"Dan perintahkanlah keluargamu (dan umatmu) mengerjakan solah dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa."
(Taha: 132)
"Dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada mereka yang khusyuk (iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan kembali kepadaNya."
(al Baqarah: 45-46)
---------------------------------------------------------------------------------------------
Suatu hari di dalam kelas ketika sesi p&p bagi mata pelajaranku hampir-hampir berakhir (kira-kira 10 minit sebelum waktu rehat), aku bertanya kepada anak-anak muridku.
"Siapa solat subuh pagi ini?"
Masing-masing berpandangan sesama sendiri, senyum-senyum , angkat kening, ada juga yang buat muka selamba macam tak dengar saja pertanyaan aku. Lambat betul nak tunggu respon budak-budak ni! Tak lama kemudian adalah lebih kurang 6 orang angkat tangan, itupun macam nak tak nak je.
"Enam orang sahaja!?" Aku bertanya dengan nada terkejut. Bayangkan, ada 33 orang dalam kelas tersebut dan yang mengaku solat subuh pagi ini cuma 6 orang ! Yang lain?
"Lambat bangun, cikgu"
"Saya uzur, cikgu"
"Saya memang tak pernah solat subuh, cikgu"
" Saya solat seminggu sekali je , cikgu "
" Saya solat magrib saja, cikgu"
" Malaslah, cikgu"
"Takut kena tinggal bas, cikgu"
Itulah antara jawapan-jawapan yang aku terima pada hari yang tak disangka-sangka itu. Yang uzur (bagi perempuanlah) tu memanglah tak boleh solat, tapi jawapan yang lain tu boleh diterima ke? Lalu entah macam mana pada hari itu aku rasa macam nak berleter je kat budak-budak yang dah boleh dipanggil mak atau bapak orang itu ( mereka semuanya berumur 17 tahun atau hampir-hampir 17).
"Ok, dengar sini, cikgu nak bagitahu kamu satu hal ni supaya di hari akhirat nanti jangan dakwa cikgu tak pernah bagitahu kamu tentang perkara ni"
Lalu bermulalah sesi leteranku (kalau boleh dipanggil leteranla...) pada hari itu. Kebetulan pula hari itu hari Jumaat. Percuma saja mereka dapat tazkirah jumaat daripadaku......
Oleh kerana aku baru balik dari program motivasi agama pakej 3 hari 2 malam, maka semangatku berkobar-kobar untuk berkongsi dengan mereka ganjaran-ganjaran yang Allah telah janjikan kepada sesiapa yang menjaga solat dengan wuduk yang sempurna.
"Allah janji lima perkara kalau kita jaga solat kita. Pertama , rezeki kita akan dimurahkan di dunia ini. Jangan ingat rezeki tu duit saja, kesihatan yang baik, hati yang tenang pun rezeki juga, otak cerdas, senang faham apa yang cikgu ajar pun rezeki juga namanya..."
"Err... cikgu, kalau muka tak hensem tapi ramai orang minat, itupun rezeki juga ke?" tanya S tiba-tiba. Banyak cekadak betul budak-budak ni!
"Bolehlah, kira rezeki jugalah tu tapi kalau setakat muka hensem tapi tak pernah solatpun takde maknanya ....." Aku jawab dalam nada gurauan dan mereka ketawa. Aku tahu soalan tu mesti nak pekena mana-mana kawan yang ada dalam kelas tu.
"Kedua, Allah lepaskan kita dari siksa kubur.........."
Kira-kira penat jugalah aku menerangkan kepada mereka tentang kelebihan-kelebihan solat. Aku tak boleh baca apa yang ada dalam fikiran mereka ketika itu. Entah mereka faham, entah tidak, tapi aku tak peduli kerana yang penting aku dah sampaikan apa yang aku tahu dan apa yang mereka patut tahu. Walaupun aku bukan guru agama dan aku bukan lepasan dari bidang agama, tapi aku percaya bahawa saling ingat mengingati dan nasihat menasihati tu tugas semua orang, bukan tugas guru agama sahaja. Apatah lagi sebagai guru, bukan sekadar mengajar tapi juga mendidik dan sesungguhnya mendidik jiwa manusia itulah yang paling sukar dan mencabar.....setuju tak?
Oleh kerana khusyuknya aku berceramah kepada mereka, aku terlupa bahawa masa rehat mereka dah berlalu 10 minit, bermakna mereka cuma ada 10 minit saje lagi untuk ke kantin!
Patutlah ada yang tengok-tengok jam waktu aku tengah bercakap tadi, ada udang di sebalik mi rupanya.....
Keluar dari kelas mereka dan turun ke tingkat bawah, aku berjumpa dengan guru disiplin sekolah yang kacak dan segak (aku rasala...), aku terangkan hal sebenar bahawa bukan salah mereka terlewat keluar rehat hari ni, juga bukan salah aku (sebab tak dengar pulak bunyi loceng tadi). Aku minta mereka tidak didenda atas kelewatan tersebut dan dengan penuh bergayanya guru disiplin tersebut menerima permintaan aku. Agaknya dia hormat kat aku sebab aku lebih senior darinya yang baru ada anak dua.....
Anak-anak muridku yang dikasihi,
Apapun alasan yang kamu berikan, itu tidak melepaskan kamu dari tanggungjawab untuk menunaikan solat kerana solat itu wajib dan perkara pertama yang akan ditanya diakhirat kelak. Jika elok solatnya, insyaallah selamatlah kita tapi jika kantoi solatnya, kantoilah juga amalan-amalan lainnya. Percayalah bahawa solat itu satu terapi jiwa yang sangat mujarab untuk semua masalah yang kita hadapi. Juga yakinlah bahawa solat itu adalah benteng daripada perbuatan keji dan mungkar. Sungguh benar, solat itu berat , apatah lagi bagi remaja seperti kamu yang sedang mencari identiti diri, yang sedang leka dibuai mimpi indah duniawi yang belum pasti ...........
Sebagai guru, cikgu doakan kamu semua diberi taufik dan hidayah untuk menunaikan solat diawal-awal waktu secara berjemaah (bagi lelaki) di suatu hari nanti. Dan andainya di waktu itu kamu teringat akan 'leteran' yang pernah cikgu berikan kepada kamu dahulu, jangan lupa doakanlah cikgu agar cikgu juga termasuk dalam golongan orang-orang yang sentiasa menjaga solat......... Amin
Salam sayang dari cikgu
1 comment:
allah janji 5....pertama, kedua...seterusnya apa cikgu???
Post a Comment