Wednesday, February 29, 2012

Salah siapa?

Sudah lebih 5 minit loceng berbunyi menandakan berakhirnya waktu rehat, dan P&P
sudah sepatutnya bermula , tetapi guru perempuan itu masih berdiri di hadapan kelas, menarik
nafas panjang sambil memandang ke arah 29 orang pelajar lelaki di depannya yang masih
tidak mahu duduk diam. 15 tahun ! tapi kelakuan masih seperti pelajar sekolah rendah
umur 12 tahun. Usai salam diberi, beberapa pelajar menurut arahan mengeluarkan buku,
sebahagian lagi bagai berada di dunia sendiri. Baru beberapa minit, memulakan P&P, seorang
pelajar lelaki kelihatan menghampiri kelas dengan langkah perlahan, muka masam mencuka
sambil tangan memegang sebatang penyapu, melangkah masuk tanpa memberi salam.

" Ke mana awak? Lewat 15 minit..."

Diam. Tiada Jawapan. Mata merenung tajam. Batang penyapu masih di tangan.

" Letakkan penyapu, saya mahu awak buka buku....."

Dia bangun dan tanpa rasa bersalah membaling penyapu ke penjuru dinding. Mujur tidak mengenai
sesiapa, hanya dinding yang menjadi mangsa.  Kalau tidak, pasti esoknya tertera berita di muka depan
akhbar arus perdana. Semua terkejut termasuk sang guru tapi dia tidak mahu memanaskan
suasana di kelas yg sudah sedia panas.  Pesan pengetuanya; guru mesti
berjiwa pendidik, jangan berkasar apalagi mengherdik. Sabar! Api tidak boleh disiram dengan
minyak. Pasti marak. Dia cuba menjadi air.

" Kenapa dengan awak ? Baik.....kalau tak mahu belajar duduk diam, jangan ganggu orang lain..."

Entah wajar atau tidak kata-kata itu, tapi sekurang-kurangnya pelajar itu tidak lagi 'mengamuk'.
Dia tidak boleh bazirkan masa. P&P mesti berjalan juga, kerana bagi guru biasa sepertinya, P&P
adalah jiwa raga, 'core business' dan pelajar adalah aset yang perlu dijaga. 29 yang lain perlukan
ilmu, hanya satu yang buat hal, dia tak boleh berlebih-lebihan pada yang seorang sedang 29
yang lain terabai. Tak mengapa, nanti boleh rujuk kaunselor untuk bincang masalah pelajar ini.
P&P berlangsung seperti biasa, tapi pelajar yang mengamuk itu tidak buat apa-apa, tidak
menulis, tidak membaca, dia memandang dengan wajah kosong, seperti jiwanya sedang
bergelodak sarat dengan amarah dan dendam.

40 minit berakhir, tamat P&P. Semua bangun mengucap salam tapi pelajar yang satu itu tidak
membuka mulut, apalagi memohon maaf atas perbuatannya tadi. Takpe, cikgu maafkan kamu !
kata sang guru di dalam hati. Sebaik melangkah keluar, ketua kelas yang berbadan besar dan
berkulit cerah sedikit berteriak; "cikgu, jangan serik masuk kelas kami ye...." guru tersenyum
sambil menjawab; " mana ada serik, seronok apa masuk kelas awak ....".

Pelajar itu, yang mengamuk tadi? Dia memberontak sebenarnya, ibu bapanya bercerai,
masing-masing bawa haluan dengan pasangan baru, tinggallah dia, terkapai-kapai, hilang
kasih sayang, hilang perhatian, dijaga si abang yang masih bujang tapi kasih sayang abang
tetap tidak sama dengan didikan dan sentuhan ibu dan ayah. Dia masih remaja, dia perlukan
perhatian, nasihat dan bimbingan. Dia dahagakan kasih sayang tapi semua itu terlalu mahal
untuk dinikmati, sukar untuk diperolehi. Salah siapakah bila jiwanya 'sakit' lalu kesakitan itu
dirawat dengan  cara melanggar peraturan sekolah, biadap dengan guru dan bergaduh
dengan rakan ? kata seorang pelawak, lu fikirlah sendiri.....................

p/s : entry sempena Pelancaran Program Sekolah Penyayang di sekolah tempat saya mengajar
        esok

Percayakah anda, sebahagian besar pelajar yang mencetuskan masalah di sekolah datang dari 
keluarga yang bermasalah ?

5 comments:

Noorieda said...

Assalamualaikum cikgu..

Kasihan..bagi saya kedua2nya bersalah..Si anak dan pelajar tidak sepatutnya melepaskan amarah di bilik darjah dan si ibu bapa tidak sepatutnya membiarkan anak-anak hidup terbuang begitu..sungguh kasihan..

Anak Pendang Sekeluarga said...

mashallah,kesiannya...
selalu anak2 ini menjadi mangsa..

fuad ansari said...

dimanakah perginya kasih seorang ayah dan ibu?

andai hari ini kita 'membuang' seseorang, risau2 satu hari nanti, kita pula yg akan terbuang...

semoga sama2 dapat beringat..

As said...

Memang pun akak
T__T

Norsha said...

Noorieda,
Fuad,
Anak Pendang sekeluarga,
As,

...jangan kita jadi ibu/bapa yg membuang anak atau anak yg membuang ibu bapa....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...