Sunday, May 15, 2011

Hikayat Panglima yang gagah perkasa......

Maka gegak gempitalah seluruh benua takala mendengar berita perihal
seorang panglima yang gagah perkasa mahu menambah seorang lagi
bilangan isterinya setelah mempunyai tiga orang isteri yang sedia ada.
Riuh rendahlah rakyat jelata dari selatan hingga utara bercerita perihal
panglima yang gagah perkasa ini, hingga beritanya diperkata di corong
corong radio dan tv dan disiarkan pula di muka hadapan sebuah akhbar
tempatan.

Berceritalah akan sekalian rakyat jelata perihal panglima yang gagah perkasa,
di kedai-kedai kopi hatta di kaki lima, oleh para lelaki mahupun wanita,
oleh yang muda atau yang hampir senja, apatah lagi oleh si anak dara yang
terpegun lantaran hebatnya empunya diri panglima  hingga mampu memikat
si gadis yang cantik jelita lagi muda belia.

Maka keluarlah berbagai versi dan cerita, baik di alam maya mahupun di
alam nyata, ada yang menyokong, ada yang mengata. Ada yang tersenyum,
ada yang masam mencuka. Dikhabarkan panglima ini kaya orangnya, ada
bisnes maka tak perlulah siisteri keluar bekerja. Ditambah pula dengan segak
dan sedikit kacak maka tak hairanlah ada yang terjebak sementelah pandai
pula membuat lawak.

Terpegunlah para lelaki, mungkin cemburu, mungkin iri hati, mungkin juga
tertanya-tanya di dalam hati, ilmu apa dipakainya hingga si isteri-isteri
tidak bersengketa malahan tersenyum pula bergambar di depan kamera.
Gundah gulanalah pula para perempuan, bimbang si suami memasang
angan-angan atau menghubungi panglima bertanyakan petua-petua yang
bukan-bukan. Bertali aruslah ucapan tahniah, tak kurang juga mengucap
takziah, takut-takut panglima tak mampu memikul amanah.

Maka menurut pandangan hamba, pacal yang hina ini, jika sudah terbukti
panglima berkemampuan, sihat tubuh badan dan tiada pula masalah kesihatan,
maka janganlah kita mempertikai cita-cita dan impiannya untuk memperisteri
si gadis yang cantik rupawan lagi menawan. Pekara yang elok kalau kena
cara dan gaya, tidak bertentangan hukum agama, direstui pula isteri dan
mertua, disokong juga tok kadi, wali  dan pejabat agama, maka siapalah
kita hendak menentang tindakan mereka ?

Cuma hamba mohon bertanya kepada panglima yang gagah perkasa, tidak
inginkah mahu menyertai angkatan perang yang akan berangkat ke setiap
pelusuk benua pada bila-bila masa? Sudi apalah kiranya, panglima tinggalkan
keluarga buat seketika, berjihad di jalan Allah barang sepurnama ?
Akan bertambah-tambahlah kekaguman sekian rakyat jelata terhadap panglima
andai panglima turut serta dalam misi mengembangkan syiar Islam di seluruh
benua.....

Sekianlah dahulu, hamba mohon menutup bicara. Ampun dan maaf atas segala
ketelanjuran bahasa dan kata-kata. Tidak bermaksud menyindir sesiapa, andai
ada yang terasa, anggaplah ini sekadar seloka kerana hamba sekadar bercerita,
sekadar mencuba bakat menjadi penglipur lara.......

Mohon mengundur diri, bertemu lagi dalam hikayat yang lebih mencuit hati.......

10 comments:

al-lavendari said...

adapun akan hamba tidaklah ada menyimpan rasa cemburu walau sebesar debu, akan tetapi hanya melihat dari jauh terpaku dan terkedu !

Cikgu Sue [CS] said...

salam cikgu norsha,
inilah mungkin tasykil gaya purbakala...sy suka!

mimie said...

eleh...kalau kawin pilih anak dara muda cun pulak tu, ikut sunah nabi ke?...kenapa tak pilih ibu-ibu tunggal yg melarat tu...haprak punya panglima!

menusuk hati said...

haha!bak kata CS,tasykil gaya purbakala..haha!jom baca TAZKIRAH BLOGGER

Afida Anuar said...

Jdoh masing-masing...kan kak norsha?;)

Abd Razak said...

Assalamualaikum...

Tak salah Dia mampu melaksanakan sunnah daripada menyimpan gundik yang jelas haram..

Norsha said...

al-lavendari,
eloklah tak cemburu, kalau cemburu takut2 kita pula bercelaru...

Cikgu Sue,
sekadar mengingat hikayat lama yg semakin hilang

Mimie,
jgn marah2, ce tanya yang empunya diri mungkin boleh dapat jawapannya

menusuk hati,
saya dah baca, time kasih atas peringatannya


Afida;
erm...memangpun, kalau jodoh tak ke mana


Tn Razak,
Ya, benar sekali, sekurang2nya blh memperbetul persepsi yg salah terhadap poligami, masih ramai yang bahagia rupanya....

Ismi Ijmi said...

panjang lee

Wafi said...

panjang btoi tasykil... sangat mendalam...

Norsha said...

Izmer,
cerita hikayat memang panjang2, mana ada pendek2...:)

Wafi,
ni tasykil orang lama...kena ada madah2 dan kata pujangga...hehehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...