Showing posts with label cerita pedoman. Show all posts
Showing posts with label cerita pedoman. Show all posts

Saturday, March 10, 2012

Kisah pemuda yang berbakti kepada ibunya

Nabi Sulaiman, selain dari menjadi seorang nabi juga seorang raja yang terkenal. Dengan
izin Allah , beliau berhasil menundukkan Ratu Balqis dengan jin Ifritnya. Nabi Sulaiman juga
terkenal sebagai manusia yang boleh berdialog dengan segala jenis binatang.

Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana antara langit dan bumi hingga tiba di satu
samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, beliau memerintahkan
angin agar tenang. Kemudian Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu
sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah dari permata putih yang tiada
lubang. Kubah itu diangkatnya ke darat lalu ditunjukkan kepada Sulaiman Alaihissalam.

Melihat kubah tanpa lubang yang penuh permata dari dasar laut itu, Nabi Sulaiman menjadi
hairan. " Kubah apakah ini?" fikirnya. Setelah memohon pertolongan Allah, Nabi Sulaiman
pun membuka tutup kubah dan alangkah terkejutnya beliau takala melihat seorang pemuda
sedang sujud dan bertasbih memuji Allah di dalamnya.

Beliau bertanya kepada pemuda itu: "Siapakah engkau ini?" Manusia atau jin ?" Tanya
Nabi Sulaiman kehairanan. "Aku adalah manusia, " jawab pemuda tersebut.

"Dari mana engkau perolehi karamah semacam ini?" selidik Nabi Sulaiman. Pemuda itupun
lalu bercerita kisahnya hingga beliau mendapat karamah dari Allah sehingga tinggal di dalam
kubah dan berada di dasar lautan.

Katanya, dia menjaga kedua ibubapanya sehingga mereka lanjut usia. Apabila ayahnya
meninggal, tinggallah ibunya yang sudah tua, lemah, lumpuh dan buta kedua matanya. Dialah
yang menjaga, merawat dan menggendongnya ke mana saja dia pergi. Si anak sentiasa berbakti
kepada ibunya, sementara ibunya selalu mendoakan anaknya. Antara doa yang selalu dilafazkan
ibunya ialah : " Ya Allah, berikanlah rezeki kepada anakku ini, berikan dia kebahagiaan dan
tempatkan dia di satu tempat yang bukan di bumi dan bukan pula di langit."

Katanya setelah ibunya meninggal dia berjalan-jalan di tepian pantai lalu terlihat kubah
yang terbuat daripada permata. Diapun mendekati, dan tak semena-mena pintu kubah itu
terbuka lalu dia masuk ke dalamnya.

Nabi Sulaiman bertanya ; " Kamu hidup di zaman mana? " Jawab si pemuda; " Saya hidup
di zaman Ibrahim A.S". Dalam perkiraan Nabi Sulaiman, pemuda tersebut sudah berusia
14000 tahun.

" Bagaimana engkau dapat hidup di dalam kubah di dasar laut itu?" Soal Nabi Sulaiman lagi.

Pemuda itu berkata;" Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Aku
tidak tahu dilangitkah atau di udara, tetapi Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika
aku tinggal di dalam kubah ini"

" Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Jawab pemuda
itu; " Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon didalam kubah, dan buahnya
kumakan. Jika aku merasa haus, maka keluarlah air yang sangat bersih. Air itu lebih
putih dari susu dan lebih manis dari madu. "

" Dari segi masa, bagaimana engkau tahu siang atau malam?" Nabi Sulaiman bertanya lagi.

" Apabila terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situlah aku tahu hari sudah siang.
 Kalau matahari sudah terbenam, kubah menjadi gelap dan aku ketahui hari sudah malam"

Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah
itu tertutup kembali dan diapun tinggal di dalamnya. Itulah ganjaran atau karamah bagi
seorang pemuda yang sentiasa berbakti kepada ibunya.

anak-anak, berbaktilah kepada ibu bapamu setulus hati, ingatlah bahawa redha Allah bergantung
kepada keredhaan mereka..........

Saturday, February 18, 2012

Doa Pemuda Soleh

Di sebuah gerai menjual roti, seorang pemuda soleh meneliti beberapa bongkah roti yang
berbaris kemas di atas meja.

"Berapa harga roti itu?" Tanyanya sambil menuding ke arah sebongkah roti yang nampak
segar seperti lepas dimasak.

"Tak mahal, 1 dirham saja, " jawab penjaja gerai dengan wajah yang manis.

Pemuda soleh itu menyeluk sakunya untuk mengeluarkan wang. Dahinya tiba-tiba berkerut,
jarinya masih tercari-cari. Ke mana perginya wang aku, desis hati kecilnya.

"Minta maaf, saya sudah kehilangan kesemua wang saya. Baru sebentar tadi, ia masih ada,"
jelas pemuda soleh itu kepada penjaja.

Seorang lelaki yang berdiri berdekatan dengannya dan mengenali peribadi pemuda soleh
itu terus berkata; " Ya Allah, kudungkanlah tangan orang yang mencuri wang pemuda ini. "

Mendengar itu, si pemuda soleh terus menyambung, " Ya Allah, jika wang itu diambil
kerana desakan hidup untuk memenuhi keperluannya, berkatilah ia. Tetapi jika ia diambil
kerana tidak takut kepada dosa, moga-moga inilah dosanya yang terakhir."


 Sungguh bukan mudah untuk berlapang dada atas sesuatu yang terjadi, tapi bila Allah
mengkehendaki ianya terjadi, ia tetap akan terjadi, dan setiap yang terjadi pasti ada hikmah
tersembunyi......



Monday, April 11, 2011

Tipah tertipu......(?)

Suatu ketika, di bumi Allah ini, di sebuah benua, di sebuah negara bernama
Malaysia, di dalam negeri yang kaya dengan hasil hutannya, di sebuah daerah
 yang biasa-biasa saja, di sebuah kampung yang terpelihara dari pencemaran
 udara, di sebuah rumah yang sederhana, di dalam sebuah bilik yang di hias
cantik bercahaya........tersebutlah kisah dua insan teruna dan dara yang baru
 melalui detik bahagia kerana baru diijab kabul di waktu siangnya.

Jeng...Jeng.....Jeng......

Ditepi birai katil, si suami memegang tangan si isteri sambil berkata:

"Dinda, pada hari yang berbahagia ini, kanda ingin memohon maaf kepada
adinda..."  berkata lelaki yang baru bergelar suami itu dengan machonya.

"Kenapa kanda? Ada apa sebenarnya, sehingga kanda berkata sebegitu rupa?"
tanya si isteri dengan penuh lemah lembut ala-ala perempuan melayu terakhir
lagaknya.

Jawab sang suami yang masih teruna itu;

"Begini, dinda ingat tak semasa kita masih di alam pertunangan, dinda telah
 menghubungi kanda di pejabat untuk berjumpa selepas kanda habis kerja.
 Panggilan itu dijawab oleh seorang rakan kekanda yang memaklumkan
 bahawa kanda telah pulang dan tiada di pejabat. Sebenarnya ketika itu,
 kanda masih ada di pejabat tetapi kanda yang telah suruh kawan kanda tu
 memberitahu bahawa kanda dah balik...."

"Mengapa kanda? Mengapa kanda buat begitu? Kira kanda telah menipu
dinda la ni?" Tanya si isteri yang masih dara itu dengan gaya-gaya manja
seperti merajuk saja lagaknya.

"Dinda, dinda jangan salah faham. Memang benar kanda telah menipu dinda
tapi  ada sebabnya...."

"Apa sebabnya kanda?"

"Begini dinda, sebenarnya ketika dinda telefon dan bagitahu nak berjumpa
 dengan kanda, kanda tersangatlah teruja dan seperti hendak melompat saja,
 maklumlah tunangan sendiri yang hendak berjumpa....tapi kemudian datang
 ilham dalam fikiran kanda yang kita belum ada apa-apa hubungan lagi.
 Walaupun kita telah bertunang tapi itu bukan tiket  untuk kita berjumpa dan
 memadu asmara. Tiba-tiba kanda rasa takut bila teringat peringatan Allah yang
 menyebut, jangan hampiri zina, jangan hampiri zina...."

"Tapi dinda ajak berjumpa tu bukan untuk berzina" jawab si isteri masih tak
 puas hati.

"Memanglah... tapi kanda bimbang seandainya kanda pergi berjumpa adinda
 ketika itu, syaitan membisikkan ke telinga kanda untuk memegang tangan
 adinda, bukankah itu sudah dikira menghampiri zina? Kanda juga takut
 seandainya selepas berjumpa itu kanda tak dapat tidur kerana teringatkan
 dinda, bukankah itu telah menganggu fokus kekanda untuk beribadah kepadaNya?"

"Jadi, kanda taknak berjumpa tu bukanlah sebab kanda tak sayang dinda ya?"
 Jawab si isteri dengan wajah yang dah bertukar dari cuka kepada gula.

"Ya dinda, kanda taknak berjumpa pada hari tu kerana kanda takut jika
 kita berjumpa, syaitan menhiasi mata kita dengan keseronokan semata-mata
 sehingga kita tak dapat membezakan antara dosa dan pahala. Dinda lebih rela
 kehilangan kasih manusia dari kehilangan redha Allah, adindaku sayang..."

"Oh kanda, begitu rupanya....."

"Adinda, itulah kali pertama kanda menipu adinda dan kanda berazam itu juga
 adalah kali yang terakhirnya kerana selepas ini, sesudah kita jadi suami isteri ini
 kanda berazam akan menjadi suami mithali, suami terhebat di abad ini.....eceh!"

"Adinda tak marah kan?"

"Tak kekanda, malahan dinda berbangga kerana telah ditemukan dengan
seorang pemuda  yang teguh pendiriannya sehingga tak langsung tergoda
dengan ajakan seorang dara yang belum tentu kuat imannya. Terima kasih
kanda kerana telah menyedarkan adinda..."

:)
:)
:)
:)

Cut !.....................(adegan seterusnya tidak diluluskan untuk tayangan umum)

Fullamak ! Andainya semua lelaki di zaman ini memiliki sifat-sifat seperti di atas
nescaya tidak adalah gadis-gadis yang sanggup mengorbankan maruah untuk
cinta yang tiada kesudahan. Tentunya gadis-gadis pun malu untuk menonjolkan
diri dalam keadaan yang tak sepatutnya. Pastinya mereka tak berani nak
menggoda mana-mana lelaki lantaran bimbang godaan itu dibalas dengan
tazkirah yang memeritkan. Tentunya apabila si pemuda dapat menjaga matanya,
 telinganya, tangan dan kakinya dari perkara-perkara yang menghampiri zina
rasa-rasanya tiadalah masalah perzinaan dan pembuangan bayi yang berleluasa
dewasa ini sehingga dikhabar setiap hari pasti ada bayi luar nikah yang
dilahirkan. Bukan satu, bukan dua tapi cukup banyak bilangannya....sungguh
mengerikan! Dan anak itu kemudiannya dibuang di mana-mana saja seperti
membuang kertas tisu ke dalam longkang, sungguh tidak beradab!

Ya Allah....beri kami petunjuk, beri kami petunjukMu....Ya Allah

(p/s: cerita di atas bukan rekaan ye, cerita betul ni...cerita siapa? Ada le..:)



Carilah  Redha Allah dengan marahnya manusia, jangan cari redha manusia dengan
marahnya Allah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...