Ibu....ucapan keramat sejak dulu. Kasihnya ibu membawa ke syurga,
tanpa ibu siapalah kita ? Tingginya darjat ibu di sisi Allah sehingga kemuliaan
seorang ibu 3 kali lebih tinggi mengatasi kemuliaan seorang ayah. Andai
kedua-duanya memanggil si anak secara serentak, menjadi kewajipan kepada
si anak untuk menjawab panggilan ibu terlebih dahulu.
Betapa tinggi kemuliaan seorang ibu sehingga dengan memandang wajahnya pun
akan mendatangkan pahala. Rasulullah s.a.w menegaskan kepentingan setiap
anak untuk berbuat baik terhadap ibu bapa sehingga baginda mengatakan
betapa syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu. Rasullullah s.a.w turut
memberi jaminan bahawa apabila kita berbuat baik terhadap ibu bapa, nescaya
anak-anak kita juga akan berbuat baik terhadap kita apabila tiba masanya.
Sejauh mana sebenarnya kita sebagai anak memahami hati si ibu yang telah
melahirkan kita? Percayalah, seorang anak tidak akan dapat menjiwai hati ibu
dengan sebenar-benarnya sehinggalah si anak itu telah menjadi ibu di kemudian
harinya. Hanya apabila anak-anak gadis telah berkahwin, melahirkan anak dan
bersusah payah membesarkannya, barulah sigadis itu mengerti mengapa ibu
suka berleter, mengapa ibu selalu menegur perbuatannya yang tidak kena di
mata si ibu. Benarkah ibu tidak memahami perasaan si anak yang sedang remaja?
Benarkah ibu melihat setiap perkara dari persepsi berbeza?
Anak-anak muda remaja yang baru mengenal dunia, tidak ada ibu yang mahu
anaknya berada dalam kesusahan, kesedihan mahupun kekeliruan. Tidak ada ibu
juga yang sanggup memejamkan mata membiarkan saja andai dia tahu anaknya
melakukan kesilapan. Kerana itulah ibumu itu akan bising-bising, akan
marah-marah kerana menegur perbuatanmu. Tapi, kerana engkau berdarah
muda, setiap leteran atau teguran itu , bagimu seperti tujahan peluru berpandu
yang membunuhmu. Sebenarnya tidak begitu, anak-anakku....!
Tahukah kamu bahawa hanya ibumu itu ( tentunya si ayah juga) satu-satunya
manusia yang mengasihimu tanpa syarat. Dia menerima kelahiranmu dengan rasa
syukur tanpa ada rasa curiga dan benci. Andai hari ini, ada pemuda yang
menawarkan cinta kepada si gadis yang sedang muda remaja, ketahuilah , cinta
itu sebenarnya bersyarat...! Barangkali kerana kecantikanmu maka dia jatuh hati
padamu, barangkali kerana kelembutanmu, keturunanmu atau apa-apa saja yang
boleh membuatkan dia terpikat padamu. Andai engkau tidak memiliki semua itu,
percayakah engkau yang sidia itu semudah itu melafazkan cintanya?
Sebenarnya dia mahukan sesuatu darimu....... tapi bagi si ibu, dia tidak
meletakkan sebarang syarat untuk menerima kelahiranmu ke dunia. Dia menerima
pemberian Allah dengan hati dan tangan terbuka. Di matanya anaknyalah yang
paling comel, sekalipun mungkin kulitnya sedikit gelap atau ada sedikit
kekurangan fizikal pada si anak. Ibumu menerima kelahiranmu tanpa sebarang
syarat.....Dia menyayangimu tanpa mengenakan sebarang bayaran !
Naluri seorang ibu selalunya tepat. Andai dia melihat teman yang ingin kau
jadikan pasangan hidupmu itu tidak sesuai bagimu, berfikirlah terlebih dahulu
sebelum engkau membuat keputusan nekad. Amat menyedihkan untuk seorang
anak yang membelakangi orang tuanya hanya untuk mendapatkan cinta seorang
pemuda yang belum engkau ketahui sejauhmana kesetiaannya. Dengarlah
nasihat ibumu yang tajam matahatinya sekalipun telah lanjut usianya. Mohonlah
pandangannya untuk kau layari bahtera hidupmu kerana ibumu itu tentunya ingin
melihat kau hidup bahagia. Ketahuilah, remuk redam hati si ibu bila dia melihat
bahtera hidupmu terumbang ambing dipukul gelombang. Sekalipun engkau telah
dewasa, punya pendidikan tinggi dan berjaya pula dalam kerjaya namun semua
itu tidak akan dapat membeli kegembiraan hati seorang ibu , andai engkau
mengasarinya....
Jangan biarkan airmata ibumu tumpah kerana kesedihannya melihat keangkuhanmu....!
Ibumu....sekalipun dia telah dimamah usia, langkahnya perlahan kerana
kekurangan tenaga, namun doanya sangat makbul sampai bila-bila, kasihnya
tetap mekar sepanjang masa, Anak-anak gadis sekalian, nanti apabila engkau
telah bertemu bahagia bersama pasangan hidupmu, ibumu itu janganlah engkau
lupakan !
Sekalipun engkau jauh diperantauan titipkanlah doamu buat si ibu. Percayalah,
dia selalu merinduimu.......
Begitu juga anak-anak lelaki yang sedang atau akan berbahagia dengan si ratu
hati, janganlah sesekali kecantikan isterimu membuat engkau lupa bertanya
khabar si ibu. Sehingga bila-bilapun, hati siibu akan selalu mengingatimu. Jangan
sesekali engkau kasari ibumu hanya untuk mengembirakan hati isterimu, jangan
jadi seperti alqamah yang malang itu.....
Kepada sang ibu.....redhailah anak-anakmu. Maafkan kesalahannya, halalkan
segalanya. Tidak ada yang lebih bahagia dari melihat anak-anak membesar di
depan mata, menjadi insan mulia, teguh berpegang kepada ajaran agama ,
sempurna menutup auratnya, elok akhlaknya, lembut tutur bicaranya serta redup
pandangan matanya menatap wajah ibu yang semakin tua. Sesungguhnya doa
ibu tiada hijab di sisiNya......berdoalah untuk mereka....Jangan simpan sedikitpun
rasa marah di dalam hatimu, berdoalah agar anakmu selamat selamanya di dunia
dan di akhirat....
Mak......hari ini aku sudahpun bergelar ibu dan kini aku tahu cabaran mendidik
putera- puteriku. Benarlah katamu dulu, apabila aku telah menjadi ibu, baru aku
tahu mengapa ada ungkapan.....
KASIHNYA IBU......MEMBAWA KE SYURGA..........TAKKAN TERBELI
DENGAN EMAS ATAU PERMATA......TAKKAN TERBAYAR BERAPAPUN
HARGANYA........
"Ya Allah, kasihilah kedua ibu bapaku, sebagaimana mereka telah mengasihiku
ketika kecil"
Ibu.....tulusnya kasihmu, terima kasih ibu..................
[duhai anak, andai kau ada berkecil hati dengan ibumu, lupakanlah, jangan kau
simpan di dalam hatimu, ibumu cuma manusia biasa yang tak terlepas dari salah
dan silapnya. Bila kau bertemu, ciumlah tangannya, peluklah ibumu yang
semakin tua itu dan rasailah kehangatan kasih sayangnya mengalir ke dalam
dirimu....]
4 comments:
oh ampun dosa-dosa ibuku..
Dah jadi ibu dan ayah dapat rasa susah payah dan perit jerih membesarkan insan yang bernama anak kan.. Betapa besarnya pengorbanan ibu dan ayah kita selama ni..
Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku..
Selamat Hari Ibu, cikgu.... (",)
Syurga di bawah telapak kaki ibu... moga Allah memberi rahmat dan kasih sayang buat semua ibu-ibu...
wafi,
utgnya ibu wafi dpt anak sebaik wafi
Fuad,
terima kasih banyak2 ye....:)
Afida,
naungan kasih tiada berpenghujung bkn saja kpd ibu2 tetapi juga kpd bakal2 ibu dan yg belum jadi ibu
Post a Comment