtangga bahagia. Rasulullah s.a.w tidak pernah menikahi mana-mana wanita
sepanjang bersama Khadijah. Cinta dan kasih sayang mereka melimpah ruah
hingga Khadijah menyerahkan seluruh jiwa, tenaga, harta dan keluarga demi
membantu kekasihnya menegakkan agama. Khadijah menjaga nabi dengan
penuh kasih sayang, belaian dan sentuhan yang mendamaikan. Dia
mententeramkan jiwa kekasihnya ketika nabi ketakutan selepas didatangi Jibril.
Dia menuturkan kata-kata lembut tapi penuh semangat lagi menghiburkan. Dialah
wanita yang selalu ada di sisi nabi di saat semua orang membencinya.Mulianya
wanita bernama Khadijah ini hingga nabi tak pernah melihat sesuatu yg
menyedihkan darinya. Cinta dan kasih antara dua insan mulia ini begitu utuh
hingga Khadijah tak pernah menyangkal atau mendustakan mahupun
merendahkan apa yg disampaikan nabi.

Kasih  Rasulullah s.a.w terhadap Khadijah begitu mendalam. Baginda sentiasa
menyebut kebaikan Khadijah hatta selepas kewafatannya hingga dicemburui
Aisyah. Kata Aisyah:

"Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah s.a.w sebagaimana
aku cemburu terhadap Khadijah walhal aku tidak pernah melihatnya.Tetapi
Rasulullah selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakala menyembelih
kambing  lalu diberikan kepada sahabat-sahabat Khadijah. Bahkan aku pernah
berkata ; bukan kah Khadijah itu seorang wanita tua? Bukankah Allah telah
memberimu penganti yang lebih baik, isteri yang lebih muda dan baik darinya?
Rasulullah s.a.w menjawab; Tidak! Demi Allah!  Dia  tidak memberikan seorang
pengganti yg lebih baik darinya. Khadijah telah beriman kepadaku disaat orang
lain mengingkariku. Dia membenarkan aku ketika orang lain mendustakanku.
Khadijah membantuku dengan menginfakkan seluruh hartanya ketika orang lain
menahan harta dariku dan Allah mengurniakan beberapa zuriatku dari rahimnya
yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain " [H.R. Ahmad]

Kewafatan Khadijah meninggalkan kesedihan yang begitu mendalam di jiwa
nabi hingga tahun tersebut dikenali dengan tahun kesedihan. Sekalipun selepas
kewafatannya, nabi selalu mengenang saat-saat indah bersama Khadijah r.h.a.
Mulianya Khadijah hingga Allah mengirim salam kepadanya dan menjanjikan
sebuah istana di syurga.

Di saat-saat akhir kewafatannya, ketika dipangkuan nabi, masih sempat beliau
meminta nabi menggunakan tulang belulangnya untuk agama Allah. Inilah bukti
kecintaan yg tidak berbelah bagi.


Takala anda menangis ketika membaca sebuah novel cinta atau menonton
telenovela , menangislah ketika menghayati perjalanan cinta seorang isteri
yang mengorbankan segala kesenangan, kemewahan dan kemegahan demi
membantu kekasihnya di jalan Allah. Isteri yang setia, patuh dan selalu
berbuat baik terhadap suaminya hingga pemergiannya ditangisi dan dirindui
selamanya. Kerana cinta mereka, legasi Muhammad berkembang ke seluruh
dunia.

Inilah kisah cinta paling hebat.................

buat isteri-isteri, bakal2 isteri dan semua wanita diluar sana, marilah
mencontohi keperibadian Khadijah r.h.a

Monday, September 12, 2011

Biar sakit di mata........

Pesan orang tua-tua, kalau cari calon isteri atau suami;

          biar sakit dimata,  jangan sakit dihati
       
Faham  maksudnya? Takkan tak faham kot.....Jom tengok info di bawah :

kajian JAKIM menunjukkan data berikut:

Punca utama suami mohon cerai:

32.97%  sebab sikap tak bertanggungjawab
12.03%  sebab akhlak dan sosial
5.43%    sebab campur tangan org ketiga. cth; bekas kekasih atau mertua
2.26%    sebab ekonomi

Punca utama isteri mohon cerai :

17.68%  sebab sikap tak bertanggungjawab
5.84%    sebab akhlak dan sosial
4.42%    sebab campur tangan org ketiga/bekas kekasih  atau mertua
1.38%    sebab ekonomi
1.34%    sebab masalah seksual

cuba tengok, takdepun dlm data tu sebut sebab perceraian kerana muka suami
tak hensem atau muka isteri tak cantik......


Sebab utama? ...... tak bertanggungjawab !

Kedua? ............... akhlak dan sosial !

Sebab duit? Masalah kewangan ? ....sikit sangat peratusnya, maksudnya kalau
perangai elok, tahu tanggungjawah masing2, pasangan akan bersedia
mengharungi segala susah senang bersama.........duit boleh dicari, tapi kasih
sayang ? duit banyak, hidup mewah tapi jika perangai tunggang langgang,
lama2 rumahtangga boleh lintang pukang.....

Ok, apa pula nabi pesan kat kita; wanita itu dikahwini kerana kecantikannya,
hartanya, keturunannya, agamanya, maka pilihlah agamanya, nescaya engkau
akan selamat...........bukan untuk lelaki saja, wanitapun sama.
Kalau ada mana2 pakwe approach, jangan terus terima, siasat2lah dulu
perangainya, latar belakang  agamanya, jangan tengok keretanya saja kerana
kereta itu barangkali kereta pinjam.

Yang lelakipun, jangan fokus rupa saja, terlampau cantik sangatpun susah
juga nak jaga, yang pentingnya AGAMA dan AKHLAK.....

Seteruk manapun seorang perempuan tapi kalau jatuh ke tangan lelaki baik
dan bertanggungjawab, ada peluang besar untuk dia berubah kearah kebaikan
tapi.........sebaik-baik manapun perempuan , kalau jatuh ke tangan lelaki jahat
dan tidak bertanggungjawab, ada kemungkinan untuk dia rosak dan hancur
(err.......ni teori saya saja, boleh percaya dan boleh juga diabaikan saja, tapi
 berdasarkan pemerhatian, dah byk jumpa kes camni....)

Ramai pasangan muda menjadikan perkahwinan sebagai kemuncak percintaan
mereka dan berakhir disitu saja tapi hakikatnya perkahwinan bukanlah penamat
percintaan tapi permulaan sebuah percintaan....tapikan, dalam rumahtangga,
cinta bukan segala-gala......nanti, bila awak dah kawin, baru awak faham apa
yang saya kata.....tak caya?  try tanya orang lama-lama..............

hiasan sahaja: tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang sudah
tidak bernyawa........

Saturday, September 10, 2011

Budak baik....

Saya sebenarnya sukar mahu menjemput sesiapa jua dtg ke rumah  kecuali
saudara mara, teman-teman rapat dan jiran tetangga. Tapi entah mengapa,
dengan yang seorang ini, saya mudah saja nak ajak dia dtg ke rumah ketika
pertama kali saya tahu dia ada di daerah tempat tinggal kami walaupun
hakikatnya saya belum pernah melihatnya. Bukan senang sebenarnya untuk
saya pujuk en suami  beri persetujuan. Katanya ;

" Percaya sangatlah manusia dlm internet tu, entah sapa-sapa....."

Terdiam juga saya, tapi instinct saya kuat mengatakan dia bukan jenis manusia
seperti yang disebut en suami itu. Sebab ? ooo....sebab saya tengok  blognya
tulis benda2 yg baik walaupun kadangkala bahasanya sedikit kasar. Yelah, orang
muda, jiwa muda, darah muda maka tak heranlah bahasanyapun bahasa orang
muda.  Tapi saya tak putus asa. Saya pujuk lagi en suami agar bersetuju dgn
cadangan saya untuk menjemput dia makan malam di rumah kami. Anak-anak
pula menyampuk ;

"Ummi....jangan mudah percaya pada orang yg kita tak kenali...." Kata anak
sulong saya.

"Aahlah.....sekarang banyak jenayah siber ...." anak kedua saya pula menambah.

"betullah....tak payah, tak payah......" sokong anak ketiga saya.

Ish, dah bersekongkol pulak mereka. Nampaknya berkecailah harapan saya
(bagaimanapun saya tak nafikan kebenaran kata-kata mereka itu ), takpe, takpe
cuba lagi hari lain. Pujuk punya pujuk, akhirnya dia setuju cadangan saya
(agaknya dia bosan dengan pujukan saya). Akhirnya, dia benarkan saya jemput
pemuda itu datang makan malam di rumah kami. Tercapailah hajat saya.
Sebenarnya, pemuda itu hanya makan malam dengan suami dan anak2 lelaki
saya saja di ruang tamu , sementara saya dan saudara perempuannya makan
di dapur. Pemuda itu tak bercakap pun dgn saya. Lepas makan,  dia pulang dan
en suami beritahu saya;

" baik budaknya....."

"kan betul gerakhati saya"  kata saya  tersenyum (bangga lah tu...tak baiknya)

********

Saya fikir itu kali pertama dan terakhir, dia akan jadi tetamu kami tapi tak sangka
dia sudi datang lagi ke rumah kami malam tadi. Kali ini, en suami dan anak2
saya tidak membantah. Nampaknya , mereka sudah mesra, rancak betul berbual
sambil ketawa-ketawa walaupun sebenarnya jarak usia mereka jauh berbeza. En
Suami saya sudah 40an (tak tahulah nak kata tua ke muda sbb di mata dan dihati
saya, en suami sentiasa muda....mesti dia bangga habis kalau dia baca ini.. hihihi)
Wah, en suamipun dah mula sukakan dia.....err, maksudnya sukakan akhlaknya...

lepas dia pulang, saya pun bisik kat en suami; " nasib baiklah kita takde anak
pompuan besor, kalau tidak mahunya saya pinang dia jadi menantu" hahaha......
....gurau saja, gurau saja , don't take seriously......(dia sudah ada pilihan hati)

kalaulah budak baik tu baca entri ini, saya nak tanya dia, apa ilmu dia pakai
sampai semua orang suka padanya........

(lain kali kalau dia dtg lagi, saya nak suruh dia bawa keropok lekur barang
seketul dua )

moral of the story: anda tidak perlukan wajah tampan atau badan sasa untuk memikat hati
bakal  mertua. cukuplah anda punya agama + akhlak yang baik , kerjaya yg stabil dan 
pemikiran yg matang...... (eh.....jangan tanya saya sapa budak baik itu ye.....)

Wednesday, September 7, 2011

Kisah facebook dan calon isteri.....

Kisah 1

Saya bertemu teman lama baru-baru ini. Kami berbual banyak perkara dan salah
satunya ialah tentang calon menantu. Oleh kerana dia kawen diusia muda dan
cepat pula dikurniakan cahaya mata maka anaknya kini telahpun berusia awal
20an. Baru saja bergelar hafiz dan sedang menyambung pengajian di Afrika
Selatan. Pakej yg lengkap nampaknya....! Kata teman saya itu dengan nada
gurauan ; antara syarat yg diberikan kepada anaknya untuk mencari calon isteri
nanti ialah siperempuan  itu tiada akaun facebook ! Saya tanya kenapa...?
Dia cuma ketawa....mesti ada sebabnya......tapi di zaman ini memiliki akaun
facebook seakan sudah menjadi seperti satu trend bukan saja kepada golongan
remaja tetapi juga kepada yg sudah bekerluarga dan warga pertengahan umur
barangkali. mungkin dia bergurau, mungkin juga dia benar-benar bermaksud
demikian..........

*****

Kisah 2

Beberapa bulan dulu saya duduk berbual dengan beberapa remaja lelaki (anak
murid saya sebenarnya) tentang hal-hal yang berlaku disekeliling mereka. Bila
dah berbual tu, biasalah macam-macam isu yang keluar, antaranya tentang calon
isteri. Salah seorang darinya yg masih belasan tahun berkata dengan tersenyum;


" Saya nanti nak cari calon isteri yg tak main facebook..."

"Kenapa?" tanya saya.

"kalau ada akaun facebook, belum kawin dia sudah curang dengan saya......dia
boleh sembang dgn sapa2 saja, add sapa-sapa yg nak jadi kawan dia, saya tak
suka cam tu...."

wah...! ada citarasa tersendiri. Emm.......bagus juga !

Suatu hari, dia bergurau dgn saya;

" Cikgu, kirim salam kat anak cikgu, boleh saya jadi menantu ? "

Sayapun menjawab dgn nada gurauan yg tegas;
"......dia tak layak utk awak, dia ada akaun facebook....!"

Ironisnya, remaja lelaki ini  bukanlah remaja kategori alim atau warak, cuma
remaja biasa yg sekali-kala nakal dan melanggar peraturan.

Emm ....dahlah bilangan lelaki berkualiti makin sikit, akan bertambah sukarlah
nampaknya untuk kaum hawa mencari calon suami andainya syarat diatas diguna
pakai oleh semua bakal mertua dan bakal suami.

Sebenarnyakan, tak salahpun ada facebook kalau pandai guna tapi kalau dah
24 jam mengadap facebook, apa ke jadahnya......? betultak ...?

Monday, September 5, 2011

Raya datang dan pergi......

Sekejap saja masa berlalu, hari ini sudah 7 syawal, sudah habis seminggu raya,
masing2 sudah kembali ke rutin harian biasa, anak-anak pulang ke kota, ibu ayah
yang sudah tua masih setia di desa,  persekolahan bermula dan yang bekerja
kembali meneruskan tugas-tugas lama yang tergendala dgn lemang dan ketupat
yang masih melekat di tangan ingatan........masih terasa keenakkannya.........

Seperti biasa hari raya adalah hari berkumpul seisi keluarga, hari mengenal
saudara mara, hari berziarah ke rumah jiran tetangga, inilah masanya  melupakan
sengketa (kalau ada), semua orang dengan wajah ceria menghulur tangan sambil
berkata; "Selamat hari raya.....mohon maaf  kalau ada salah silap dari hujung
rambut sampai hujung kaki........" dan akan disambut pula dengan kata-kata :
 " Sayapun sama.......mohon maaf juga atas segala-galanya......" . Maka gugurlah
segala dosa dosa (InsyaAllah), dan bertambah panjanglah usia, murahlah rezeki
seperti janji Allah kepada sesiapa jua yang menghubungkan silaturrahim. Ia tradisi
yg harus dikekalkan sampai bila-bila, sebagai bukti hari raya adalah hari
kemenangan untuk semua........

Seperti biasa, raya kali ini kami juga berkumpul bersama-sama di rumah bonda.
Bergurau senda, bergelak ketawa, bercerita, bertukar idea, berkongsi cerita,
ia sungguh membahagiakan kerana sejak bertahun-tahun dulu begitulah
situasinya.Inilah waktunya dimana  kami lupa segala saat-saat sukar yang pernah
ditempuh bersama ketika dihimpit kesusahan dan kemiskinan puluhan tahun yang
lalu sewaktu  masih di zaman anak-anak......

Waktu berputar, zaman beredar, kitapun membesar, raya terus datang dan pergi
saban tahun, dinanti dan dirai, moga ia bukan syawal terakhir.....yang pasti anak
anaklah yang paling gembira kerana mereka mendapat hadiah istimewa kerana
disebalik peningkatan harga barang dan kos sara hidup yang semakin tinggi,
masih ramai yang bermurah hati bersedekah duit raya yang bukan sedikit nilainya
buat si anak kecil, yang pasti siibu (dan bapajuga ) akan turut tersenyum
melihat sampul raya yang semakin tebal............dimurahkan rezeki, tahun depan
InsyaAllah bertambah tebal lagi............

Selamat hari raya, moga selamat dari segala dosa dan bala.......

jgn lupa hari raya juga waktu terbaik utk sibujang berkenalan dgn bakal pak mertua..........
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...