Monday, May 30, 2011

Suami punca perceraian....?

Suami didakwa punca utama cerai. Itu antara tajuk yang ada dalam akhbar
kosmo hari ini di ruangan dalam negara, dan ketika membuka radio Ikim pagi ini
ketika memandu ke sekolah untuk mengadakan tuisyen kepada pelajar-pelajar
saya, dua juruhebah radio  yang masih muda belia itu turut memperkatakan hal
tersebut dan membuka talian kepada pendengar untuk memberikan pendapat.
Kalau bukan kerana saya mengejar waktu ke sekolah ingin juga saya menelefon
nombor  tersebut dan memberikan pendapat.

Peningkatan yang bukan sedikit, 21.6% dalam tempoh 3 tahun (2008 - 2011),
mengikut kajian yang dilakukan oleh JAKIM. Kajian itu tentunya dibuat
berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, bagaimana pula dengan kes-kes yang
tidak dilaporkan? Ramai juga sebenarnya wanita yang tidak membawa
kes-kes mereka ke mahkamah atau merujuk kepada Jabatan Agama untuk
tujuan kaunseling atas sebab-sebab tersendiri. Mereka bergelut menyelesaikan
masalah  rumahtangga mereka tanpa bantuan pihak luar, sebahagian dari
mereka sedang berusaha mencari jalan penyelesaian. Sebahagian lagi mungkin
dilanda kemurungan !

Soalnya sekarang, adakah anda bersetuju dengan kenyataan tersebut ? Saya?
Ya, saya bersetuju jikadikatakan suami punca perceraian, tetapi BUKAN 100%!
Perceraian itu terjadi kerana banyak faktor, adalah tidak adil untuk kita
menyalahkan hanya sebelah pihak sahaja, sedangkan perkahwinan itu terbina
dari kesediaan dua individu berbeza untuk tinggal bersama dalam sebuah institusi
yang halal.

Mereka yang belum berkahwin, pasti memandang mahligai perkahwinan itu seperti
sebuah istana kayangan yang dihiasi dengan segala macam keindahan, dipenuhi
wangi-wangian, lagu-lagu menghiburkan, setiap saat hanya berlari-lari di taman,
mencium bunga-bungaan atau mengejar rama-rama berterbangan,bercanda
sambil ketawa riang tanpa sebarang masalah, duduk-duduk di tepi kolam tanpa
memikir seribu satu macam pekara yang melelahkan! Tidak salahpun jika anda
mempunyai persepsi begitu......bukankah perkahwinan itu bisa menenangkan hati,
mendamaikan perasaan dan meredakan tekanan.....? Lalu  selepas berlakunya
ijab dan kabul, selepasnya terbinanya sebuah masjid, selepas yang ditegah itu
menjadi halal untuk dinikmati, mengapa segala-galanya menjadi tawar
dan hambar ? Di mana silapnya ?

Sebenarnya antara alam percintaan dan alam rumahtangga tidak sama. Alam
percintaan adalah alam fantasi yang tidak dibebani dengan soal-soal tanggung
jawab yang menuntut komitmen yang bukan sedikit. Ia sekadar melibatkan
soal hati dan perasaan.Alam rumahtangga pula adalah alam nyata yang tidak
hanya didasari dengan rasa cinta semata-mata tetapi turut perlu diterjemahkan
dalam bentuk tanggungjawab dan amanah. Berumahtangga bermakna sanggup
berkongsi segala-galanya bukan hanya berkongsi hal  yang indah-indah sahaja,
tetapi juga berkongsi segala kelemahan dan kekurangan pasangan masing-
masing. Sebelum berkahwin semua kelemahan boleh disembunyikan disebalik
senyuman atau kata-kata mengasyikkan tapi selepas perkahwinan kita melihat
'dunia sebenar' pasangan kita yang kadang-kadang menuntut kesabaran yang
tinggi untuk bertolak ansur dengan segala ketaksamaan yang ada.

Sudah menjadi adat, alam  rumahtangga tidak lengkap tanpa sedikit perbalahan
atau perselisihan pendapat. Asal saja perbalahan itu tidak membawa kepada
pukul  memukul hingga perlu dirawat kerana kecederaan parah atau tendang
terajang yang menyebabkan mangsanya hilang ingatan ! Sesekali perselisihan
pendapat adalah medan menguji kesabaran dan membuka kepada ruang yang
lebih luas untuk kita mengenali pasangan yang kita kahwini itu.Bagaimanapun,
jika terlalu banyak perbalahan, ia boleh memerangkap anda dan pasangan dalam
kancah masalah yang lebih besar jika penyelesaiannya tidak dicari sedari awal.

Suami ketua keluarga. Ditangannya terletak suatu kuasa yang tidak diberi kepada
kaum hawa. Andai kuasa itu diberi kepada kaum hawa, lebih banyak perceraiaan
yang akan terjadi, mungkin setiap hari kerana wanita lebih bertindak mengikut
emosi ! Ini saya akui kerana saya juga wanita. Wajarlah kuasa itu diberi kepada
kaum lelaki kerana mereka dikurniakan 9 akal dan 1 nafsu berbanding wanita.
Mereka berambut pendek tetapi berakal panjang ! Malangnya ramai lelaki
gagal memanfaatkan kelebihan yang ada pada mereka ke tahap maksimum.
Kenapa?........... kerana mereka kurang ilmu. Ilmu apa?
Ilmu rumahtangga yang berlandaskan AGAMA.

Tahukah anda wanita sifatnya setia dan mudah mengikut kata. Jika mereka
sayang kepada seseorang, mereka sanggup mengorbankan apa saja untuk
membahagiakan insan yang mereka sayang tetapi apabila kasih sayang mereka
disia-siakan, hati wanita yang lembut itu akan bertukar menjadi keras. Jika
suami tidak prihatin dan membiarkan hati isteri mereka tidak dirawat, tidak
mustahil wanita ini akan bertindak  di luar jangkaan ! Dan jika itu terjadi suami
terpaksa membayar 'harga' yang mahal untuk mendapat kembali kesetiaan
dan pengorbanan si isteri.

Sekuat manapun kasih sayang wanita terhadap suaminya tetapi jika suaminya
tidak bertanggungjawab, tidak mahu menunaikan hak-hak anak dan isteri, tidak
memberi didikan agama yang sewajarnya, tidak mahu berbelanja untuk makan
pakai anak isteri, lalai dari tangungjawab terhadap agama, tidak mahu berbincang
/bermesyuarah seperti yang dianjurkan agama, isteri mana yang dapat
memendam rasa dan duka lara begitu lama ? Tanyalah mana-mana wanita yang
telah berkahwin, mereka mahu mahligai itu bercahaya selamanya tapi ribut taufan
selalu datang membawa tiupan angin memadamkan cahaya itu.........dan mereka
tidak mampu menahan cahaya itu dari terpadam jika hanya mereka yang berusaha.

Sebagai wanita yg telah melayari bahtera rumahtangga selama hampir 17 tahun
yang telah menempuh pelbagai cabaran dan rintangan yang mematangkan, saya
sehingga hari ini percaya bahawa penyelesaian kepada semua masalah rumah
tangga ada dalam agama  kita yang suci murni ini. Nabi s.a.w telah menunjukkan
contoh tauladan yang terbaik sebagai suami, ayah dan pemimpin keluarga yang
berwibawa. Suami sebagai ketua yang disegani perlu mempunyai jati diri dan daya
tahan yang tinggi untuk memastikan rumahtangga kukuh selamanya. Belajarlah
menjadi suami yang dikasihi dan dihormati, bukan ditakuti atau digeruni.
Belajarlah menjadi suami yang bertanggungjawab dan menunaikan amanah
bukan menjadi suami yang hanya tahu memerintah !

Wanita pula , sebagai isteri setinggi manapun pendidikan dan pangkat yang anda
miliki, suami wajib ditaati selagi tidak bertentangan dengan akidah dan sunnah.
Belajarlah menerima kekurangan suami dengan hati terbuka dan bantulah mereka
menjadi suami berwibawa. Janganlah meminta sesuatu yg diluar kemampuannya.
Belajar menerima segala pemberian dengan redha. Rumahtangga bahagia mesti
berpaksikan agama, dihiasi akhlak dan keperibadian mulia, saling memberi dan
menerima, sentiasa sedia bekerjasama, sanggup berkongsi segala cerita suka
duka, ingat-mengingat bila terlupa serta bersabar dlm setiap waktu dan ketika.....

Suami Pengasih, Isteri Penyayang
Semailah Kasih, Suburkan Sayang.....


(Carilah pertolongan dengan sabar dan solat......)

6 comments:

Afida Anuar said...

Kak Norsha, fida sebagai orang bujang, itulah yang fida bayangkan... bila dah kahwin, segala-galanya indah.. hik..

tp fida tau, tanggungjawab tu... amanah yang Allah bagi yang kita sebagai suami isteri harus pikul dengan sebaik mungkin.....insyaAllah jika semua yang kita buat..kerana Allah...susah macam mana sekalipun, pasti ada manisnya.. even dalam rumah tangga sekalipun. Kan kak norsha?

Norsha said...

Fida,
begitulah yg sebetulnya, berkahwin kerana Allah, menghidupkan sunnah...bila niatnya betul, InsyaAllah segala masalah dapat diatasi sebaik mungkin & dilimpahi Allah kasih sayang berpanjangan....
eh, jgnlah takut nk kawin pulak, ramai je lagi yg kat luar sana hidup bahagia dan aman damai walau dlm serba kekurangan....moga fida bertemu pasangan hidup yg diimpikan...:)

fuad ansari said...

Seronok betul membaca entri ini kerana ia dikarang oleh insan yang penuh pengalaman suka duka dalam alam perkahwinan.. ternyata pengalaman adalah guru yang baik.. mendengar sesuatu yang diceritakan berdasarkan pengalaman adalah sangat memberi kesan di hati..

Saya cuma ingin katakan, BENAR apa yang cikgu perkatakan...

Saya baru belajar2 untuk hidup berumahtangga.. Doakan saya ye cikgu..(",)

Norsha said...

Fuad,
bahagia mesti dibina, bukan ditunggu, kasih dan sayang mesti disuburkan bukan dibiarkan, umpama belayar dilautan luas, suami nakhodanya, tentukanlah arahnya dengan jelas, dengan bekal ilmu, iman dan taqwa, InsyaAllah anak-anak kapal akan selamat.....

نور توفيقة ادريس said...

People blame others when they know they deserve more to be blamed..

Hurm..

"bahagia mesti dibina, bukan ditunggu, kasih dan sayang mesti disuburkan"

:))

Norsha said...

Fiqa,
....bahagia itu tidak terlihat di mata....tapi dirasai di jiwa....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...